Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Suria, Era catat sejarah The Malaysia Book Of Records



STESEN radio Suria FM dan ERA berjaya meraih pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBR) sebagai Kolaborasi Rangkaian Radio Silang Pertama untuk Menyiarkan Siaran yang Sama Secara Serentak menerusi penjenamaan ERA Suria, Disini Segalanya Terkini diinspirasikan oleh CelcomDigi.

Sejarah tercipta menerusi gabungan segmen pagi Morning Morning Suria dan 3 Pagi ERA kelolaan Ajak, Shuib, Suraya, Nabil, Azad dan Radin yang bersiaran secara langsung pada 23 Oktober 2023 (Isnin), dari jam 6 hingga 10 pagi. Segmen tersebutmembincangkan topik ‘Dulu Kawan, Sekarang Lawan & Dulu Lawan, Sekarang Kawan’.

Majlis penyampaian sijil rasmi The Malaysia Book of Records itu telah disampaikan oleh Penolong Pengurus Pemasaran MBR, Jeska Seah, Perunding Rekod Kanan MBR, Siti Hajar Johor kepada Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin) dan Pengurus Kandungan ERA,  Hani Fadzil, dengan bersaksikan lebih 170,000 penonton sekali gus berjaya meraih sebanyak 4.3 juta likes di siaran langsung Tiktok Suria Malaysia dan ERA.

Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin), pihaknya berasa bersyukur dan gembira di atas pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records menerusi gabungan dua segmen pagi di Suria dan ERA.

"Kami abadikan pengiktirafan ini sebagai sebuah sejarah dalam industri radio Malaysia kerana ini merupakan satu konsep dan landskap baharu dalam industri radio tanah air.

"Mudah-mudahan ia mampu memberi inspirasi kepada penggiat industri radio yang lain untuk mengambil pendekatan yang sama mungkin dalam cara yang berbeza untuk terus memeriahkan industri ini agar terus berkembang maju," ujarnya.

Tambahnya lagi, apa yang diharapkan melalui jalinan kerjasama bersama ERA itu mampu menghasilkan satu perpaduan yang lebih utuh, selain mengadakan lebih banyak kolaborasi di masa mendatang.

Dalam masa sama, Suria FM akan terus memberi sokongan kepada segala inisiatif baik yang mampu memberikan impak positif kepada masyarakat khususnya buat para pencinta radio.

Sementara itu, Pengurus Kandungan ERA, Hani Fadzil, berkata merakamkan ucapan terima kasih kepada pendengar atas sokongan mereka dan berharap kolaborasi ERA dan Suria FM itu akan terus menjadi perintis dalam mengubah landskap audio tempatan.

"Terima kasih juga diucapkan kepada Malaysia Book of Records atas pengiktirafan yang diberikan dan diharap semua rakyat Malaysia dapat menikmati pilihan radio yang pelbagai dan relevan daripada kami," katanya. - 7KLIK


[KREDIT: Suria FM]


Post a Comment

0 Comments