Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Kumpulan Ungu, bakal hangatkan Pesta Muzik Kuantan


KUMPULAN popular dari Indonesia, Ungu bakal tampil bersama barisan artis terkenal tanah air menghiburkan penonton di Pesta Kuantan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur Kuantan, Pahang, pada 24 Februari depan.

Pesta Muzik Kuantan itu direncanakan sempena menyambut kepulangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah bersama KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang bakal menamatkan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI di Istana Negara dan berangkat pulang ke negeri Pahang.

Pesta ini bakal mempersembahkan gabungan seni muzik dan budaya penduduk tempatan yang ingin terus dipelihara dan dikomersialkan sebagai antara daya tarikan pelancongan ke Kuantan dan negeri lain di sekitar Pantai Timur.

Penampilan Ungu yang cukup terkenal dengan hits seperti Kekasih Gelapku dan Cinta Dalam Hati bakal mencatat sejarah tersendiri sebagai kumpulan Indonesia pertama yang tampil di Pesta Muzik Kuantan.

Menurut Pasha yang mewakili Ungu, lamaran Showpro Entertainment selaku penganjur, adalah kesempatan yang tidak selalu ada dan mereka mengaku tiada sebab untuk menolak selepas melihat objektif yang mahu dicapai menerusi Pesta Muzik Kuantan.

“Terlebih dahulu kami ingin berterima kasih kepada penganjur kerana memilih Ungu untuk turut serta di Pesta Muzik Kuantan. Ini mungkin akan menjadi pengalaman pertama kali kami menjayakan persembahan bermain di hadapan penduduk Pahang dan  Pantai Timur.

“Lebih istimewa, penganjuran Pesta Muzik Kuantan ini adalah bersempena dengan sambutan kepulangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke Pahang.

"Ia menjadi satu penghormatan buat Ungu apa lagi berkongsi pentas bersama barisan artis tanah air dan bertemu peminat di negeri Pantai Timur,” ujarnya.


Selain Ungu, Pesta Kuantan turut menampilkan Naim Daniel, Khai Bahar, Ara Johari, Nabila Razali, Eda Ezrin dan Den Manjo.

Menurut Pengarah Showpro Entertainment, Puan Haniah Hassan, penganjuran Pesta Muzik Kuantan adalah satu penghormatan buat KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, selain mahu memberikan peluang kepada penonton menikmati sebuah keraian yang menggabungkan antara muzik dan kebudayaan setempat.

“Showpro Entertainment sangat berbesar hati menganjurkan Pesta Muzik Kuantan sempena menyambut kepulangan KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku ke negeri Pahang.

"Keraian ini tidak akan lengkap tanpa bintang jemputan utama, Ungu di mana kumpulan yang sangat popular di Malaysia ini tidak pernah hadir mengadakan persembahan di Stadium Darul Makmur secara khusus. Maka ia adalah peluang terbaik untuk rakyat Pahang dan penonton dari sekitar Pantai Timur datang menyaksikan persembahan kumpulan ini.

“Selain hiburan, Pesta Muzik Kuantan juga mempunyai objektif untuk terus melestarikan budaya termasuklah makanan dan produk tempatan kepada pengunjung dari pukul 11 pagi di kawasan luar stadium,” katanya
.
Tiket Pesta Kuantan dijual dengan harga RM58, RM88, RM98, RM118, RM128, RM388, RM448.00 dan RM628. Pembelian boleh dibuat bermula 29 Disember melalui Ticket 2U.

Selain konsert yang bermula pada sekitar jam 5 petang, Pesta Muzik Kuantan juga tampil dengan pelbagai aktiviti termasuk karnival jualan makanan Pahang, cenderahati dan lain-lain di perkarangan stadium.  - 7KLIK


Post a Comment

0 Comments