Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Luncur album studio Antonim (Part I), Hael Husaini himpun kisah suka duka 17 Tahun dalam industri


MELUNASKAN janjinya kepada peminat, penyanyi Hael Husaini akhirnya meluncurkan album studio pertamanya, Antonim (Part I) setelah 17 tahun berkecimpung dalam dunia seni.

Menyifatkan album tersebuat terlalu bermakna buat diri dan kerjayanya, Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi menghimpunkan pelbagai kisah suka duka perjalan seninya itu menerusi enam buat lagu.

Tidak hanya karya ciptaannya, album yang sudahpun berada di pasaran bermula 5 Januari itu turut menampilkan barisan komposer popular yang terdiri daripada Ezra Kong, Omar K, Iqie Hugh, Hanis Rafi, Firdaus Rahmat.

Menariknya, pada hari pertama album Antonim (Part I) diluncurkan, album itu terus mendapat sambutan cukup hebat sehingga menduduki posisi nombor 1 di carta iTunes Malaysia dan Brunei berdasarkan jualan digital, manakala di Apple Music Malaysia pula, ia berada di kedudukan nombor 2 berdasarkan jumlah penstriman oleh pendengar.



Mengakui teruja dengan perkembangan tersebut, Hael merakamkan ucapan terim kasih kepada peminat serta semua pihak yang menyokong album tersebut.

“Saya sangat teruja kerana tidak pernah merasai pengalaman sebegini, seluruh pasukan kerja dan label juga terkejut dengan sambutan luar biasa daripada pendengar.

“Saya sangat berterima kasih kepada seluruh pasukan saya yang setia dan sentiasa bertungkus-lumus dalam menjadikan album ini sebuah kenyataan.

"Terima kasih buat Prem, kesemua wakil muzik dari label saya, penulis serta juga penerbit, wakil pegawai serantau, pihak pengurusan Virus Unggu Entertainment, rakan-rakan media, keluarga yang menyokong, dan terutamanya peminat semua, Haelers,” ujarnya terharu.

Antonim (Part I) yang mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan itu telah melalui beberapa proses, termasuk pemilihan lagu-lagu yang telah disenarai pendekkan daripada lebih kurang 20 buah lagu.

Enam lagu terbaik yang dimuatkan dalam album ini ialah Diam, Usia, Kejora, Please, Hero dan Sama Seperti Dulu (versi orkestra).

Tambah Hael lagi, lagu-lagu yang terkandung dalam album sulungnya itu menampilkan banyak kelainan dan pembaharuan berbanding karya-karyanya yang terdahulu.

“Album ini saya jadikan medan untuk berkarya tetapi konsepnya berlawanan dengan apa yang sering saya hidangkan buat pendengar sebelum ini. Namun keseluruhan lagu yang terkandung dalam album masih lagi berkonsepkan pop dengan nuansa balada serta rock," katanya.


Sementara untuk album kedua pula, Antonim (Part II), bintang berusia 37 tahun itu menjangkakan akan ada lebih banyak lagi kejutan buat penggemar muzik kerana pelbagai pembaharuan lain pula yang akan diketengahkan.

“Saya berharap agar semua dapat menerima karya-karya saya dalam kedua-dua album ini. Semoga pendengar dan penggemar muzik tempatan berlapang dada dalam menerima pembaharuan muzik serta memberi lebih kebebasan kepada anak seni untuk terus berkarya.

“Siapa tahu mungkin ada di antara kita yang mampu berjaya seperti Tan Sri Michelle Yeoh, tetapi mewakili bidang muzik pula," katanya.

Muzik video (MV) lagu Usia yang melakukan penggambaran di Korea Selatan telahpun dilancarkan pada 12 Januari lalu dan kini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Hael Husaini Official.

Album Antonim (Part I) boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.  - 7KLIK


Post a Comment

0 Comments