Hot Posts

6/recent/ticker-posts

"Saya enggan leka, tak mahu nama kembali suram" - Nadeera



JUARA Big Stage musim kelima, Nadeera Zaini terus mengorak langkah untuk mengembangkan kerjaya seni menerusi penjenamaa semula dirinya. Fokus pemilik nama penuh Farah Nadeera Zaini adalah  untuk menempatkan diri dalam industri seni seni tempatan dan antarabangsa.

Pelbagai perancang telah diaturkan bersama syarikat pengurusannya, Woodwind Records termasuk menggunakan hanya satu nama iaitu Nadeera sebagai nama pentas.

“Setelah berbincang dengan pihak pengurusan serta bertanya pendapat dengan mereka yang profesional, saya kini hanya mahu dikenali dengan satu nama sahaja iaitu Nadeera.

"Sebelum ini, saya pernah dikenali dengan nama Nadeera Zaini, Farah Nadeera serta nama-nama lain seperti Nadeera Mentor Legend, Nadeera Lagu Cinta Kita dan Nadeera Big Stage.

“Jadi, keputusan kami adalah untuk membawa nama Nadeera sahaja kerana percaya nama itu boleh memberi nafas baharu terhadap kerjaya seni saya. Saya berharap penjenamaan semula membawa tuah dalam bidang seni," ujarnya.


Tambah penyanyi berusia 30 tahun itu lagi, dia dan syarikat pengurusannya mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk melebarkan sayap sekitar nusantara serta ke peringkat antarabangsa.

"Penjenamaan ini tepat sebagai ‘kelahiran’ semula Nadeera. Ia bersesuaian dengan kewujudan syarikat pengurusan yang mengatur perjalanan seni saya, Woodwind Records.

"Ia merupakan sebuah syarikat pengurusan baharu yang bakal tampil dengan pelbagai idea segar serta akan mengelola kerjaya muzik bakat-bakat berpotensi.

"Woodwind Records juga mempunyai pelbagai perancangan untuk merencana perjalanan saya dalam bidang muzik,” katanya.


Seiring itu juga, Nadeera tampil dengan single baharu berjudul Emas. Karya tersebut merupakan karya Omar K, Iqie Hugh dan Firdaus Rahmat selaku komposer, manakala liriknya hasil tulisan mereka bertiga bersama penyanyi Datin Alyah.

Mahu lari daripada kebiasaan single sebelum ini yang bertemakan cinta, penyanyi asal Johor itu menampilkan tema kebangkitan dan semangat dalam karya terbaharu ini.

“Perjalanan single Emas agak berliku. Saya dan pihak pengurusan mencari naskhah yang sesuai selepas tamatnya Big Stage dan perjalanannya tidak mudah.

"Saya mahukan sesuatu yang berbeza dan mahu ia meninggalkan impak bermakna untuk peminat yang menantikan.

“Selepas duduk berbincang dan berdiskusi mencari material yang sesuai, kami bersepakat untuk menjadikan Emas sebagai single perdana pasca kejuaraan Big Stage," jelasnya.


Bercerita lanjut tentang single berkenaan, Nadeera berkata, tema mengenai semangat dan kebangkitan itu bersesuaian dengan perjalanan baharunyaselepas memenangi pertandingan tersebut.

“Saya akui, saya bagai ‘dilahirkan’ semula selepas menjuarai Big Stage. Sekali lagi, saya diberi peluang untuk menyerlahkan bakat dan kali ini, saya enggan sia-siakan perjalanan yang baru sahaja bermula.

"Saya enggan leka dan tak mahu nama kembali ‘suam’, jadi saya mencari sesuatu seperti single Emas untuk diketengahkan.

“Karya ini menampilkan isi hati saya yang benar-benar berharap untuk bersinar dalam industri muzik selepas melalui fasa jatuh bangun sejak tahun 2012. Platform yang saya ada kali ini dianggap sebagai peluang berharga untuk saya menyerlahkan bakat,” katanya.


Berkongsi pengalaman ketika merakamkan lagu Emas, Nadeera berkata, dia mengambil masa sembilan jam di studio rakaman untuk menyempurnakan karya itu.

“Proses rakaman berjalan lancar tetapi saya sendiri mengambil masa sembilan jam di studio rakaman. Memandangkan lagu ini mempunyai makna tersendiri dan sangat melekat dalam hati saya, saya mengambil masa sedikit untuk mendapatkan penjiwaan sebenar.

“Saya mahu benar-benar berpuas hati dan menceritakan maksud sebenar lagu ini ketika proses rakaman dijalankan. Saya dan pihak pengurusan mahu sampaikan roh dan jiwa lagu Emas. Naskhah ini sangat dekat dengan diri saya dan saya berharap ia dapat diterima orang ramai,” akhirinya.


Single Emas kini boleh didapati di semua platform penstriman muzik sejak 25 Ogos 2023. - 7KLIK









Post a Comment

0 Comments