Kumpulan M-Pop baharu yang dianggotai oleh Mikaela Qistina, Amy Loh, Elysha Khan, Dalini dan Eyqa Shahidan itu kini tampil dengan single pertama mereka berjudul Gimme That Crown.
Single terbitan Armani Entertainment Group (AEG) itu merupakan karya ciptaan barisan komposer berpengalaman yang terdiri daripada Chris M. Yong, Melisa YC dan Karen Yee, manakala liriknya oleh Asyraf Nasir, Mel Ramlan bersama Coex sendiri.
Mewakili rakan-rakannya, Mikaela berkata, pengalaman ketika menyertai Big Stage 2023 sangat bermakna di mana mereka banyak menimba ilmu dan belajar perkara baharu.
"Kami bakal beraksi di KEPCI Music Fest pada 26 Ogos nanti di Stadium Malawati, Shah Alam, satu penghormatan amat besar buat kami dapat berdiri di pentas sama dengan nama-nama besar industri hiburan kita seperti Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search, Ella, Misha Omar, Dolla dan ramai lagi.“Bagi meneruskan perjuangan kami dalam bidang muzik yang baru sahaja bermula, single pertama Gimme That Crownmen akan jadi taruhan,” katanya.
Tambah Amy, mereka seakan tidak percaya sejurus tamatnya Big Stage 2023, fasa seterusnya bermula dan bakal menjadi penentu kepada keberadaan mereka dalam industri muzik tanah air.
“Kami masih lagi dalam proses menyesuaikan diri pasca pertandingan dan kinilah masanya untuk kami menyinar berbekalkan pengalaman yang ditimba.“Namun begitu, kami sangat gembira dan juga dapat menarik nafas lega dengan kelahiran single pertama ini kerana ia memakan masa berbulan lamanya untuk dihasilkan, sebelum Big Stage lagi."Jadi kami berharap penantian semua yang tidak sabar-sabar mendengarnya berbaloi,” katanya.
Idea di sebalik terciptanya single tersebut datang daripada Coex sendiri bersama-sama barisan komposer dan penulis lirik yang mahu ciptakan kelainan dalam berkarya.
Bercerita mengenai maksud di sebalik single itu, Elysha berkata, Gimme That Crown sebenarnya berupa mesej yang ingin disampaikan kepada pendengar.
"Kami nak sampaikan mesej bahawa kami bukanlah hanya sekadar pendatang baharu yang biasa-biasa dalam industri muzik."Dalam maa sama, kami ingin menyeru kaum wanita agar bangkit dan rasa empowered dengan bait-bait liriknya yang bercerita tentang mencari keyakinan diri, biar apa pun yang diperkatakan oleh orang sekeliling," tegasnya.
Single dalam nuansa pop itu mengetengah konsep M-Pop (pop Malaysia) yang menggabungkan elemen K-Pop, muzik rancak ala dansa dan juga rap.
Berkongsi proses rakaman lagu tersebut, Dalini berkata, mereka terpaksa berkampung di studio rakaman demi menjalani proses rakaman yang memakan masa selama sehari suntuk untuk disiapkan bermula dari tengah hari sehinggalah lewat malam.
“Setiap daripada kami pelajari banyak perkara baharu, seperti teknik vokal yang betul di bawah bimbingan Gaston Pong, bekerja melalui teamwork dan mencari kekuatan suara masing-masing untuk membezakan kami semua,” katanya.
Gimme That Crown juga menampilkan muzik video (MV) dengan konsep yang unik seperti empat elemen utama dunia iaitu api, besi, tanah dan kayu diterapkan sebagai simbolik. Ditambah pula dengan aksi lincah melalui gerak tari berani dan bakal hangat diperkatakan apabila dilancarkan kelak.
Sementara itu, Eyqa mengakui Coex meletakkan harapan tinggi agar lagu itu sampai kepada lebih ramai pendengar, baik dari dalam mahupun peringkat antarabangsa.
"Masih banyak lagi yang kami ingin tunjukkan dan buktikan pada semua."Teruslah menyokong perjalanan seni kami yang baharu sahaja bermula ini dan jangan lupa ikuti kesemua media sosial @wearecoex.official untuk mengetahui perkembangan lebih lanjut," katanya.
Lagu Gimme That Crown kini boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan.
0 Comments