Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Tamasya Anak Muda: Gelombang revolusi festival muzik, seni budaya tradisi dan moden


TAMASYA Anak Muda, sebuah gelombang revolusi budaya dalam bentuk festival muzik dan seni bakal menggemparkan Jiospace, Petaling Jaya pada 5 dan 6 Januari 2024.

Sebuah acara yang tidak sekadar menganjurkan pertunjukan muzik, tetapi juga menggabungkan kepelbagaian seni, budaya, dan aktiviti komuniti dalam semangat kerakyatan moden.

Sesuai dengan slogan mereka yang merupakan sebuah petikan oleh penyair dan pujangga tempatan, Usman Awang, 'moderen bukan erti kebaratan, tradisi tidak bererti kolot', festival tersebut merupakan titik pertemuan antara tradisi dan kekinian.

Ia membuktikan bahawa seni warisan budaya dan kerakyatan tetap dan masih boleh dianggap moden dan relevan dalam konteks zaman ini jikalau jiwa rakyat terus menjadi intisari dan pusatnya. Festival ini menyatukan pelbagai bakat-bakat tempatan dalam satu platform.

Di atas pentas, pengunjung akan disajikan dengan persembahan langsung daripada artis-artis dan kumpulan ternama seperti Leaism, Amir Jahari, Arish Mikael, Pitahati, Margasatwa, Satwo, Iqbal M., Fazleena & The Lasykar dan Jemput Dengar (DJ).

Malah, para pengunjung juga akan mendapat peluang emas untuk menyaksi dan mengamati sebuah ‘pengalaman’ muzik dan persembahan oleh seniman legendaris M.Nasir di atas pentas Jiospace pada hari tersebut.

Tamasya Anak Muda bukan hanya sekadar pesta muzik. Di perkarangan luar, terdapat Tamasya Sunburst Marketplace yang menyajikan jenama-jenama terkemuka, kedai-kedai unik, serta instalasi seni yang menarik.

Pengunjung juga akan diajak untuk menikmati alunan muzik busking di acara tersebut, yang tidak hanya memainkan lagu-lagu arus perdana, tetapi membawa tema-tema kerakyatan dan tradisi juga.

Tamasya Sunburst Marketplace yang akan diadakan pada dua-dua hari tersebut di perkarangan luar festival ini boleh diakses secara percuma kepada para pengunjung.

Bagi peminat konsert yang akan diadakan pada Sabtu, 6 Januari sahaja, tiket boleh didapati dengan harga RM207.

Acara ini dibawakan oleh Luncai Emas bersama rakan-rakan kongsi seperti Sunburst Store yang bertanggungjawab dalam kurasi Tamasya Sunburst Marketplace, Mercy Malaysia sebagai NGO yang mengumpul derma buat mangsa-mangsa tragedi di Palestin, SIAR dalam penganjuran aktiviti-aktiviti, Fung Keong dan sebagainya. Ia juga disokong oleh Yayasan Hasanah dan ArtsFAS yang turut serta menjayakan festival ini.

Tamasya Anak Muda merupakan pintu kepada revolusi budaya yang diilhamkan oleh seni dan muzik. Ia meraikan kepelbagaian dan perpaduan antara tradisi dan kekinian dalam satu platform untuk menggerakkan minda generasi muda.

Untuk maklumat lanjut mengenai acara ini serta pembelian tiket, sila layari www.jiotix.asia- 7KLIK


Post a Comment

0 Comments