Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Wani Kayrie bakal beraksi di pentas 28th Asian Television Awards di Vietnam


PENYANYI Wani Kayrie teruja mendapat undangan mengadakan persembahan di 28th Asian Television Awards yang akan berlangsung di Vietnam pada 12 dan 13 Januari ini.

Pemilik nama sebenar Syazwani Abdullah, berkata, dirinya berbesar hati dan tidak sabar untuk membawa nama negara dan beraksi di acara anugerah berprestij peringkat Asia itu.

“Perasaan teruja serta  berkobar-kobar sangat menebal di jiwa saya selain merasa bertuah, kerana dipilih mewakili negara buat kedua kalinya, selain membawa nama label naungan saya, Rocketfuel Entertainment.

“Saya sangat berbesar hati dengan pemilihan ini dan berjanji akan memberikan yang terbaik ketika berada di sana nanti.

“Ketika ini saya sedang giat mempersiapkan diri dari segi latihan vokal dan koreografi secara bersendiri tanpa bantuan dari mana-mana pihak. Cuma untuk penataan gaya sahaja saya memerlukan khidmat pakar serta pereka fesyen bagi busana yang bakal disarungkan nanti," ujarnya.



Pada acara itu, bintang berusia 23 tahun itu akan menyanyikan tiga buah lagu yang terdiri daripada lagu nyanyiannya sendiri, Kamu Kamu dan Fajar, manakala Bang Bang daripada Ariana Grande.

“Saya berharap agar mendapat sokongan seluruh rakyat Malaysia dan doakan semuanya dapat berjalan dengan lancar. Ini adalah momen saya untuk menunjukkan bakat saya pada semua.

"Saya harap rakyat Malaysia dapat melihat sendiri kebolehan dan kemampuan Wani Kayrie bernyanyi di peringkat antarabangsa," katanya.

Penonton boleh menyaksikan siaran langsung 28th Asian Television Awards bermula pada 12 dan 13 Januari 2024 ini melalui aplikasi penstriman video atas talian seperti viu.com atau siaran digital melalui saluran YouTube rasmi majlis tersebut.  - 7KLIK



[FOTO: Rocketfuel Entertainment]

Post a Comment

0 Comments