Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Amir Jahari tunai Hasrat jadi juara AJL38, Aina Abdul pertahan Vokal Terbaik



KUALA LUMPUR - Lagu Hasrat yang tampil dengan keindahan melodi dan lirik bermakna, nyanyian Amir Jahari dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-38 yang disiarkan secara langsung di TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, pada malam Ahad.

Kemenangan lagu ciptaan sepenuhnya oleh Amir atau nama sebenarnya Mohamad Amirullah Jahari, melayakkan penyanyi itu membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai bernilai RM100,000 dan trofi.

Dalam ucapannya, sebaik diumumkan sebagai pemenang, Amir, 32, merakamkan penghargaan buat semua pihak yang banyak menyokong lagu Hasrat sehingga berada di tahap tersebut.

“Terima kasih kepada isteri, ibu bapa saya, kepada juri, peminat dan semua yang terlibat. Anugerah ini untuk anda dan kita semua,” ujar Amir dengan linangan air mata kegembiraan.

Naib juara menjadi milik lagu Sutera, nyanyian Aisha Retno, 24, yang juga merupakan ciptaannya bersama MFMF, manakala lirik juga oleh  penyanyi itu sendiri. Aisha menerima hadiah wang tunai RM50,000 dan trofi.

Pemilik nama lengkap Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam itu turut memenangi kategori Persembahan Terbaik apabila tampil dengan persembahan hebat dengan aksi terbang pada ketinggian 30 kaki, sekali gus mencuri perhatian ramai biarpun baru pertama kali beraksi di pentas berprestij itu. Untuk kategori ini, Aisha menerima hadiah wang tunai RM12,000 beserta trofi.


Sementara juara bertahan pada tahun lalu, Aina Abdul hanya berpuas hati di tempat ketiga menerusi lagu hasil ciptaannya sendiri, Jangan Mati Rasa Itu dan memenangi wang tunai RM30,000 serta trofi. Namun Aina masih mengungguli kategori Vokal Terbaik, selain memenangi Anugerah Penyanyi Pilihan Alha Alfa. Kedua-dua kategori tersebut menyediakan hadiah wang tunai RM12,000 dan trofi setiap satu.

Lagu lain yang turut memberikan saingan ialah Waktu nyanyian Ziana Zain dan Hasif Upin, Darah (Marsha Milan), Selagi Ku Ada (Khai Bahar dan Nabila Razali), Astana (Ernie Zakri), Santai (Naqiu), Inilah Jalannya (Masdo), Kalam (Shiha Zikir), Bintang (Hael Husaini) dan Kucuma (Wany Hasrita & Afieq Syazwan).

Kesemua finalis diadili oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Datuk Wah Idris, Datuk Acis, Azlan Abu Hassan, Jari, LY, Noryn Aziz, Ad Samad, Efry Arwis, Adlin Aman Ramlie serta Datuk Mokhzani Ismail selaku ketua juri.

AJL38 dihoskan oleh Sherry AlHadad dan Aliff Satar serta diserikan dengan persembahan Datuk Zainalabidin, Ella, Dayang Nurfaizah, Shila Amzah dan Vanessa Reynauld. Tidak ketinggalan Sissy Iman turut tampil sebagai pemain keyboard bersama tiga pemuzik wanita iaitu Naimi Daini (dram), Tasneem Bolhasan (bass) serta Anis Kalisa (gitar) pada persembahan pembukaan. - 7KLIK  


[FOTO: Instagram TV3]

Post a Comment

0 Comments