PROGRAM Bintang RTM terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) diadakan khas bagi mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang nyanyian untuk diketengahkan dalam industri seni tanah air.
Meskipun banyak program baharu bertemakan serupa anjuran beberapa stesen TV lain, Bintang RTM tetap diakui sebagai paling unggul kerana menampilkan juara berkualiti pada setiap kali penganjurannya.
Sejarah program itu bermula pada awal 1959 di mana ia dikenali sebagai Bintang Radio, anjuran Radio Malaya. Pertandingan Bintang Radio ketika itu hanya mengetengahkan lagu-lagu yang berentak langgam, asli, keroncong dan seriosa.
Pada tahun 1964, Bintang Radio telah memulakan siaran pertamanya di televisyen serta TV Malaya pula muncul untuk mencari bakat-bakat baharu untuk pertandingan Bakat TV.
Bertitik tolak daripada itu, Bintang Radio dan Bakat TV menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada peminat seni tanah air saban tahun.
Malaysian Book of Records juga pernah menamakan program ini sebagai pertandingan nyanyian paling lama bertahan dalam industri muzik Malaysia.
Pada tahun 1973, penjenamaan Bintang RTM mula digunakan apabila Bakat Radio dan Bakat TV diselaraskan serta digabungkan.
Pertandingan Peringkat Akhir Bintang RTM pertama telah disiarkan pada 26 Februari 1974 dan seterusnya pergram itu menjadi acara tahunan sehingga tahun 1986.
Melalui pertandingan tersebut, RTM telah melahirkan banyak nama besar di dalam industri seni hiburan seperti Dahlan Zainuddin, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Jamal Abdillah, Rohana Jalil, Juliza Adlizan, Raisuddin Hamzah, Ramlah Ram, Noraniza Idris, Azian Mazwan Safuan, Ayai Ilusi, Misha Omar dan ramai lagi.
Tahun 1999, Bintang RTM kembali diadakan semula dan penganjurannya kali terakhir pada tahun 2018 yang menobatkan bakat baharu, Hariz sebagai juara.
Justeru pada tahun ini, RTM kukuh mengorak langkah melunaskan tanggungjawab sosial melahirkan penyanyi pelapis berkualiti dalam bidang nyanyian dengan menganjurkan Bintang RTM 2024 yang akan bermula pada Januari ini.
Program yang mempunyai ramai pengikut itu akan bersiaran secara langsung di TV2 dan RTMKlik (www.rtmklik.rtm.gov.my). Nasionalfm pula dipilih sebagai radio rasmi BRTM 2024.
Trivia
- Tahun 1977, Rosemaria Abdul Hamid merupakan salah seorang penyanyi wanita yang terawal memenangi pertandingan ini.
- Tahun 1979, Jamal Abdillah hanya berusia 20 tahun tetapi mampu dinobatkan juara mengalahkan enam penyanyi solo yang lain termasuklah finalis Najib Hanif.
- Juara BRTM 2009, Ernie Zakri merupakan peserta termuda dan bergelar juara menerusi dendangan lagu Kau Yang Istimewa (nyanyian asal oleh Aishah) dan Cahaya (Krisdayanti). - 7KLIK
ARTIKEL LAIN: dalang-bongkar-kebenaran-di-tonton
ARTIKEL LAIN: the-masked-singer-malaysia-kak-cat
ARTIKEL LAIN: netflix-announces-star-studded-cast-of
[FOTO: RTM]
0 Comments