Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Wali Band 'Cari Jodoh', Fadhilah bawa 'Dawai' di Pulau Pinang


SETELAH kejayaan luar jangkaan dan memberangsangkan konsert Jujur Takkan Melupakanmu Live In Concert - Radja (Special Appearance Ella) pada November lalu, Orange International kembali membawakan persembahan istimewa yang menggabungkan barisan artis tanah air dan Indonesia pada satu pentas.

Tidak hanya memberi tumpuan kepada peminat muzik di ibu kota, penganjuran konsert yang menampilkan Wali Band, Fadhilah Intan (penyanyi lagu Dawai), Saixse dan Khai Bahar itu akan diadakan di Spice Arena, Pulau Pinang,

Konsert Wali Cari Jodoh & Dawai In Penang yang berdurasi dua jam pada 3 Februari 2024 depan itu akan menyaksikan lebih 13 buah lagu popular dipersembahkan kepada penonton.

Wali Band ditubuhkan pada 1999 dianggotai oleh Faank selaku vokalis, Apoy (gitaris), Tomi (pemain dram) dan juga Ovie (pemain keyboard) merupakan salah satu kumpulan pop Indonesia yang mempunyai ramai peminat di Malaysia.


Kumpulan tersebut cukup popular dengan lagu-lagu bergenre alternatif, rock, religi, balada dengan sentuhan etnik Melayu yang sering menghasilkan hit-hit seperti Baik-Baik Sayang, Cari Jodoh, Doaku Untukmu Sayang dan Ada Gajah Di Balik Batu.

Sementara Fadhilah Intan pula meledak nama di Malaysia selepas lagu nyanyiannya, Dawai menjadi siualan ramai selepas tular di platform TikTok.

Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengasas Orange International (OI), Datuk Mohd Fadzli Idrus, berkata, kejayaan beberapa siri konsert yang diadakan sebelum ini menjadikan Orange International terus berkembang.

“Setelah kejayaan konsert Radja dan Ella tempoh hari, OI sekali lagi membawakan hiburan dari seberang iaitu kumpulan pop popular Indonesia, Wali Band buat peminat yang berada di sebelah utara khususnya Pulau Pinang.

"Selain Wali Band, turut ditampilkan, penyanyi Indonesia yang sedang meningkat naik, Fadhilah Intan yang viral dengan lagu Dawai, dan ini merupakan kemunculan pertamanya di Malaysia, selain artis-artis terkenal tanah air seperti Saixse dan Khai Bahar," ujarnya.


Dalam pada itu, konsert berkenaan juga turut mengangkat tema 'Hijau’ bersempena program ‘Eco-Schools’.

"Kami menggalakkan penonton yang hadir untuk mengenakan pakaian berwarna hijau pada malam konsert tersebut sebagai tanda sokongan terhadap program Eco-Schools.

“Saya berharap agar peminat muzik akan terus menyokong kami dalam memberikan hiburan yang terbaik dan yang paling penting agar semua enjoy dan sing-along pada malam konsert nanti selama dua jam tanpa henti kerana seleksi lagu dari pelbagai genre yang bakal dibawakan," katanya.

Tiket Konsert Wali Cari Jodoh & Dawai In Penang itu boleh didapati di ticket2u.com.my/walipenang- 7KLIK



[KREDIT FOTO: Orange International]

Post a Comment

0 Comments