Hot Posts

6/recent/ticker-posts

[REVIEW] Napoleon: Antara pertempuran epik, dramatik romansa


BAGI penonton yang menggemari filem yang mengangkat tema sejarah dan aksi perang, filem Napoleon semestinya menjadi satu naskhah yang yang paling ditunggukan untuk tahun 2023. Apatah lagi jeneral ikonik itu merupakan tokoh penting dalam sejarah Perancis dan mendunia dengan kehebatannya yang menjadi bualan sejak sekian lama.

Justeru karya garapan terbaharu daripada pengarah Ridley Scott disandarkan harapan yang tinggi untuk mengenali tokoh hebat itu secara dekat.

Filem Napoleon yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam Malaysia bermula 30 November lalu itu mengisahkan tentang sejarah pemimpin Perancis terkenal iaitu Napoleon Bonaparte. Mengambil latar masa era Revolusi Prancis pada tahun 1793, Bonaparte melalui proses dan mengatur langkah menuju kekuasaan tertinggi.

Menggunakan kepintaran, keberanian dan kehebatannya dalam strategi perang melawan negara-negara Eropah, Bonaparte yang bercita-cita tinggi itu berjaya mendapat kedudukan diinginkan, malah diangkat sebagai Maharaja.

Pada sisi lain, Bonaparte digambarkan sebagai seorang lelaki yang mempunyai obsesi dan sangat mencintai isterinya, Joséphine sehingga sanggup berbuat apa sahaja biarpun hakikatnya dia melalui hubungan perkahwinan yang 'dingin'. Mereka akhirnya bercerai tanpa kerelaan setelah isterinya itu gagal memberikan zuriat, sedangkan Bonaparte didesak menyambung keturunannya untuk mendapatkan pewaris takhta.

Masa berlalu dan cabaran berganti apabila kekuasaan Bonaparte semakin lemah di mana dia berdepan dengan kegagalan dalam beberapa pertempuran penting sehingga akhirnya dilucutkan jawatan dan dibuang negeri.


Filem ini sebenarnya bermula dengan paparan yang menarik dan membuatkan penonton untuk teruja untuk mengetahui apa sebenarnya yang sedang dan akan berlaku kepada karakter utamanya. Namun apabila tidak semena-semena kisah cinta dan obsesi yang ditunjukkan jeneral itu kepada wanita bernama Joséphine, perjalanan cerita terlihat seperti hilang fokus.

Keterujaan untuk mengikuti kisah kehebatan jeneral mengatur pelbagai strategi dalam pelbagai siri pertempuran epik sedikit terganggu dengan adegan-adegan romansa tidak terduga yang melatari naskhah itu.

Penceritaannya tidak berkembang baik, malah dilihat gagal membawa penonton untuk menikmati dan mendalami sejarah epik yang diperkatakan tentang tokoh itu. Sedikit membosankan dan seolah-olah tidak berperisa.

Apatah lagi ramai yang mempersoalkan ketepatan sejarah mengenai tokoh tersebut, selain beberapa peristiwa penting yang dikatakan diangkat secara 'permukaan' sehingga menajdi kurang jelas dan mengelirukan.


Pun begitu, visual dan sinematografi yang yang dipaparkan dalam naskhah itu sangat menakjubkan terutamanya melibatkan adegan siri pertempuran hebat seperti Battle of Austerlitz dan Battle of Waterloo.

Syot-syot yang diketengahkan dilihat terperinci dan sangat mengagumkan. Antaranya suasana medan perang, tembakan meriam, dan kehancuran yang terhasil akibat pertempuran itu ditonjolkan dengan begitu baik.

Malah kreativiti dan ketelitian Scott terhadap kostum dan latar set untuk menggambarkan Eropah pada era itu sangat cantik dan meyakinkan.

Dari segi lakonan, filem ini menampilkan barisan pelakon hebat dan penuh karisma bagi mendokong watak-watak penting yang sememangnya berperanan besar dalam perjalanan kisah Napoleon itu sendiri.


Joaquin Phoenix sebagai Bonaparte berjaya mampamerkan persembahan yang memberikan impak. Biarpun sesekali terlihat seperti ada terlepas 'ciri' yang dibawakan dalam Joker (2019) sebelum ini, malah kurangnya loghat Perancis, aktor ini wajar dipuji.

Begitu juga dengan lakonan Vanessa Kirby yang membawakan karakter Joséphine dengan begitu mendalam. Dingin, manipulatif dan punya ciri tersendiri.   

Secara keseluruhannya, filem ini masih menghiburkan untuk ditonton. Jangan ketinggalan untuk menyaksikan di pawagam berdekatan. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:
 penuh-kejutan-thanksgiving-buat
ARTIKEL LAIN: dr-cheon-and-lost-talisman-elemen


NAPOLEON
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: 16
Genre: Aksi/biopik
Durasi: 2 jam 28 minit
Pengarah: Ridley Scott
Pelakon: Joaquin Phoenix, Vanessa Kirby, Ben Miles, Tahar Rahim
Edaran: Sony Pictures Entertainment
Tarikh Tayangan: 30 November 2023
Bintang: 6/10

[KREDIT FOTO & VIDEO: Sony Pictures Entertainment]

Post a Comment

0 Comments