Hot Posts

6/recent/ticker-posts

"Saya tidak pernah cakap tak nak nyanyi atau tarik diri" - Ernie Zakri perjelas isu lagu Astana di SFMM38

KUALA LUMPUR: Ketiadaan nama Ernie Zakri selaku penyanyi asal lagu Astana pada pengumuman 30 lagu yang layak ke Separuh Akhir Muzik Muzik 38 (SFMM38) menimbulkan persoalan dalam kalangan ramai.

Susulan itu, Ernie atau nama lengkapnya Nur Ernie Shahirah Zakri, menjadi bualan ramai apabila didakwa menarik diri daripada menyanyikan lagu ciptaan bersama Omar K, Syamel dan Syazriq Azeman yang tercalon ke SFMM38 seperti yang diumumkan pada majlis sidang media yang dianjurkan oleh TV3 pada 10 Disember lalu.

Universal Music Malaysia bagaimanapun menjelaskan Ernie tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan pencalonan dan penyertaan lagu Astana sepertimana yang dilaporkan dalam beberapa media.

Penyanyi berusia 31 tahun itu dalam satu kenyataan, menafikan dakwaan dia sengaja tidak mahu menyanyikan lagu terbabit di SFMM38 seperti yang didakwa.

"Saya adalah penyanyi asal dan komposer lagu ini. Sudah tentu saya nak menyanyikan lagu ini. Malah, tidak pernah cakap saya tak nak nyanyi atau tarik diri.

"Namun disebabkan terdapat beberapa terma perbincangan yang belum selesai antara pihak RIM dan MPB, ia menjadi penghalang untuk saya mempersembahkan lagu ini di SFMM38," tegasnya.

Sementara itu, Universal Music Malaysia berkata, Ernie selaku artis yang kini di bawah naungan Universal Music Malaysia, cakna mengenai kenyataan RIM dan MPA mengenai terma dan syarat pencalonan lagu dalam Muzik-Muzik yang masih dalam perundingan.

"Ernie Zakri menyatakan bahawa dia sentiasa mematuhi prosedur label antarabangsa Universal Music Malaysia serta menghormati pendirian kedua-dua persatuan iaitu RIM dan MPA yang mewakili syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa serta pemegang hak rakaman bunyi/video dan karya di Malaysia," kata kenyataan itu.

Untuk rekod, lagu Astana dicalonkan selepas Ernie menyertai syarikat rakaman Universal Music Malaysia pada Julai lalu.

Dalam pada itu, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Persatuan Penerbit Malaysia (MPA) menjelaskan, pihak mereka masih dalam rundingan dengan Media Prima mengenai terma dan syarat pencalonan lagu dalam program Muzik Muzik yang disiarkan di TV3.

Menurut Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, sesi dialog sudah dibuat membabitkan semua pihak sejak Ogos lalu namun tidak dapat mencapai penyelesaian yang memuaskan.

“Banyak ahli kami yang terdiri dari syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa tidak mencalonkan rakaman lagu artis mereka dalam program Muzik Muzik tahun ini kerana tidak bersetuju dengan klausa tertentu dalam borang pencalonan lagu program itu.

"Kami sudah mengadakan sesi dialog bersama pihak pengurusan tertinggi Media Prima mengenai perkara ini pada awal Ogos tahun ini dan sudah mengetengahkan klausa bermasalah dalam borang pencalonan tersebut buat perhatian mereka.

"Walaubagaimanapun, sehingga kini, kami masih belum dapat penyelesaian yang memuaskan sepenuhnya berhubung perkara ini dan berharap dapat mencapainya dengan segera untuk klausa dan isu berkenaan”, katanya.


ARTIKEL LAIN: jaclyn-victor-dinobat-juara-all-star
ARTIKEL LAIN: persembahan-ini-menjadi-satu-sejarah
ARTIKEL LAIN: kes-saman-siti-nordiana-lima-sekawan

Post a Comment

0 Comments