Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Pentas Marhaban, program realiti TV Islamik untuk seisi keluarga



TV ALHIJRAH terus menguatkan kedudukan stesennya sebagai agen penggerak dakwah di platform penyiaran dengan membawakan sebuah program realiti TV baharu, Pentas Marhaban.

Pentas Marhaban adalah rancangan hiburan realiti TV Islamik bertujuan mengangkat kebudayaan seni suara dalam Islam iaitu seni berzanji, marhaban dan qasidah sebagai hiburan kekeluargaan di kaca televisyen.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, TV AlHijrah sentiasa memposisikan kedudukannya sebagai agen penyebar dakwah yang memikul tugas fardu kifayah dalam mendidik masyarakat Malaysia khususnya.

“Selepas kejayaan rancangan realiti Hijrahkan Laguku pada tahun 2021 dengan pencapaian keseluruhan (screen view) sebanyak 1.7 juta penonton  dan rancangan realiti Akademi Qurra’ (2022) dengan pencapaian keseluruhan sebanyak 4.4 juta penonton, TV AlHijrah perlu konsisten menghidangkan rancangan hiburan kekeluargaan mengikut syarak.

“Tambahan pula, baru-baru ini mengikut laporan data AC Nielson, TV AlHijrah terus memenangi hati penonton apabila berjaya melonjakkan jumlah tontonan peratusan perkongsian saluran sehingga menduduki tangga lima teratas stesen TV terbaik di Malaysia sekali gus mengatasi saluran hiburan di negara ini," ujarnya.


Namanzee Harris 


Menurut Namanzee lagi, kejayaan tersebut adalah penanda aras buat stesen TV itu untuk terus berjuang mengangkat martabat program-program yang bersifat spiritual dan Islamik ke mata dunia.

"Peningkatan yang baik ini juga adalah petanda baik bahawa rancangan Pentas Marhaban yang akan diterbit dan disiar secara langsung ini bakal menjadi fenomena di dalam dunia penyiaran," katanya.

Dalam pada itu, Namanzee juga teruja kerana TV AlHijrah merupakan satu-satunya stesen televisyen negara yang mengangkat aktiviti berzanji dan marhaban yang menjadi amalan tradisi masyarakat melayu dalam majlis-majlis perkahwinan, berkhatan dan cukur jambul ke kaca televisyen dan seluruh medium penyiaran sebagai program realiti.

“Pentas Marhaban diterbitkan bagi memenuhi metodologi dakwah yang lebih kreatif, bersesuaian dengan konsep Malaysia MADANI, Pelan Transformasi Al-Falah, peredaran zaman, kehendak penonton serta selari dengan tuntutan syarak.

"Ini secara jelasnya akan mewujudkan masyarakat yang lebih seimbang dari aspek spiritual dan fizikal," katanya.

Pentas Marhaban akan bersiaran langsung dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah, pada setiap Sabtu, jam 9 malam, mulai 11 November.

Program lapan episod yang mengangkat tema Hiburan Tradisi Nurani itu dihoskan oleh Syamsul Ghau Ghau dan Juara Akademi Qurra’ musim pertama, Tilmiz Fahmi.


Persembahan istimewa oleh penasihat Pentas Marhaban, Husaini Mahmur (tengah) ketika pelancaran program Pentas Marhaban.


Sementara itu, Ustaz Husaini Mahmur iaitu Qari Negara yang juga merupakan Qari bagi rancangan Quran@114 di TV AlHijrah akan bertindak sebagai penasihat Pentas Marhaban, manakala Ustazah Asni Mansor dan Ustaz Hafiz Gambus pula bertindak sebagai juri tetap, selain juri jemputan berbeza setiap episod.

Sebanyak 12 kumpulan marhaban bakal bersaing mengalunkan rangkaian puisi tentang kisah Rasulullah SAW serta puji-pujian kehadrat Ilahi yang disampaikan dengan irama tersendiri dengan penumpuan kepada tiga elemen utama pada setiap persembahan iaitu Mawal, Marhaban dan Qasidah.

Kumpulan tersebut terdirin daripada Al-Muhtadin, Selawat Buskers, Soutun Nadwah, Al Maqari, Mawaddah, Qalbun Hadi, An Ni’matul ‘Uzma, Shoutul Huffaz, Nurul Akhyar, Sinar Marhaban, Raudhatul Ashwaq dan Intracksee.

Jelas Namanzee, setiap peserta dipilih berdasarkan kefasihan, kelunakan serta kreativiti persembahan terbaik.

"Kesemua 12 kumpulan bukan berada di sini semata-mata untuk merebut gelaran juara. Namun apa yang utama, mereka semua akan menjadi ikon elemen hiburan Islamik yang menitikberatkan wasilah dakwah kontemporari yang berupaya menghubungkan penonton dengan Rabbul Jalil," akhirinya.

TV AlHijrah yakin Pentas Marhaban yang diterbitkan secara kreatif, bersifat malar segar, sesuai dengan selera dan penerimaan masyarakat mampu melahirkan masyarakat penonton yang berjiwa tauhid dalam kerangka dan batas syariat. - 7KLIK


[KREDIT: TV AlHijrah]





Post a Comment

0 Comments