KONSERT Romantic Night - Judika & The Gang yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad meninggalkan memori cukup manis buat 12,000 penonton yang hadir.
Terharu kesetiaan dan sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi kepada kerjaya seninya, Judika atau nama lengkapnya Judika Nalom Abadi Sihotang, tampil memberikan sepenuh jiwanya di pentas persembahan.
Konsert yang dibawakan khas oleh syarikat penganjur acara dari Indonesia, Dua Anak Deo (DAD) Management yang bermula pada jam 8 malam merupakan konsert solo pertama daripada Judika buat peminatnya di Malaysia.
“Saya menyanyi habis-habisan kerana semangat ‘cinta’ yang diberikan oleh pembeli-pembeli tiket bukan sahaja dari Malaysia, bahkan juga Indonesia, Singapura serta Brunei.
"Saya berharap dapat menghiburkan mereka semua sebaik dan semaksimal yang mungkin,” ujarnya.
Judika, 45, memulakan persembahan dengan muncul di tengah-tengah pentas menaiki motor berkuasa besar melaungkan lagu Bukan Rayuan Gombal lantas menerima sorakan paling gemuruh menggamatkan seluruh ruang Axiata Arena.
Diikuti lagu-lagu popularnya seperti Sampai Kau Jadi Milikku, Kisah Yang Ku Inginkan (duet bersama Shila Amzah), Putus Atau Terus, Jikalau Kau Cinta, Cinta Karena Cinta dan lain-lain.
Selain menyanyikan lagu sendiri, bintang asal Indonesia itu juga menyanyikan lagu Sejati nyanyian kumpulan Wings, selain lagu Cindai (Datuk Seri Siti Nurhaliza) dengan rendisinya tersendiri yang diiringi penari latar tradisional turut memeriahkan suasana ibarat sebuah festival kesenian.
Istimewanya, konsert tersebut juga merupakan sebuah ‘family affair’ di mana Judika membawa keseluruhan ahli keluarganya untuk turut serta terlibat dalam konsert itu. Tidak dilupakan momen ketika seluruh arena menyanyikan lagu ‘happy birthday’ buat anak Judika yang baharu sahaja menyambut hari jadinya beberapa hari lepas.
Menurut Judika, konsert tersebut amat bermakna buat dirinya dan mahu memberikan yang terbaik buat mereka yang hadir.
“Sebetulnya, saya sudah mempersiapkan diri selama tiga hari berturut-turut sewaktu latihan kerana mahu memberikan yang terbaik untuk semua dan hasilnya semua yang hadir sangat gembira dan merasa ‘cinta’ yang saya tonjolkan pada malam ini.
"Lebih istimewa kerana keluarga juga berpeluang melihat sendiri konsert sebesar ini yang pertama di Malaysia dan ia merupakaan kebangaan buat saya.
“Terima kasih sesungguhnya buat penonton yang hadir, team yang terlibat, artis-artis undangan dari Malaysia dan Indonesia, serta kepada para penaja yang menjayakan konsert pada malam ini,” katanya.
Selain Judika, bintang-bintang popular Malaysia seperti Marsha Milan, Haqiem Rusli dan Shila Amzah serta artis-turut menyerikan konsert pada malam tadi sebagai pembuka acara.
Tidak ketinggalan artis jemputan dari Indonesia naungan DAD Management seperti Dnanda, Daniel Pattinama dan Dr. Axin.
[KREDIT: Dua Anak Deo]
0 Comments