Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Faizal Tahir OK!


SELEPAS beberapa karya hasil ciptaannya diterima ramai dan diangkat sebagai yang terbaik, penyanyi dan komposer Faizal Tahir semakin diterima peminat muzik generasi baharu.

Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Muhammad Tahir, 45, terus menjadi idola bagi generasi baharu sama ada menerusi bidang nyanyian, mahupun dunia penciptaan lagu sejak berkecimpung dalam arena muzik.

Satu kelebihan apabila setiap karya dihasilkan sarat dengan mesej berguna bukan sahaja untuk diri sendiri, malah buat pendengar.

Tidak kira apapun genre lagu yang ditampilkan pada setiap karya, Faizal berjaya memikat hati pendengar, sekali gus mencipta fenomena tersendiri.

Terbaru, penyanyi yang sentiasa kreatif dalam penciptaan lagu itu itu muncul menerusi single OK, terbitan Faithful Music.

Karya ciptaan sepenuhnya oleh Faizal dan Ezra Kong itu cuba memupuk semangat dan motivasi dalam jiwa pendengar menerusi mesej jangan mudah putus asa dalam perjuangan hidup.

Menurut Ezra, dunia kini penuh cabaran ditambah lagi ramai yang cuba menjatuhkan dan menyakiti dengan menggunakan kata-kata.

"Tidak perlu kita terbawa emosi untuk membalas. Boleh jawab ‘no comment’ saja. Dalam masa sama, kekal tabah dan teruskan pencarian seperti seorang pendekar berdisiplin yang tak henti-henti memperbaiki dan memperkasakan dirinya,” ujarnya.


Sementara Faizal melihat uniknya lagu OK apabila ia mengetengahkan elemen dikir barat di dalam rentak dan produksi moden sekali gus ia kedengaran jauh berbeza daripada kebanyakan karyanya sebelum ini.

“Dari awal pembabitan dalam bidang seni lagi saya sentiasa ingin mencuba benda baharu. Bagi saya, versatiliti itu penting.

"Dalam dunia seni, versatiliti membolehkan anda bereksperimentasi dengan pelbagai aspek kreativiti. Ya, saya setuju. Faktor umur dan pengalaman banyak memainkan peranan,” katanya.


Apa yang pasti, eleman muzik dan bunyi yang dipersembahkan dalam lagu OK seakan memberi isyarat yang mana muzik Faizal juga berubah secara perlahan-lahan.

Sama seperti kebanyakan lagu sebelum ini antaranya Ragaman dan Santai, bait liriknya sarat dengan mesej berguna dan juga berunsur nasihat. Buktinya, penerimaan peminat terhadap karya sebegitu sangat bagus.

“Alhamdulillah. Itulah tanggungjawab saya sebagai anak seni. Apa yang paling penting adalah peringatan kepada diri sendiri terdahulu.

“Jadi, keunikan single ini juga adalah mesej yang ingin disampaikan. Muzik tetap muzik, kita boleh berikan pelbagai jenis yang sedap didengar, tetapi apa yang penting, mesej yang ingin disampaikan,” kata Faizal.


Selepas lagu OK yang menerapkan eleman dikir barat, Faizal mengakui masih belum lagi terfikir untuk mengetahkan muzik lain dalam karya lain selepas ini.

“Buat masa ni belum ada terfikir. Tapi jika ada lagu baharu selepas ini pastinya benda yang belum pernah saya buat.

"Saya ingin terus menerapkan elemen muzik tradisional atau nusantara di dalam lagu-lagu baharu,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Faizal bakal menjayakan konsert solo pertamanya Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur yang dibawakan oleh Allianz Malaysia Berhad, pada 2 September ini di Dewan Merdeka, World Trade Centre, jam 8.30 malam.

“Insya-Allah, lagu OK ini akan saya nyanyikan pada konsert nanti. Lagu baharu lain pula tiada. Tapi akan ada lagu lama yang diberi nafas baharu,” katanya lagi.


Lagu OK dilancarkan secara rasmi pada 11 Ogos lalu dan boleh didengar di semua platform muzik digital, manakalaVideo Muzik Lirik pula juga boleh ditonton di saluran YouTube Faizal Tahir. - 7KLIK














Post a Comment

0 Comments