BUAT julung kalinya, MonoloQue tampil dengan karya visual muzik video berkonsepkan futuristik atau sains khayalan.
Lagu Cinta, single terbaru daripada MonoloQue, dilancarkan pada Januari tahun ini, diterjemahkan MonoloQue sebagai kembali ke pangkal jalan, kembali meraikan irama dan melodi. Namun itu cerita lagunya, sekarang cerita visualnya pula.
Cerpen Lagu Cinta dilancarkan berdasarkan konsep cerita pendek bersama penghasilan naratif visual 'hybrid' berkonsepkan 'distopia' diharapkan dapat membawa penonton bersama-sama mengembara ke alam runut bunyi audio visual Lagu Cinta, mengalaminya secara 360 darjah yang lari daripada muzik-muzik video biasa yang lazimnya lebih berbentuk persembahan.
Sinopsis Cerpen Lagu Cinta
Pembuka cerpen Lagu Cinta ini, kita dikejutkan dengan visual sebuah batu besar yang aneh, melitupi langit biru, seolah olah menggambarkan dunia sedang tenat dilanda 'sumpahan'.
Kemudian, kita dikenalkan akan watak protagonis, mimik muka penuh teka-teki lakonan LoQue sendiri sebagai Mat Lamat, seorang saintis pengkaji masa. Dalam adegan pembukaannya, Mat Lamat kelihatan bangkit terjaga dari dalam 'peti beku karbon' yang dipenuhi air seperti bangkitnya daripada tidur 1000 tahun.
Watak utama dibawa oleh seorang pelakon baharu sedang meningkat naik iaitu Sara Mack Lubis yang memegang watak sebagai Dang Penawar iaitu anakanda kepada Mat Lamat yang kini dewasa tetapi kelihatan sesat, kosong tanpa cinta, jiwa dan kasih sayang, seperti robot hidup di zaman batu sumpahan kini.
Pengenalan kepada Dang Penawar adalah ketika sebuah drone yang menjadi penterjemah kod bernama Jendela yang dikemudikan oleh Mat Lamat berjaya mengesan Dang Penawar. Lantas, menerima isyarat dan mesej konstruk dari dunia alternatif masa lampau (atau masa depan) daripada bapanya untuk menamatkan sumpahan yang melanda dunia ketika itu.
Komunikasi yang terjalin antara dua zaman yang berbeza antara Mat Lamat dan Dang Penawar, serta fungsi utama Jendela sebagai kompas dan penterjemah kod, dirungkai sebagai pembawa mantera, jampi serapah, kata kata hikmat dari Mat Lamat ke Dang Penawar adalah teras kepada cerpen Lagu Cinta ini.
Sara mengakui teruja pertama kali diberikan peluang untuk berkolaborasi bersama MonoLoque.
“Sebaik sahaja mendapat tawaran dari LoQue, saya teruja memulakan penggambaran dan mahu mengupas lapisan emosi watak yang diberikan."Walaupun mereka langsung tidak memberitahu saya penggambaran ini untuk lagu apa, tetapi kerana tawaran yang datang daripada kumpulan MonoloQue dan juga sutradara Emir Ezwan, tanpa melengahkan masa, saya lantas menerimanya.“Mereka mahu melihat bagaimana saya boleh bertindak melalui imaginasi dan menerokai sendiri watak Dang Penawar, di samping menjadi diri sendiri melakonkan pelbagai emosi bersama konsep yang mereka mahu terjemahkan dari mata turun ke hati,” ujarnya.
Tambah Sara, konsep dan jalan cerita muzik video tersebut sangat berbeza daripada penggambaran muzik video yang pernah lalui sebelum ini.
"Saya tidak pernah membuat projek bertemakan 'distopia'. Pada mulanya saya tidak mahu ambil tawaran ini kerana tarikh penggambaran jatuh pada hari lahir saya namun selepas diceritakan akan perihal serta intipati cerpen Lagu Cinta ini, saya terus mahu mencabar diri saya,” katanya.
Menariknya, ahli kumpulan MonoloQue yang bersama bertindak balas bunyian dengan LoQue sejak 2021 turut membintangi Cerpen Lagu Cinta ini.
Harry Misteri sebagai Seram-Punk Mata Jingga, Bakri Halia Ismail (Si Borg) dan Loko (Pawang Logam), di mana masing-masing membawa watak antagonis bagi melengkapkan perisa dan warna-warna karakter villain, atau orang jahat itu.
Justeru mewujudkan suasana suspens serta mencorak dinamik kepada naratif jalan cerita cerpen Lagu Cinta ini.
Menurut Harry, muzik video itu berbeza kerana sepanjang penggambaran muzik video ini tidak lansung sekalipun bermain alatan muzik seperti muzik video biasa.
"Kali ini saya betul betul kena berlakon bersungguh sungguh. Kerja kami sebagai pemuzik sudah selesai, segala not-not bunyian telah ditempa ke dalam lagu, sekarang masa untuk kita bergembira pula. Meraikan karya ini dengan berlakon," ujarnya.
Sementara Loko berkata, di pertengahan cerpen Lagu Cinta pula kelihatan keringa usaha villain-villain ini yang tidak putus asa untuk menculik Dang Penawar.
