SELALUNYA cerita yang bertemakan perayaan Thanksgiving akan memaparkan kisah kekeluargaan dengan elemen santai dan menghiburkan. Barangkali itu tanggapan pertama sesetengah penonton apabila melihat judul filem arahan terbaharu Eli Roth, Thanksgiving yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam.
Namun hal sebaliknya dipaparkan dalam filem ini yang penuh kejutan. Biarpun tampil dengan jalan cerita sederhana, tetapi gaya penceritaannya berjaya memberi impak tersendiri.
Filem genre seram dan thriller ini mengisahkan tentang tragedi berdarah yang berlaku di pasaraya Bright Mart ketika mengadakan jualan 'Black Friday' pada hari sambutan Thanksgiving. Teruja dengan jualan murah yang diadakan, orang ramai sudah siap sedia menunggu di depan pintu pasaraya sebelum ia memulakan operasi sehingga menjadikan keadaan menjadi sesak luar biasa.
Pada ketika sama, Jessica iaiatu anak kepada pemilik pasaraya tersebut tiba-tiba datang bersama rakan-rakan kolejnya dan masuk menggunakan pintu belakang yang dikhaskan untuk kakitangan. Apabila melihat kelibat mereka sudah bearda dalam pasaraya, orang ramai menjadi marah dan berasakan ia tidak adil kepada mereka yang sudah lama menunggu di depan pintu utama yang masih belum dibuka.
Akibatnya masing-masing hilang sabar dan merempuh pintu masuk serta menyerbu untuk mendapatkan barang-barang yang dijual dengan harga murah. Keadaan menjadi tidak terkawal sehingga mencetuskan kacau bilau termasuk kematian beberapa orang yang berada di tempat kejadian.
Selepas setahun berlalu, pemilik pasaraya tersebut sekali lagi mahu mengadakan jualan murah besar-besaran pada hari Thanksgiving tanpa mempedulikan bantahan masyarakat setempat, seolah-olah tidak mengambil pengajaran daripada tragedi yang meragut nyawa sebelum itu.
Tiba-tiba video rakaman tragedi berdarah itu kembali tersebar di media sosial dan muncul seorang lelaki misteri dikenali John Carver yang memberi bayangan untuk membalas dendam dan 'mengajar' mereka yang terlibat dalam insiden terbabit.
Akhirnya seorang demi seorang daripada mereka yang kelihatan dalam rakaman video terbabit dibunuh dengan kejam. Malah bahagian badan si mangsa dipotong untuk disajikan sebagai hidangan Thanksgiving kepada Jessica dan rakan-rakannya.
Sepanjang hampir dua jam tayangan filem ini, penonton tidak senang duduk menyaksikan adegan-adegan brutal yang penuh kejutan. Gabungan elemen seram dan slasher dalam filem ini membikin adrenalin bergerak laju tanpa sempat untuk bertenang. Bayangkan babak pembunuhan berdarah yang sangat mengerikan dengan penggunaan senjata-senjata seperti kapak, gergaji dan seumpamanya disajikan secara bergantian. Sangat intense.
Pengarah juga menggunakan kreativitinya dengan begitu baik dalam mewujudkan suasana seram dan misteri bagi menyokong babak-babak yang ditampilkan. Segalanya dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk menarik emosi marah, kasihan, takut dan sedih daripada penonton.
Pengarah juga menggunakan kreativitinya dengan begitu baik dalam mewujudkan suasana seram dan misteri bagi menyokong babak-babak yang ditampilkan. Segalanya dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk menarik emosi marah, kasihan, takut dan sedih daripada penonton.
Malah plot twist filem ini juga tidak dapat dihidu penonton sehinggalah pada babak-babak akhir selepas puzzle mula dicantumkan satu demi satu. Selain itu, lakonan para pemainnya juga berhasil baik dan banyak menyumbang kepada perjalanan cerita.
Untuk mengetahui seperti apakah kisah paparan dalam Thanksgiving ini, jangan ketinggalan menonton di pawagam yang berdekatan mulai 30 November. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN: dr-cheon-and-lost-talisman-elemen
ARTIKEL LAIN: dr-cheon-and-lost-talisman-elemen
THANKSGIVING
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: 18
Genre: Seram/thriller
Durasi: 1 jam 46 minit
Pengarah: Eli Roth
Pelakon: Patrick Dempsey, Addison Rae, Milo Manheim, Jalen Thomas Brooks, Nell Verlaque
Edaran: Sony Pictures Entertainment
Tarikh Tayangan: 30 November 2023
Bintang: 7/10
[KREDIT FOTO & VIDEO: Sony Pictures Entertainment]
0 Comments