Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Malaysia pun okey! Jom tengok lokasi menarik untuk jalan-jalan dalam negara



SEMANGAT Semangat kecintaan terhadap negara sememangnya wajar dipupuk dalam setiap hati rakyat Malaysia terutamanya dalam keterujaan menyambut Hari Kebangsaan sepanjang bulan Ogos ini.

Ia melibatkan elemen perasaan dan emosi di mana perlu lahir dan hadir dari dalam jiwa dan hati kita sendiri. Patriotisme dilihat sebagai wadah dan platform terbaik untuk kita menguji diri sendiri sejauh mana dan sekukuh mana perasaan cinta kita terhadap tanah air tercinta.

Mungkin boleh bermula dengan persepsi mengutamakan lokasi menarik dalam negara sendiri berbanding negara luar dalam soal percutian?

Radio Televisyen Malaysia (RTM) kini memperkenalkan travelog terbaharu berjudul Malaysia Pun Okey! yang akan bersiaran mulai 22 Ogos ini, pada setiap Selasa hingga Khamis, jam 10 malam menerusi saluran TV Okey. 

Program 13 episod itu menampilkan pelakon sedang meningkat naik Alif Muhaimin sebagai hos.

Pada setiap episod penonton akan dibawa mengembara sebagai ‘backpacker’ ke beberapa lokasi berbeza di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak serta memberi tips perjalanan berguna untuk perkongsian semua.

Menariknya pemilihan lokasi travelog ini memperkenalkan tiga destinasi indah di Semenanjung Malaysia seperti  Pulau Langkawi, Kedah, Kuala Terengganu dan Kuantan, Pahang iaitu meneroka keindahan Pulau Tioman.

Kunjungan ke Pulau Langkawi akan membawa Alif mengembara sambil melakukan pelbagai aktiviti air yang ada di Langkawi.

Sementara pengembaraan ke Kuala Terengganu pula Alif berpeluang mencuba pelbagai aktiviti air dan darat yang agak mencabar.

Dalam episod terakhir untuk Alif mengembara di Semenanjung Malaysia, Alif memilih Pulau Tioman sebagai destinasi terakhir sebelum meneruskan pengembaraan ke Sabah.

Malaysia Pun Okey! menawarkan enam lokasi indah di Sabah bermula dengan destinasi percutian di Tenom yang terkenal sebagai pusat pengeluaran kopi.

Menarik sebenarnya kerana Tenom kaya dengan pelbagai tempat menarik yang sesuai bagi anda yang meminati keindahan alam semula jadi dan ingin melihat pelbagai jenis haiwan di sini. 

Episod kelima akan membawa penonton ke Kota Belud yang sememangnya sesuai untuk pengembara yang cintakan keindahan alam semulajadi.

Pengembaraan diteruskan ke Kundasang yang merupakan kawasan tanah tinggi di Sabah dan terkenal sebagai kawasan tarikan pelancong.

Episod keenam akan singgah ke Ranau yang berkedudukan di sebelah Kundasang yang menyaksikan banyak aktiviti ekstrem dapat dilakukan di sana.

Dua lagi lokasi diperkenalkan di Sabah iaitu Kudat di mana penonton akan dibawa mengunjungi ke laut Sabah. Sebagai penutup episod Sabah, Malaysia Pun Okey! memilih laut tercantik di Malaysia iaitu Semporna sebagai lokasi terakhir di Sabah sebelum meneruskan pengembaraan ke Sarawak.

Kunjungan ke Sarawak singgah di lokasi pertama iaitu kawasan Tanah Tinggi Kelabit, Bario. Ia merupakan kawasan yang sangat tidak dapat diakses.

Sebut sahaja Bario, pasti terbayang keindahan perkampungan di pertengahan Tanah Tinggi Kelabit di timur laut Sarawak.

Untuk ke perkampungan yang turut dikenali sebagai 'Land Of A Hundred Handshake' ini, pengunjung perlu menaiki kapal terbang dari Lapangan Terbang Miri.

Berbanding melalui jalan darat yang boleh mengambil masa selama lebih kurang 12 jam perjalanan. Biarpun begitu, Bario tetap antara destinasi pilihan pelancong tempatan dan luar negara yang berkunjung ke Sarawak.

Seterusnya perjalanan diteruskan ke Miri bagi misi mencari air terjun yang cantik yang ada di Sarawak.

Dua episod akhir dinoktahkan dengan kunjungan ke Kuching dengan mencari 'hidden gems' Sarawak yang masih belum diketahui oleh pengembara-pengembara di Malaysia. Ia diakhiri dengan percubaan pengembaraan melakukan aktiviti mendaki Gua Silabur. - 7KLIK




[KREDIT: RTM]

Post a Comment

0 Comments