"Dalam masa sama menghalang Dang Penawar daripada mendapatkan kod- kod hikmat daripada Mat Lamat melalui drone Jendela."Ia telah membawa ketegangan dan membawa penonton tertanya-tanya apakah sebenarnya pesanan yang mahu disampaikan Mat Lamat kepada Dang Penawar ini, di mana hubungan antara bapa dan anak ini adalah dari dua zaman yang berbeza," katanya.
Bakri turut berkongsi pengalamannya menjayakan muzik video tersebut yang disifatkan sebagai unik.
“Ini merupakan muzik video kedua MonoloQue saya terlibat yang memerlukan make up EfX berat. Sebelum ini Legenda, jadi Tanggang disumpah jadi batu, kali ini saya kena jadi setengah manusia, setengah robot. Jadi seorang Cyborg."Paling meletihkan, kami kena datang awal pagi selepas subuh untuk mula mekap tapi scene bermula hanya di tengah hari,” katanya.
Selepas surutnya kemuncak klimaks pertama lagu, terjadinya pertukaran suasana di mana Jendela membawa Dang Penawar ke makmal bapanya Mat Lamat, Jabatan Kaji Masa, tempat di mana segalanya bermula, di mana di situ Jendela memainkan semula hologram, menggamit kenangan silam semasa Dang Penawar kecil untuk mengembalikan ingatan memori Dang Penawar.
Watak Dang Penawar semasa kecil dilakonkan khas oleh Anggerik Dang Jelita iaitu puteri sulung LoQue.
Ketika itu, terungkailah segala tanda tanya dan terjawab segala persoalan seolah-olah Dang Penawar baru bangun dan sedar dari dipukau akan apa yang sedang terjadi, maka Dang Penawar kembali bernyawa, kembalinya emosi dan jumpa semula cinta.
Kemudian tugas akhir drone Jendela adalah memancarkan kod mantera, jampi hikmat kepada Dang Penawar untuk menyembuhkan dunia di zaman itu, pancaran lirik dari sebuah Lagu Cinta.
Di kemuncak klimaks terakhir cerita, Dang Penawar akhirnya berjaya merungkai mantera dari bapanya. Maka tamatlah sumpahan, hilanglah Batu Sumpahan Durjana, Manusia Hilang Pedoman Cinta, Sesat Sengsara, Angkara Duka Lara, Hanya Satu Hikmat Dapat Mengubahnya. Mentera Cinta Dari Dua Masa Yang Berbeza.
Kesinambungan konflik antara bapa dan anak yang mendalam menghasilkan tanggapan lapisan cerita yang pelbagai kepada penonton cerpen Lagu Cinta ini.
Setiap adegan juga dihasilkan dengan berlatarbelakangkan distopia atau futuristik bagi menguatkan impak kandungan emosi ceritanya.
Tambah LoQue, roh dan jiwa cerpen itu tidak lain dan tidak bukan adalah mengenai cinta.
"Ia bukan cinta biasa yang cliche’ tetapi cinta luar biasa kerana ia adalah tentang kuasa cinta antara bapa dan anak, daripada dua susur galur masa berbeza."Mereka bersama-sama menghubungkan kembali cinta yang berkuasa itu demi menamatkan sumpahan, menyelamatkan dunia, kerana akhirnya cinta menakluk semua,” jelasnya.
Gabungan sinematografi cerpen Lagu Cinta ini juga diwarnai untuk menggabungkan garis antara realiti dan imaginasi dengan bantuan imej janaan komputer (CGI). Cerita asal oleh LoQue dan diarahkan sepenuhnya oleh Emir Ezwan sebagai sutradaradan Azril Hamzah sebagai penggubah cerita dan penulis skrip.
Menurut sutradra Emir Ezwan, cerpen muzik video itu menggambarkan hubungan yang dizahirkan antara dua zaman berbeza.
"Dalam realiti kehidupan kita, mencapai impian besar adalah tidak semudah yang disangka tetapi tidak mustahil bagi kebanyakan orang."Mungkin pada saat-saat terdesak, seseorang itu boleh menjadi pengantara ‘bantuan’ kepada orang lain dengan tidak membezakan antara mimpi dan realiti," ujarnya.
Emir Ezwan adalah pengarah yang pernah memenangi aenugerah Filem Terbaik pada Anugerah Festival Filem Malaysia (FFM) ke-31 menerusi filem Roh.
Sementara penggubah cerita, Azril Hamzah mula bekerjasama dengan LoQue sejak Kekanda Adinda lagi berkata, Cinta, mercu tanda padu menaut impian untuk terbang dan kerisauan akan kehilangan.
Cinta membelah angkasa, mengalunkan semesta dalam Bimasakti dan Bumilangit - Superhero Melayu.
Loque berharap agar nilai-nilai murni yang menjadi teras kepada cerita itu dapat difahami dan diterima ramai.
"Walaupun set dipamerkan ke arah futuristik, kemudian jalan ceritanya pula dibalut pula dengan lapisan- lapisan kiasan intelek yang bermaksud, diharap dapat mencabar pemikiran masyarakat kita kini."Kami berdoa agak tenunan seni kami ini sampai ke mata lantas ke hati penonton. Semoga babak kemuncak klimaks terakhir Cerpen Lagu Cinta, secara simboliknya mempamerkan hikmat kuasa cinta selepas terjalin kembali hubungan antara seorang bapa dan anaknya dapat menikam hati, menyucuk sampai ke tulang sum sum sesiapa sahaja yang menonton naskah ini nanti,” katanya.
0 Comments