PELAKON Lee Sun-Kyun ditemui tidak bernyawa dalam sebuah kereta di parkir kenderaan Taman Waryong, Seoul, Korea Selatan pada pagi Rabu.
Berita tersebut disahkan oleh Balai Polis Seongbuk Seoul yang menemui bintang filem Parasite itu dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dilaporkan meninggal dunia.
Turut ditemui dalam kereta tersebut adalah briket arang (sejenis arang beracun) menyala, sekali gus membawa kepada kemungkinan kematian itu adalah kerana bunuh diri.
Menurut laporan media tempatan, polis membuat pencarian selepas menerima panggilan kecemasan daripada isterinya, Jeon Hye-Jin yang memaklumkan aktor tersebut memberi bayangan seolah-olah mahu membunuh diri menerusi sekeping nota sebelum menghilangkan diri.
Beberapa bulan lalu, Sun-Kyun, 48, berdepan kontroversi apabila didakwa terlibat dengan kes penyalahgunaan dadah di sebuah kelab malam di daerah Gangnam. Susulan dakwaan itu juga, dia telah dipanggil polis untuk disoal siasat sebanyak tiga kali.
Namun bapa kepada dua cahaya mata itu menafikan sekeras-kerasnya terlibat dengan kes tersebut, malah pernah bercadang untuk menjalani ujian pengesan pembohongan (lie detector test) menerusi peguamnya bagi membuktikan dia tidak bersalah. Hasil saringan yang dibuat ke atasnya semasa siasatan juga adalah negatif.
Aktor asal Seoul itu turut dikenali menerusi My Mister, Coffee Prince, Pasta, Diary Of Prosecutor dan lain-lain. - 7KLIK
0 Comments