Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Ubati rindu peminat, persembahan istimewa Sweet Charity rai perjalanan klima dekad di Kuala Lumpur


MELANGKAUI lima dekad pembabitannya dalam dunia muzik rantau ini, kumpulan legenda, Sweet Charity bakal kembali ke Kuala Lumpur untuk kembali mengimbau nostalgia selepas kali terakhir muncul dalam sebuah konsert, 13 tahun lalu.

Dibawakan oleh Malaysia Shipowner’s Association, Konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity yang berdurasi hampir tiga jam itu akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 26 Januari depan.

Persembahan istimewa itu juga aalah bersempena tahun ke-55 penubuhan Sweet Charity yang diterajui oleh Datuk Ramli Sarip sebagai vokalis yang juga pengasasnya bersama Rahman Sarbani (dram), selain turut dianggotai Rosli Mohalim (gitar) dan Ahmad Jaafar (keyboard dan vokalis kedua).

Menurut Ramli, lamaran untuk Sweet Charity kembali ke Kuala Lumpur ibarat pucuk dicita ulam mendatang.

“Konsert ini ada nilai sentimental kerana ia diadakan di Kuala Lumpur selepas kali terakhir kami beraksi di Stadium Merdeka pada 2011 yang pernah menjadi fenomena. Sesuatu seperti ini kadang hanya datang sekali, atau dua kali, ia tidak boleh selalu melainkan ada momen istimewa.

“Sweet Charity dikenali dengan persembahan live, jadi pemilihan lagu yang tepat adalah penting. Selain bernostalgia, jangkakan sebuah persembahan yang segar kerana kami memiliki lagu-lagu yang boleh diolah, dibuat susunan baharu, termasuk antara 15 lagu dalam senarai all-time favourite seperti Batu, Kamelia, Teratai dan Zakiah.

“Dan kenapa Semalam di Malaya? Judul yang nostalgia, zaman kami di Singapura, merentasi Johor menaiki bas, tanpa perlu pasport sebelum ada pemisahan negara. Banyak kenangan di situ,” ujarnya pada sidang media konsert tersebut baru-baru ini.


Biarpun konsert tersebut tidak diadakan di stadium, Ramli berkata, Zepp Kuala Lumpur dengan kapasiti 2,500 orang itu berupaya memenuhi jangkaan persembahan kerana lokasi itu ada formula untuk mendukung sesebuah konsert, daripada suasana ke akustiknya, malah keserasian.

Melihat kepada sambutan yang sangat menggalakkan, penyanyi legenda asal Singapura itu tidak menolak kemungkinan untuk konsert yang mengenakan bayaran tiket pada kadar serendah RM180 itu berlanjutan dua hari.

“Penganjur ini, saya lihat mahu buat sesuatu yang mereka lalui, ketika mereka membesar. Namun memberi kebebasan untuk kami mengekspresikan seni. Konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity ini sememangnya tidak harus dilepaskan peminat.

“Ini kerana Sweet Charity, persembahannya ada roh dan semangat yang tersendiri, seperti mana-mana band apabila sampai pada kedewasaannya. Mudah-mudahan persembahan kami lebih dewasa dengan perasaaan,” katanya.

Konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity merupakan sebuah produksi Rasa Karya, bersama Mewah Event Management sebagai rakan strategik, manakala ilassotickets bagi pengurusan tiket.

Dalam pada itu, Ramli berkata, mereka akan menyajikan kelainan rasa dalam persembahan Sweet Charity di Kuala Lumpur berbanding sebelum ini ketika tampil dengan dua konsert berskala besar, masing-masing di Johor Bahru dan Singapura, tahun ini.

“Sama tapi tak sama. Persembahan di Kuala Lumpur akan lebih padat, malah ada peminat yang sudah menonton di Singapura, mahu ke Kuala Lumpur juga.

“Gaya persembahan, tentunya akan memberikan kelainan kerana Sweet Charity ada aura tersendiri, kekuatan tersendiri. Orang sukakan Sweet Charity kerana persembahan livenya dan itulah yang menjadi kekuatan kami selama lebih 50 tahun ini.

“Sweet Charity tidak begitu dipengaruhi oleh apa-apa kerana pada masa itu, pada era akhir 60-an, tiada video, VHS pun tiada. Jadi kami mencipta identiti sendiri, membawa muzik rock, memberikan apa yang kami rasa, perasaan waktu membuat persembahan itu,” tegasnya lagi.

Berkongsi harapannya menjelang konsert, penyanyi yang sinonim dengan gelaran 'papa rock' itu berharap agar kesihatan dia dan kesemua anggota Sweet Charity dalam keadaan yang baik.

“Mudah-mudahan kami sihat, dapat berikan yang terbaik untuk peminat, juga industri. Lima dekad perjalanan Sweet Charity moga jadi penggalak buat band tanah air, terutamanya pelapis.

"Kami cuba menghargai apa yang dikurniakan, apa yang dianugerahkan untuk dikongsi. Bukan saja dalam muzik atau persembahan, tapi juga perjuangan untuk dikongsi sama.

"Jika boleh jangan ada banyak pertelingkahan antara satu sama lain, mesti bersatu, tapi kalau terjadi juga kadang hal sebegini mengajar kita. Itu yang membuatkan kita terus ada,” katanya.

Tiket Konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity dijual dengan harga RM180, RM308, RM388 dan bermula RM15,000 (bagi VIP Box). Pembelian boleh dibuat dengan melayari www.ilassotickets.com.my . - 7KLIK

Post a Comment

0 Comments