Hot Posts

6/recent/ticker-posts

RAGAM SI CILIK MEMERIAHKAN KELAS KUIH MALAYSIA



TV9 menyemai semangat kekitaan dalam kalangan penonton cilik menerusi Kelas Kuih Malaysia Bersama Jaguh Kartun TV9 dengan menyediakan hidangan aneka kuih muih yang mewakili kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia.

Program ini menyemarakkan lagi kempen Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Media Prima Berhad yang bertemakan Manis Pahit Bersama.

Seramai 10 penonton cilik bertuah berusia antara 6 hingga 12 tahun terpilih untuk menyertai Kelas Kuih Malaysia Bersama Jaguh Kartun TV9 yang telah berlangsung pada hari ini di Sarang Cookery, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, dari jam 9 pagi hingga 2 petang.

Menurut Pengurus Besar Pengurusan Program dan Penyiaran TV9, Puan Khairunnisa Kamarulzaman, program berkenaan bertujuan memberi pendedahan kepada generasi baharu tentang aneka juadah dari pelbagai kaum Malaysia yang menjadi satu identiti dan keunikan yang tidak terdapat di negara lain. 

“Bersempena dengan bulan kebangsaan yang bakal tiba, Jaguh Kartun TV9 ingin membawa adik-adik belajar membuat kuih-muih tradisi Malaysia.

“Dengan perubahan arus kemodenan yang pantas, pengaruh makanan tradisi ini semakin kurang dek pendedahan makanan barat yang lebih terjurus kepada viral atau trendy yang perlahan-lahan mengikis keaslian makanan tradisi di negara kita.

"Justeru, keunikan makanan tradisi ini perlu diberi pendedahan yang optimum bagi memupuk semangat patriotisme atau semangat cintakan negara, serta tidak lupa tentang keaslian makanan tradisi kita,” ujarnya.


Kelas Kuih Malaysia Bersama Jaguh Kartun TV9 yang berlangsung selama lima jam itu menyaksikan pelbagai kerenah adik-adik cilik yang amat teruja untuk belajar membuat kuih.

Walaupun dipantau oleh cef berpengalaman yang sabar melayan kerenah adik-adik, mereka tidak gagal menunjukkan ragam yang sangat menghiburkan.

Dengan bimbingan cef yang berpengalaman, para peserta cilik telah mengasah kemahiran kulinari mereka dalam membuat tiga jenis kuih tradisional iaitu kuih ketayap, kuih angku dan putu mayam. Tiga menu kuih muih ini melambangkan kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia.

Keterujaan para peserta dalam belajar dan mengenali kuih muih tradisi Malaysia bukan saja dapat memupuk minat mereka dalam bidang kulinari, malah ia juga boleh mengukuhkan jati diri kenegaraan.

Pemilihan peserta Kelas Kuih Malaysia Bersama Jaguh Kartun TV9 telah diadakan menerusi penghantaran rakaman video tidak melebihi 30 saat yang bermula dengan; "Saya ingin belajar buat kuih tradisi Malaysia sempena Hari Kebangsaan ini kerana...".

TV9 telah menerima lebih daripada 40 penyertaan dalam tempoh peraduan yang berlangsung dari 1 Ogos hingga 12 Ogos 2023.

Hanya 10 penonton cilik dalam lingkungan umur  6 hingga 12 tahun ini telah dipilih berdasarkan jawapan mereka yang memberangsangkan. 














Post a Comment

0 Comments