USAHAWAN kosmatik, Datuk Sri Alha Alfa sentiasa terbuka menerima cabaran baharu, sekali gus menampilkan versi terbaik dirinya.
Setelah meraih pelbagai kejayaan sebagai usahawan dalam bidang kosmatik, pemilik nama sebenarnya Abdul Al-Halim Al-Fadzil, 34, itu memberanikan diri untuk meluncurkan single yang dinyanyikan secara duet bersama Zara Zya.
Menurut Alha, penghasil single berjudul Cinta Agung itu bukan bertujuan untuk memulakan langkah sebagai penyanyi profesional, sebaliknya sekadar memeriahkan dan mewarnai dunia seni muzik tempatan.
“Idea di sebalik penghasilan single ini timbul secara santai dan secara jujurnya saya tidak mempunyai tujuan khusus untuk menghasilkan lagu ini.
"Untuk pengetahuan semua, saya dan Zara Zya gemar berkaraoke, kami mempunyai beberapa kenalan rapat yang digelar ‘geng karaoke’. Kebetulan juga, saya berkawan baik dengan Yuka Kharisma yang merupakan seorang penyanyi dan komposer terkenal. Pernah saya berseloroh meminta dia menciptakan sebuah lagu dan tanpa diduga Yuka beritahu telah menyiapkan sebuah single untuk saya.
"Jadi saya terima pelawaan tersebut dan mengajak Zara Zya untuk berduet bersama. Hakikatnya lagu ini sudah pun dihasilkan hampir setahun yang lalu. Kini, tiba masa kami luncurkannya," jelasnya.
Biarpun sibuk dengan peniagaan kosmatik yang diceburi, Alha yang sebelum ini bermula sebagai jurusolek artis, tidak pernah lupa rakan-rakan selebriti dalam industri yang banyak menyokongnya selama ini.
Atas ingatan itu juga, pemilik Alha Alfa Rich Legacy itu cuba membalas kembali dengan tampil sebagai penaja untuk beberapa acara hiburan seperti Anugerah Bintang Popular, Anugerah Juara Lagu dan lain-lain.
“Saya hanyalah seorang usahawan biasa dan masih banyak lagi yang saya harus pelajari. Hakikatnya, saya tidak mempunyai yang ‘niat khas’ untuk menampilkan ‘sisi lain Alha Alfa’. Apa yang saya lakukan hanyalah bertujuan memeriahkan lagi industri hiburan tanah air.
“Mengenang kembali permulaan sebagai seorang MUA (Make Up Artist), ramai rakan selebriti yang memberi sokongan, kepercayaan mereka berikan tidak mampu saya balas. Oleh itu, saya beranggapan, dengan cara menaja anugerah-anugerah seperti Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Bintang Popular merupakan cara saya mengungkapkan terima kasih kepada sebuah industri yang amat bermakna kepada saya.
“Malah, penghasilan single bersama Zara Zya ini juga merupakan penghargaan saya terhadap beliau yang banyak membantu dan memberi sokongan sebagai seorang sahabat, biarlah ia diabadikan menerusi sebuah karya yang indah," katanya.
Akui Alha, dia juga seorang yang sukakan cabaran dan terbuka menyahut cabaran yang diberikan rakan-rakannya untuk melakukan sesuatu yang baharu.
“Fokus utama saya kini adalah Alha Alfa Cosmetics (AAC) dengan memastikan jenama kami dapat bersaing dengan jenama antarabangsa yang terlebih dahulu bertapak di industri kita.
“Dengan momentum yang ada pada jenama AAC, saya dan keluarga besar Alha Alfa Rich Legacy berimpian untuk meletakkan AAC sebagai jenama kecantikan nombor satu di pasaran Malaysia.
“Andai benar kini saya dilihat sebagai seorang selebriti, mudah-mudahan saya dikenali dan diingati kerana kehebatan produk kosmetik yang saya hasilkan dan inilah perancangan masa hadapan saya," katanya.
Dalam Perkembangan lain, AAC turut memperkenalkan keluaran terbaharu minyak wangi eksklusif bersama primadona filem Melayu, Datin Seri Umie Aida, Perfume AA X Umie Aida dan juga rangkaian Perfume AA sendiri. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN: antonim-realisasikan-impian-hael.html
ARTIKEL LAIN: korean-rock-sensation-memi-releases.html
ARTIKEL LAIN: alvn-over-again.html
0 Comments