PERCUTIAN mesra keluarga sememangnya diidamkan setiap orang. Begitu juga dengan penyanyi, Sissy Imann yang mahu meluangkan masa bersantai bersama keluarga setelah sibuk dengan aktiviti seni yang memenuhi jadual harian.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) merealisasikan hasrat Sissy untuk bercuti bersama keluarganya menerusi program travelog terbaharu, Family Trip.
Sissy, 29, bersama bapanya, Mohammad Kamil Moustaffa dan ibu saudaranya, Cik Mas akan menjelajah ke seluruh negara untuk mengunjungi tempat-tempat menarik dengan budaya unik seperti di beberapa negeri termasuk Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan lain-lain.
Ketika di Johor Bahru, Sissy dan keluarga ke lokasi pertama iaitu di Kampung Sungai Melayu Eko Pelancongan. Mereka menerokai keindahan hutan paya bakau dan berpeluang mempelajari cara menangkap ketam dan kupang. Diikuti beberapa aktiviti lasak seperti memanah, go cart dan flying fox.
Pengembaraan seterusnya membawa mereka ke Pal-my, sebuah organisasi yang mengeluarkan produk berasaskan daun nanas. Di situ mereka mempelajari cara pembuatan kertas, menikmati hidangan di Kacang Pool Haji dan lain-lain.
Seterusnya penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Mungkin Kamu itu meneruskan percutian ke Bandaraya Bersejarah, Melaka.
Keluarga Sissy diberi kejutan apabila mereka berpeluang merasai pengalaman pembuatan dan pemprosesan cencaluk dan belacan, sebelum menikmati panorama malam kota Melaka dengan menaiki River Cruise Melaka.
Aktiviti menjadi lebih menarik apabila mereka diberi cabaran kuiz tentang sejarah asas Melaka dan pemenang cabaran ini dapat memilih hajat yang diingini.
Lokasi terakhir membawa mereka ke Muzium Baba Nyonya dan berpeluang menerokai pelbagai info tentang budaya dan keunikan masyarakat Baba Nyonya melalui Baba Lee yang merupakan generasi kelima Baba dan Nyonya.
Percutian ke Negeri Sembilan tidak kurang menariknya apabila anak jati Kuala Lumpur itu dibawa ke Mama One Stop Bakery & Cafe, di mana dia keluarga diberi cabaran membuat dan menghias donut mengikut kreativiti masing-masing.
Tidak ketinggalan, kunjungan ke Muzium Replika Astana Raja Melewar, yang menyaksikan mereka dapat menerokai dan mengenali adat dan budaya masyarakat di Negeri Sembilan. Diikuti aktiviti watersport di Port Dickson dan keseronokan di PD Ostrich Farm.
Sepanjang percutian tersebut dapat dilihat pelbagai drama dan ragam Sissy dan keluarga, sekali gus mencipta kenangan bermakna untuk dikenang pada masa akan datang.
Selain tiga negeri tersebut, banyak lagi destinasi menarik dikunjungi Sissy dan keluarganya yang dapat disaksikan dalam travelog Family Trip ini.
Program 13 episod itu akan mula bersiaran pada 22 Februari ini, setiap Khamis, jam 10 malam di Okey. Ia juga boleh ditonton dengan mengikuti penstriman langsung secara percuma menerusi RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my). - 7KLIK
ARTIKEL LAIN: soaring-into-year-of-dragon-must-watch
ARTIKEL LAIN: dokumentari-khas-raja-payung-negara
ARTIKEL LAIN: eksklusif-2-k-drama-baharu-di-tonton
[FOTO: RTM - Terima kasih Nurul Fariza]
0 Comments