Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Menangani Batasan Kreatif dalam Industri Filem Malaysia: Pembikin filem dan pencipta kandungan mampu mengimbangi kreativiti


EVOLUSI industri perfileman Malaysia dalam konsep kebebasan berkreatif sedang berkembang dan ia mendorong batas artistik yang melibatkan penonton dalam naratif yang pelbagai.

Walau bagaimanapun, dalam menelusuri penerokaan ini, terdapat pendapat yang diketengahkan sewaktu forum industri baru-baru ini yang bertajuk 'Batas Kreativiti Warga Digital Dalam Dunia Tanpa Sempadan,' yang dihoskan oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Forum tersebut membariskan kepelbagaian panel profesional yang berpengalaman termasuk penulis, pengarah, penerbit, pendidik dan alumni Aswara yang menekankan keseimbangan penting antara kebebasan kreatif dan tanggungjawab dalam proses pembikinan filem.

Barisan merangkumi tokoh-tokoh ternama seperti Mediha Mahmood iaitu Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Ts. Dr. Syed Agil Shekh Alsagoff (Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia, Azrie Izham Hamzah (Pensyarah Aswara), Zizan Nin (penerbit, pengarah, pelakon) dan Soula Nordin (Penulis skrip).

Dzul Karnain Abdullah, pensyarah di Aswara dan ahli lembaga pengarah TV AlHijrah, menetapkan nada dengan menekankan keperluan untuk kawal selia kendiri dalam kalangan pencipta kandungan dan penonton dalam era digital.

Mengulas mengenai evolusi medium kreatif, Dzul Karnain turut menekankan tanggungjawab warga digital untuk mengamalkan kawalan kendiri dalam kebanjiran kandungan yang tersedia. Malah dia turut menekankan bahawa tanggungjawab itu meliputi penyertaan aktif dalam membentuk masyarakat bebas daripada pengaruh negatif dan berbahaya merentasi generasi.

Menurut Mediha, Kod Kandungan merupakan sumber yang sangat berharga.

“Bagi CMCF, kami sangat menekankan keseimbangan; membenarkan kebebasan kreatif kepada pembikin filem sambil memastikan penonton terutamanya kanak-kanak, dilindungi daripada kandungan yang berbahaya.

"CMCF juga sangat menggalakkan kawalan kendiri kandungan, dengan harapan, kuranglah pembikin filem yang sedih atau kecewa kerana karya mereka terlalu banyak ditapis atau di'ban' terus.

"Harapan kami juga agar semua pencipta kandungan lebih sedar tentang batasan dalam berkarya, agar dunia digital pun kekal selamat untuk semua,” ujarnya.


Menggambarkan keperluan untuk keseimbangan tersebut, Ts. Dr. Syed Agil menekankan ketidakpraktisan larangan secara menyeluruh terhadap perkataan kesat tanpa mempertimbangkan nuansa kontekstual di mana bahasa tersebut digunakan.

"Pedekatan sedemikian adalah tidak realistik, terutamanya dalam bidang filem, yang sememangnya bertujuan untuk menggambarkan cerita secara realistik dengan cara yang kreatif.

"Pentingnya pengarah menggunakan kreativiti untuk menyelaraskan karya mereka dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) atau CMCF, sekali gus memastikan keseimbangan antara kebebasan artistik dan pematuhan standard kawal selia," tegasnya.

Sementara itu, Zizan yang berkongsi pandangannya dari kaca mata seorang pengarah pula berkata, sifat audio-visual filem telah menyediakan pembikin filem pelbagai teknik untuk menghidupkan skrip di skrin.

"Ia termasuk penggunaan metafora secara halus, penggunaan sinematografi secara strategik, manipulasi pencahayaan dan pemilihan prop yang bernas.

"Pentingnya untuk tidak mengambil pendekatan yang langsung dalam menggambarkan sesebuah adegan. Sebagai contoh, penggunaan ciuman untuk menyampaikan kasih sayang, sambil menyatakan bahawa walaupun paparan sedemikian mungkin menjadi norma budaya di rantau lain, terutamanya di Eropah, adalah penting untuk mengiktiraf dan menghormati perbezaan budaya.

"Apa yang penting adalah persefahaman bersama, di mana pelbagai pandangan budaya wujud tanpa penilaian atau disalahkan," jelasnya.

Soula pula memberikan contoh daripada skrip tulisannya untuk telefilem Angah, di mana terdapat satu topik sensitif yang divisualkan tanpa memaparkan adegan eksplisit.

“Secara peribadi, saya tidak menulis adegan eksplisit, tetapi walaupun begitu, kreativiti pengarah (Eyra Rahman) dalam menvisualkan isu yang sensitif tersebut dapat menyampaikan mesej dengan baik,“ katanya.

Dalam apda itu, Azrie Izham menasihatkan para pembikin filem supaya peka terhadap penonton sasaran mereka serta bagaimana tema dan mesej karya mereka akan dipersepsikan.

“Nasihat ini terpakai terutamanya kepada pelajar penulisan kreatif dan filem yang sering merasa terdorong untuk membuat cerita terlalu 'mendalam'. Sebaliknya, kita sepatutnya berusaha untuk merakam adegan dengan cara yang dapat meresap dalam kalbu penonton, bermain dengan visual untuk meningkatkan pemahaman.

"Harus diingat tentang sifat media sosial di mana filem-filem yang lebih panjang kadangkala dikongsi sebagai potongan-potongan kecil, yang boleh dengan mudah menyalahtafsirkan mesej asal sesebuah filem.

"Dalam hal ini, penonton boleh mengamalkan kawal selia kendiri dengan menonton versi penuh filem dan menilai tema yang dimaksudkan dengan sendiri," tegasnya.

Secara kesluruhannya, mesej utama dariapda pandangan tersebut adalah jelas di mana sewaktu industri menerokai batas, rasa tanggungjawab dan kawal selia kendiri memastikan filem bukan sahaja menghiburkan tetapi juga mendidik dan menyumbang kepada dialog positf dalam masyarakat.  - 7KLIK


Post a Comment

0 Comments