Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Lebih teruja, The Masked Singer Malaysia musim baharu tampilkan pelbagai kelainan


PROGRAM pertandingan nyanyian penuh misteri yang berjaya mencetuskan fenomena untuk tiga musim berturut-turut kini kembali dengan menampilkan kepelbagaian kostum dan daya tarikan yang menakjubkan.

Tampil lebih gah dan bergaya, The Masked Singer Malaysia musim keempat bakal membuka tirainya semula dengan kehadiran 15 orang barisan selebriti terkemuka negara daripada nama-nama hebat daripada pelbagai cabang seni seperti penyanyi, pelakon, pelawak, personaliti TV, atlet sukan, pempengaruh media sosial dan ramai lagi.

Mengekalkan format asal program realiti terkemuka, The King of Mask Singer dari Korea Selatan, bakat-bakat ini akan bertanding dan memaparkan kehebatan nyanyian masing-masing di hadapan barisan juri selebriti.

Hanya suara sahaja yang akan dipertaruhkan pada masa sama membuatkan panel juri meneka dan berdebat siapakah personaliti di sebalik topeng untuk dinobatkan sebagai juara.



Menurut Pengurus Saluran Astro Warna, Idlan Zahari, berkata, sebagai saluran komedi utama pilihan rakyat Malaysia, Astro Warna sentiasa peka dengan kehendak penonton dan berusaha menyajikan kandungan terkini, sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

"Kami menyambut baik sokongan para peminat dan penontan yang mahukan perkembangan landskap industri hiburan dengan membawa kembali rancangan The Masked Singer Malaysia untuk musim keempat yang akan bersiaran secara langsung dengan menggabungkan muzik dan komedi sebagai salah satu cabang seni yang bergerak secara beriringan; sekaligus mentakrifkan semula genre lawak.

"Menerusi kejayaan pada musim-musim lalu, Astro terus ke hadapan dengan menaik taraf kostum-kostum untuk diperlihatkan kepada peminat dengan menyelitkan elemen yang dekat dengan masyarakat Malaysia termasuk flora, fauna dan kepelbagaian makanan tempatan, hasil rekaan Puan Akma Suriati Awang serta mendapat sentuhan istimewa daripada pereka terkenal tempatan Syomirizwa Gupta.

"Selain itu, penjurian di musim keempat turut mengambil kira undian daripada Juri Tetap sebanyak 80% dan undian daripada penonton sebanyak 20% untuk setiap minggu. Pihak Astro berharap agar musim keempat ini dapat mengekalkan tradisi seperti sebelumnya apabila rancangan The Masked Singer Malaysia berjaya mengungguli hati rakyat Malaysia dengan nilai produksi yang hebat serta suara-suara mantap di sebalik topeng,” katanya.



Seramai 15 orang selebriti dan personaliti tempatan dengan gabungan duo akan memperagakan 14 kostum unik pada musim ini.

Kostum tersebut terdiri daripada Musang, Sang Kancil, Putera Katak, Mat Helang, Abang Jagung, Roti John, Bawang Putih, Kak Cat, Ikan Emas, Teratai, Bunga Matahari, Pom Pom Kin, Biskut Aiskrim dan Cili Padi (pasangan duo).

The Masked Singer Malaysia musim keempat ini bakal menyaksikan penglibatan seramai sembilan orang personaliti daripada pelbagai cabang industri hiburan untuk menduduki kerusi Juri Tetap termasuk Datuk Aznil Hj Nawawi, Erra Fazira, Elly Mazlein, Nabila Huda, Rozita Che Wan, Sherry Alhadad, Zizan Razak, Michael Ang dan Angah (SINAR).

Dalam pada itu, buat pertama kalinya, program The Masked Singer Malaysia bakal bersiaran secara langsung dengan durasi selama dua sehingga tiga jam bagi setiap episod. Ini merupakan satu lagi cabaran besar buat barisan peserta musim ini sekaligus menjadi cabaran baharu buat pihak produksi. Malaysia merupakan negara kedua yang berani menyahut cabaran untuk bersiaran secara langsung.


Program yang sekali lagi dihoskan oleh Datuk AC Mizal itu akan akan bersiaran selama 10 minggu dan berlangsung di CIBD Convention Center Kuala Lumpur.

The Masked Singer Malaysia akan menemui penonton pada setiap Ahad, mulai 17 Disember 2023, jam 9 malam di Astro Warna (Saluran 107 HD) dan boleh distrim secara eksklusif menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO. - 7KLIK




[FOTO: Astro]

Post a Comment

0 Comments