Hot Posts

6/recent/ticker-posts

KISAH GAPURA BUAT HAFIZ HAMIDUN, INTEAM



SEMPENA sambutan Hari Kebangsaan yang akan disambut tidak lama lagi, Hafiz Hamidun dan Inteam bergabung dalam sebuah lagu nasyid patriotik berjudul Gapura.

Gapura yang ditulis olehHafiz dan lirik daripada Fedtri Yahya  itu membawa makna gerbang yang besar dan merupakan simbolik perpaduan dan kecintaan seluruh rakyat kepada negara tercinta. Penggunaan kata gapura menjadi lambang kemegahan dan kesyukuran di atas kemerdekaan yang dikecapi selama ini.

Selaku komposer dan penerbit lagu tersebut, Hafiz berbesar hati dapat bergandingan buat kali pertama bersama kumpulan nasyid Inteam.

“Ketika memberikan demo lagu ini kepada Inteam, saya menyerahkan sepenuhnya kepada Inteam untuk menentukan arah tuju karya ini.

"Saya sangat terbuka jika Inteam mahu menjadikan lagu ini sebuah lagu cinta, seiring dengan konsep lagu-lagu popular Inteam sebelum ini.

"Ternyata, Inteam memilih tema cintakan negara. Keterujaan Inteam untuk membawakan lagu bertemakan patriotik menjadikan saya juga bersemangat untuk menghasilkan yang terbaik untuk lagu Gapura,” ujar Hafiz.


Fedtri Yahya selaku penulis lirik pula mengakui teruja bekerjasama dalam penghasilan bersama lirik lagu itu.

“Saya begitu berbangga dapat menyumbang kepada penulisan lirik Gapura. Keindahan melodi serta alunan muzik yang tersusun rapi menjadikan proses penulisan lirik lagu ini sangat mudah dan sempurna.

"Bait-bait kata yang saya pilih adalah ringkas sahaja, kerana tidak mahu menenggelamkan kemegahan tajuk yang dipilih iaitu Gapura,” katanya.


Sementara itu, Inteam berkata, hasrat untuk berkolaborasi dengan Hafiz kini menjadi kenyataan.

“Lebih 20 tahun kami mengenali Hafiz Hamidun, kolaborasi ini menjadikan hasrat kami untuk menyanyikan lagu ciptaan Hafiz telah menjadi kenyataan.

"Inteam juga begitu teruja apabila dapat bekerjasama dengan pemuzik dari Istanbul untuk iringan muzik Gapura serta penghasilan bertaraf antarabangsa.

"Harapan kami, kolaborasi ini menjadikan Gapura sebagai sebuah nasyid patriotik yang boleh diangkat bukan sahaja di Malaysia, tetapi ke seluruh dunia,” ujar Hazamin mewakili Inteam.


Menariknya muzik video lagu terbitan Arteffects yang mengambil masa lebih kurang dua minggu untuk dihasilkan itu telah menggunakan teknologi kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) secara sepenuhnya.

Single Gapura diterbitkan oleh Strumhit Entertainment dan Sony Music Entertainment kini boleh didapati di semua platform muzik digital seperti Apple Music, Spotify, Deezer dan lain-lain.

Sementara muzik video pula boleh mula disaksikan mulai 25 Ogos 2023 di platform YouTube.












Post a Comment

0 Comments