Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Demi dana amal, konsert Siti Nurhaliza pada 9 Mac tetap diteruskan


PENGANJURAN Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza yang dijadualkan akan berlangsung di Axiara Arena, Bukit Jalil pada 9 Mac depan akan diteruskan seperti yang dirancang meskipun ada gesaan agar ia ditunda bagi menghormati kehadiran bulan Ramadan yang bakal disambut beberapa hari selepas itu.

Penganjur, Yayasan Nurjiwa dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini menjelaskan, keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk implikasi kepada pihak terbabit sekiranya ia ditunda.

Pengasasnya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, berkata, objektif utama penganjuran konsert berkenaan bukan dianjurkan atas kepentingan perniagaan dan keuntungan, sebaliknya untuk mengumpul dana bagi tujuan amal termasuk bantuan khas untuk Palestin.

"Tujuan Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza adalah untuk mengutip dan bagi menampung lima kluster kerja-kerja kebajikan iaitu Kebajikan, Kemanusiaan, Keagamaaan, Pendidikan dan bantuan khas Palestin.

"Kesemua kluster berkenaan menjadi keutamaan Yayasan Nurjiwa dan bagi meneruskan kerja-kerja kebajikan itu, ia memerlukan dana yang mencukupi.

"Segala hasil kutipan tiket daripada pementasan Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza akan disalurkan ke lima-lima kluster berkenaan," ujarnya.


Tambah Khalid lagi, Yayasan Nurjiwa juga akan meneruskan kerja-kerja kebajikan lain seperti tradisinya setiap kali kehadiran bulan Ramadan Syawal dengan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

"Inilah matlamat yang kami ingin lakukan memandangkan selepas konsert, bulan Ramadan dan Syawal adalah bulan aktif bagi aktiviti amal yang telah kami lakukan sebelum ini.

"Justeru, matlamat penganjuran Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza ini sangat jelas untuk berkongsi rezeki dan sekali gus amat diyakini akan mengurangkan beban penderitaan sesetengah golongan termasuk saudara-saudara kita di Palestin.

"Kami juga mempunyai program khas sedekah Nur Muhammad yang menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf dan kurang berkemampuan," tegasnya.

Dalam kenyataan sama, suami kepada penyanyi Datuk Siti Nurhaliza itu juga menegaskan, sekiranya konsert tersebut ditunda, ia akan memberikan implikasi kepada pelbagai pihak.

"Penundaan konsert itu akan memberikan implikasi besar pada banyak pihak khususnya di pihak produksi serta pengurusan Perbadanan Stadium Nasional.

"Bahkan, apa yang kami gusarkan sekiranya penundaan konsert dibuat, maka dana yang sewajarnya tidak disaluran dalam kadar segera kepada golongan yang sudah dikenal pasti sebagai penerima terutamanya mangsa perang di Palestin.

"Kita tidak mampu untuk menunda bekalan makanan dan bahan asas untuk saudara-saudara kita di Palestin. Komitmen kami kepada mangsa-mangsa perang di Palestin perlu diteruskan sejak kami memulakannya pada Oktober lalu. Terlewat sehari dua saja boleh mengundang malapetaka lain buat mereka," jelasnya.

Tidak hanya itu, penundaan konsert tersebut juga sukar untuk dilakukan atas faktor ketiadaan tarikh ganti yang sesuai disebabkan tempahan lokasi stadium berkenaan sudah penuh sehingga hujung tahun.

"Kami di Yayasan Nurjiwa telah diberitahu oleh pengurusan Perbadanan Stadium Nasional bahawa 9 Mac sahaja tarikh kosong yang ada untuk sepanjang 2024 yang boleh ditawarkan kepada kami.

"Untuk pengetahuan semua, pihak kami sudah mula membuat tempahan dengan Perbadanan Stadium Nasional sejak awal tahun 2023 lagi, tetapi tarikh yang sepatutnya tidak dapat kami laksanakan dan mohon penangguhan dengan mendapatkan tarikh baharu," katanya yang mula mengasaskan Yayasan Nurjiwa sejak 2006.


Bagaimanapun Yayasan Nurjiwa dan Siti Nurhaliza menghargai keprihatinan yang diberikan pihak berkenaan, selain merakamkan ucapan terima kasih buat peminat yang memberikan sokongan kepada usaha mereka mengumpul dana untuk tujuan amal.

Penjelasan tersebut merupakan maklum balas Yayasan Nurjiwa selaku penganjur kepada laporan media berhubung gesaan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor agar menunda konsert tersebut bagi menghormati ketibaan bulan mulia, Ramadan al-Mubarak yang dijangka disambut pada 12 Mac depan.  - 7KLIK

Post a Comment

0 Comments