Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Anugerah Seni Cameronian BOH terus iktiraf kecemerlangan karya seni persembahan



KETERUJAAN kembali apabila industri seni Malaysia bersiap sedia untuk mengiktiraf barisan bakat yang mempesonakan pada Anugerah Seni Cameronian BOH (BCAA).

Penganjuran acara untuk edisi ke-19 itu bakal merai kecemerlangan penggiat seni persembahan negara yang terus memikat penonton dan mengekalkan semangat seni sepanjang tahun lalu dengan penuh hangat.

BCAA pada tahun ini yang dijadualkan berlangsung pada 5 Mei depan akan diadakan di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) di 1 Utama Shopping Centre, Petaling Jaya.

Ini merupakan kemuncak acara yang dinilai sepanjang tahun lepas, dengan 74 produksi dari kategori tarian, muzik, teater muzikal dan teater diadili oleh sekumpulan juri yang hebat.

Menerusi sidang media pengumuman barisan calon yang diadakan baru-baru ini, terdapat sejumlah 37 sub-kategori termasuk Persembahan/Pelakon Terbaik untuk Watak Utama, Kostum Terbaik, Penggayaan & Solekan, Nilai Produksi dan lebih banyak anugerah untuk kategori bakat persembahan, teknikal & kreatif.

Presiden Kaki Seni, Low Ngai Yuen, berkata, ketika pihaknya mengumumkan pencalonan BCAA19, adalah penting untuk mengiktiraf dedikasi yang dicurahkan tanpa henti-henti sama ada di atas dan luar pentas.

"Penganugerahan ini bukan sahaja mengenai bakat, tetapi ia adalah pengiktirafan kecemerlangan yang dipamerkan melalui antusias yang tidak terkira banyaknya, sinonim dengan komuniti seni persembahan Malaysia.

"Ini adalah tahun ke-19 Anugerah Seni BOH Cameronian, oleh itu marilah kita sama-sama luangkan sedikit masa untuk mengiktiraf legasi di sini.

“BCAA telah menjadi juara kecemerlangan yang teguh selama hampir dua dekad, berdedikasi untuk mengiktiraf yang terbaik," katanya.

Antara karya yang tercalon dalam BCAA edisi ke-19.

Tambahnya lagi, adalah penting untuk menyerlahkan usaha berterusan dalam penghakiman dan inovasi dalam seni persembahan.

"Perubahan sedang berlaku dalam industri seni persembahan; dan BCAA menerima evolusi ini, memastikan inovasi dan kebolehsuaian dinilai bersama tradisi dan penguasaan.

"Pasti akan ada kemas kini dan tweak terhadap format serta metodologi penghakiman untuk BCAA untuk masa akan datang.

"Ini adalah komitmen untuk kekal relevan dan responsif terhadap sifat dinamik persada seni persembahan. Ini bagi menghormati legasi dan terus meningkatkan bakat luar biasa untuk tahun-tahun mendatang,” jelas Yuen.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations, Jason Foo, menyifatkan acara itu adalah sesuatu yang istimewa kepada BOH kerana ia bertepatan dengan ulang tahun ke-95 mereka.

"Jika diimbas kembali, saya melihat terdapat banyak persamaan antara menyempurnakan seni pembikinan teh dan memajukan industri seni persembahan.

"Kedua-duanya memerlukan semangat yang tidak putus-putus dengan antusias yang kuat, dedikasi dan komitmen untuk menguasai kraf masing-masing.

“Saya yakin industri seni persembahan juga akan terus memupuk pertumbuhan ekspresi kreatif dan memacu kecemerlangan pada tahun-tahun mendatang. Inilah ‘tea toast’  kepada BCAA19 dan semua penggiat seni persembahan di Malaysia," katanya.

BCAA pada edisi kali ini menampilkan tema, Pentas Kehidupan: Meneroka Tanpa Batasan, di mana ia dipilih untuk meraikan penerokaan kreativiti tanpa batas dalam komuniti seni persembahan.

Daripada yang biasa kepada yang luar biasa, pengalaman hidup berfungsi sebagai muse ultimate untuk inovasi dan imaginasi, dan kami ingin mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada kuasa transformatif seni serta kekayaan dan kerumitan pengalaman manusia.

Penganjuran BCAA19 turut disokong oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan disokong oleh penaja utama, BOH Plantations.

(Senarai penuh pencalonan BCAA ke-19 boleh didapati dengan melayari www.kakiseni.org/awards .) - 7KLIK



[FOTO: Kaki Seni - Terima kasih Opie]

Post a Comment

0 Comments