PENYANYI Alvin Chong atau kini dikenali dengan nama ALVN, kembali dengan buah tangan terbaharu menerusi single berjudul Over Again.
Disusun dan diterbitkan oleh Seatravel, karya tersebut digubah dengan bijak oleh sekumpulan pemuzik profesional berbakat yang terdiri daripada Lew Jia Hao, Chaw Liang Xin, Jayson Teoh Xiong Phen dan Chai Shing Di yang turut menulis lirik lagu tersebut.
Menurut ALVN, lagu Over Again menyelami kekesalan dalam perhubungan kekasih ekoran tindakan terburu-buru sehingga menyebabkan kedua-dua pihak yang terlibat dalam perhubungan itu tersakiti.
"Apabila masa berlalu, kesedaran muncul dan menyedarkan bahawa kerosakan yang telah terjadi tidak dapat dipulihkan.
"Walaupun begitu, keindahan yang dirasai tidak dapat dihalang hingga memaksa kitaran pedih itu berulang, akhirnya membawa kepada satu titik di mana seseorang itu kehilangan jati diri mereka," jelasnya.
Mengulas lebih lanjut, bintang berusia 32 tahun itu yakin untuk mempertaruhkan irama yang agak berbeza lewat karya kali ini kerana mahu mencuba genre muzik baharu.
“Slow rock ialah genre baharu yang saya ingin cuba. Lagu ini mempunyai rangkaian not yang luas, bermula dengan bariton yang sangat rendah pada permulaan dan akhirnya korus yang memuncak. Saya percaya ‘over again’ pasti menyeronokkan apabila dipersembahkan dengan live band,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: alvin-chong-luah-perasaan-dalam-one-and
ARTIKEL BERKAITAN: alvin-chong-to-premier-sayangku-salmah
Dengan pengalaman kerja yang lama bersama ramai individu berbakat dalam pelbagai projek seni, ALVN yang juga 'wajah' yang sering mewakili pelbagai jenama fesyen mewah itu mengakui teruja berkongsi tentang muzik video lagu tersebut.
"Video muzik untuk lagu ini menjalani penggambaran di luar negara. Malah, ia turut menyaksikan penyertaan jenama mewah antarabangsa Longines.
"Sebagai rakan kepada Longines selama dua tahun, saya dijemput untuk melawat Muzium Warisan Longines di Switzerland dan diberikan peluang untuk merakamkan video muzik Over Again di sana. Video muzik itu memaparkan pemandangan yang indah dan menakjubkan," jelasnya teruja.
Dalam pada itu, ALVN dimaklumkan bahawa dia merupakan salah seorang selebriti Malaysia dan antara yang pertama di dunia yang diberi peluang untuk membuat penggambaran di Muzium Warisan Longines. Walau bagaimanapun, akui ALVN, proses rakaman tersebut datang dengan sedikit cabaran.
"Demo asal yang diberi sebenarnya dua key lebih tinggi, jadi saya terpaksa menurunkannya kerana ia tidak di luar julat vokal saya.
"Di sebalik kesemua cabaran ini, saya berpuas hati dengan hasilnya dan berharap lagu ini akan digemari oleh para pendengar," katanya yang pernah berkolaborasi dengan penyanyi Korea Selatan menerusi lagu hit OneMoreNight.
Akui ALVN, keinginan menulis dan menyanyinya adalah sentiasa untuk memberi inspirasi kepada orang ramai menceritakan kisah mereka dan melakukan perkara yang disukai dan bukannya melakukan apa yang orang suruh mereka lakukan.
"Lagu ini juga merupakan sedikit pengenalan buat album penuh saya yang bakal muncul tidak lama lagi. Buat masa ini ia masih dalam proses perbincangan dan pemilihan konsep.
"Terdapat tiga lagi lagu yang akan dikeluarkan sebagai single seterusnya dan saya masih lagi akan berkarya sebelum mengeluarkan album sulung," katanya yang gembira apabila Longines percaya dan menyokongnya selama dua tahun dalam kerjaya muzik.
Over Again sudah pun berada di semua platform digital sejak tanggal 8 Disember lalu, manakala video muzik pula boleh ditonton di YouTube.
ARTIKEL LAIN: kembali-ke-kuala-lumpur-dmasiv-bawa
ARTIKEL LAIN: konsert-sifu-dan-aku-ramai-teruja
ARTIKEL LAIN: assalamualaikum-versi-baharu-solidariti
[KREDIT FOTO: Universal Music Malaysia]
0 Comments