KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya daripada tiga pertuduhan dadah yang dihadapinya pada Rabu.
Bagaimanapun Yasin atau nama penuhnya Muhammad Yasin Sulaiman, 48, diperintahkan mahkamah untuk ditempatkan di Hospital Bahagia, Perak sehingga tempoh selama mana yang diperkenan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Hakim Faiz Dziyauddin berkata, ketika kejadian tertuduh berada dalam keadaan mental yang tidak waras sebagaimana yang didakwa pada 24 Mac 2022.
"Mahkamah berpuas hati Muhammad Yasin melakukan ketiga-tiga kesalahan seperti dalam pertuduhan namun dia berada dalam keadaan tidak waras sehingga tidak mampu untuk mengetahui bahawa perbuatannya bertentangan dengan undang-undang.
"Walaupun tertuduh sedar akan perbuatannya itu namun gejala-gejala mania yang dihadapinya pada masa itu menyebabkan kemerosotan kognitif pada tahap teruk sehingga tertuduh tidak mampu untuk mengetahui bahawa perbuatan itu adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang.
"Maka mengikut Seksyen 348(1) Kanun Prosuder Jenayah, mahkamah memutuskan bahawa tertuduh diletakkan di bahawa jagaan Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak untuk tempoh selama mana diperkenankan oleh Sultan Selangor," katanya sebagaimana dilaporkan portal berita Astro Awani.
Terdahulu, penyanyi Mimpi Laila itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram pada Julai tahun lalu. Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum 39B(2) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Namun pertuduhan itu ditarik balik dan dia dituduh semula atas pertuduhan baharu, memiliki dadah seberat 193.7 gram. Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac 2022. Yasin dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.
Bagi pertuduhan lain, penyanyi itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.
Dia juga turut didakwa atas pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
[KREDIT BERITA: Astro Awani]
0 Comments