GELOMBANG Oren membanjiri pusat membeli belah IOI City Mall Putrajaya apabila beratus peminat BoBoiBoy hadir untuk memberi sokongan kepada siri animasi terbaharunya yang kini tiba selepas lima tahun mendiamkan diri.
Watak hero tempatan kegemaran ramai, BoBoiBoy kini bersedia untuk menceriakan cuti sekolah hujung tahun ini dengan kemunculan siri baharunya. Saat yang dinanti-nantikan ramai iaitu penayangan siri animasi BoBoiBoy Galaxy Sori kini menemui para penonton di seluruh rantau Asia mulai 3 Disember menerusi platform penstriman popular NETFLIX dan MONSTA YouTube Channel.
Stesen TV9 akan turut menayangkan siri tersebut bermula 13 Disember 2023 di kaca televisyen tempatan.
Demi meraikan para peminat dan penonton setia BoBoiBoy, MONSTA telah menganjurkan acara Megafan Screening BoBoiBoy Galaxy Sori dengan kerjasama GSC. Para peminat disajikan dengan persembahan OST BoBoiBoy Galaxy Sori iaitu Kembali Beraksi nyanyian Firdaus Rahmat, bertemu mesra dengan barisan pelakon suara siri tersebut, bergambar dengan maskot BoBoiBoy dan banyak lagi.
Mereka juga adalah antara yang pertama di dunia untuk menonton episod satu, dua dan tiga dari siri animasi tersebut dengan penayangan khas di layar perak.
Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak turut berkongsi kegembiraan dengan orang ramai atas sokongan mereka kepada BoBoiBoy.
“BoBoiBoy sudah beraksi lebih 12 tahun, dan kami amat berterima kasih kerana sokongan yang berterusan kepada BoBoiBoy.
"Kami sedar yang ramai penonton yang mengikuti BoBoiBoy dari kecil, kini mereka sudah membesar dan sudah dewasa. Mereka ini kami namakan sebagai Generasi-B (BoBoiBoy), di mana mereka setia dan membesar bersama BoBoiBoy bukan setakat sebagai siri animasi, tetapi juga sebagai ikon yang sihat dan mempunyai jati diri yang kuat yang boleh dicontohi,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Besar, Pengurusan Program dan Kandungan Penyiaran TV9, Khairunnisa Kamarulzaman berkata, siri baharu animasi popular itu diharapkan mendapat sambutan ramai.
"Kami berbesar hati untuk menjadi penyiar rasmi BoBoiBoy Galaxy Sori kerana ini merupakan salah satu siri animasi yang sentiasa mendapat tempat di hati penonton-penonton cilik TV9.
"BoBoiBoy juga merupakan sebuah jenama animasi yang sesuai dengan tema Jaguh Kartun di TV9 di mana karakter-karakter dalam BoBoiBoy tidak mudah putus asa di dalam apa jua keadaan dan mempunyai semangat setia kawan yang tinggi, ia sesuai dengan konsep juara yang cuba ditekankan oleh TV9.
"Nilai-nilai murni begini yang kita mahu penonton-penonton di TV9 terapkan di dalam kehidupan seharian," katanya.
Bersempena dengan kemunculan tayangan siri animasi BoBoiBoy Galaxy Sori, TV9 bakal mengadakan peraduan Tonton dan Menang. Pemenang bertuah bakal membawa pulang barangan istimewa BoBoiBoy.
Tayangan BoBoiBoy Galaxy bakal dibahagikan kepada empat siri pendek iaitu BoBoiBoy Galaxy Sori, BoBoiBoy Galaxy Windara, BoBoiBoy Galaxy Gentar dan BoBoiBoy Galaxy Gur’latan.
Setiap siri akan mengandungi enam episod baharu dengan tema yang berbeza, berlatarbelakangkan penceritaan dan pengembaraan yang diolah semula dari siri komik BoBoiBoy Galaxy musim kedua keluaran MONSTA.
MONSTA komited untuk menghasilkan kandungan yang menarik serta selamat ditonton oleh kanak-kanak dan seisi keluarga. Usaha ini merupakan keutamaan dan fokus mereka dalam untuk memastikan generasi kini mempunyai ikon hero tempatan yang boleh dicontohi. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN: krishen-jit-fund-umum-5-penerima-dana
ARTIKEL LAIN: uks-slam-bergabung-dalam-satu-konsert
[KREDIT FOTO: TV9]
2 Comments
Asyraff palestin
ReplyDeleteFs
ReplyDeleteJduufh