Oleh: AILEEN ADAM
KUMPULAN K-Pop wanita popular, Blackpink akhirnya rasmi memperbaharui kontrak mereka bersama agensi sama yang dinaungi sebelum ini, YG Entertainment.
Perkembangan terbaharu itu disahkan agensi terbabit dalam satu pengumuman yang dibuat kepada media pada Rabu, sekali gus menjawab segala spekulasi liar yang bertebaran termasuk kumpulan itu bakal dibubarkan jika kontrak tidak disambung.
Kini keempat-empat anggota Blackpink iaitu Jennie; 27, Jisoo; 28, Rosé; 26, dan Lisa; 26, sah kekal dalam pengurusan agensi yang telah menampilkan debut mereka pada 2016.
YG dalam kenyataan tersebut berkata, keputusan itu dicapai setelah melakukan rundingan dan perbincangan panjang serta teliti dengan Blackpink selepas kontrak mereka tamat pada Ogos lalu.
"Setelah berdiskusi secara hati-hati dengan Blackpink, kami telah menandatangani kontrak eksklusif baharu untuk aktiviti kumpulan, berdasarkan kepercayaan kuat yang dimiliki antara satu sama lain," kata kenyataan itu.
Susulan pembaharuan kontrak tersebut, agensi terbabit berjanji untuk terus menghargai sokongan peminat Blackpink yang dikenali sebagai Blink dengan lebih banyak aktiviti yang bersesuaian dengan status kumpulan itu yang kini mempunyai pengaruh cukup besar di peringkat global.
YG khabarnya sudahpun mengatur beberapa perancangan dan projek besar untuk Blackpink termasuk album baharu dan konsert mega jelajah dunia akan datang.
Pemilik dan pengasas YG Entertainment, Yang Hyun Suk juga meluahkan rasa lega apabila isu pembaharuan kontrak Blackpink kini selesai.
"Kami gembira dalam terus bekerjasama dengan Blackpink. pada masa akan datang, Blackpink akan melakukan yang terbaik untuk lebih berprestasi dan berpengaruh di pasaran muzik global serta sebagai artis K-Pop. Saya akan memberi sokongan penuh dan kepercayaan pada apa yang mereka lakukan," katanya.
Bagaimanapun, difahamkan pembaharuan kontrak tersebut hanya melibatkan aktiviti dalam kumpulan dan tidak melibatkan aktiviti secara solo. Ia mungkin masih dalam rundingan dan belum mendapat ketetapan.
Situasi itu juga barangkali seperti memberi bayangan setiap anggota Blackpink bebas menandatangani kontrak untuk aktiviti solo mereka bersama mana-mana agensi lain.
Situasi itu juga barangkali seperti memberi bayangan setiap anggota Blackpink bebas menandatangani kontrak untuk aktiviti solo mereka bersama mana-mana agensi lain.
Terdahulu Blackpink mencuri perhatian ramai apabila mendapat penghormatan tertinggi dengan menerima darjah kehormat MBE daripada Monarki Britain yang disempurnakan oleh Raja Charles III di Istana Buckingham baru-baru ini.
Kumpulan yang popular dengan lagu Ddu-Du Ddu-Du, How You Like That, Kill This Love dan Shutdown itu juga baru sahaja menyelesaikan siri konsert jelajah dunia Born Pink mereka di 34 bandar seluruh dunia yang bermula pada Oktober 2022, sebelum melabuhkan tirai di Seoul, Korea Selatan pada September lalu. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments