PENERBITAN Pancasona, sebuah syarikat penerbitan 360 darjah yang dimiliki oleh LoQue, tampil melancarkan muzik video single sulung kumpulan Gostan berjudul Dia Datang.
Muzik video ini juga bukan seperti muzik video yang biasa ditonton, di mana LoQue menyajikan sebuah cerita pendek di dalamnya. Naskhah tersebut dihidupkan oleh pelakon Azhar Sulaiman. Pengisiannya sarat dengan tarian Nusa yang santai lagi bersahaja, di tengah-tengah ibu kota dan dipersembahkan oleh Azhar sendiri.
"Saya terkejut, terkesima dan terasa sangat merendah diri apabila Azhar Sulaiman tanpa syak wasangka, sudi mencemar duli untuk menari dalam muzik video Dia Datang ini."Gila siapa sangka dapat berkarya dengan Azhar Sulaiman,” kata LoQue.
Semnetara itu, Gostan merupakan projek kerjasama antara ahli-ahli muzik kumpulan MonoloQue dengan penyanyi wanita bersuara gemersik, Asmidar.
Muzik video tersebut merupakan pengenalan kepada album penuh Gostan, selain sebagai cabang yang akan menetapkan bagaimana konsep perjalanan artistik kumpulan itu akan dibawa kepada umum.
Menurut Loque, pemilihan Azhar Sulaiman untuk memainkan peranan utama dalam plot tarian 'membebaskan diri di tengah ibu kota' adalah dikira ujikaji tepat kerana dia mudah bekerjasama, bukan seorang senior yang rumit.
"Azhar seorang method actor kerana watak yang dibawa seolah-olah betul ada dalam dirinya. Mungkin itulah keistimewaan seorang pengkarya hebat.“Beliau sangat profesional, malah semasa dalam tempoh pra penerbitan, sangat bersemangat dan bersungguh-sungguh memastikan segala sudut dan semi muzik video ini diteliti dan digilap sebelum hari kejadian (penggambaran)."Ada beberapa kali, Azhar mungkin datang ilhamnya, akan telefon saya pada jam 12 malam dan berkongsi apa yang difikirkannya. Macam itulah sesi brainstorm kami sepanjang kembara karya Dia Datang ini.
"Di situ saya rasa chemistry kami di muka surat yang sama, demi menghasilkan karya sempurna serta malar segar. Terima kasih Azhar Sulaiman,” katanya.
Mengulas tentang tarian dipersembahkan Azhar, Loque brekata, ia sangat bersahaja, mengandungi motif tarian tradisional, tetapi diberi sentuhan kontemporari demi watak dan jalan cerita yang menjadi teras utama dalam muzik video ini.
Ia mengambil latar belakang kotaraya Kuala Lumpur pada abad ke-21, di mana ia sudah sinonim dengan karya-karya lagu LoQue sendiri yang lazimnya menceritakan tentang 'kehidupan hutan batu abad ke 21'.
Muzik video Dia Datang menceritakan akan seorang pekerja korporat yang kebosanan, dengan hidupnya dikongkong ketat oleh jadual harian, maka pada hari ini, ingin keluar daripada kebiasaan, daripada kepompong atau rantaian kejam hidupnya dengan menari untuk meluahkan dan merasa bebas.
Gerakan tarian ini diamati di bawah didikan dan bimbingan Dayang Norinah Datu Gastan, seorang guru Tari Aswara.
Dengan kombinasi inovatif dan visual serta bunyi, muzik video ini diharap dapat menjadi wakil visual bagi meraikan single sulung, Gostan, Dia Datang ini.
Jelas LoQue lagi, konsep hala tuju Gostan bukan hanya meraikan lagu-lagu klasik lama, tetapi juga meraikan tarian tradisional dan rakyat serta memberi tenaga baharu kepada tarian turun-temurun supaya seni budaya itu kekal relevan.
"Gostan adalah satu pengalaman 360 darjah, merangkumi audio dan visual. Pelancaran muzik video Dia Datang menandakan satu titik permulaan dalam perjalanan kembara Gostan kerana ia akan menawarkan penonton rencah dan rasa tentang apa yang ada dalam album ini dan projek Gostan sendiri."Ketika anda menonton muzik video ini, percayalah anda akan tenggelam dalam landskap sonik yang merangkumi bunyi warisan budaya Malaysia yang kaya sambil dihidangkan dengan gubahan muzik kontemporari," katanya.
Single Dia Datang kini tersedia di semua platform digital muzik, selain muzik video di saluran YouTube.
TRIVIA GOSTAN
- Gostan adalah kolaborasi unik antara kumpulan MonoloQue yang dianggotai Bakri Halia Ismail, Loko, Harry Misteri, Herda Geroda dan LoQue bersama Asmidar dan pemain perkusi Memey.
- Album Gostan dihasilkan untuk memberi perspektif, tenaga, wajah, jiwa, roh baharu yang lebih segar kepada bukan sahaja lagu tradisional lama dan lagu rakyat Malaysia yang pernah popular, malah lagu Pop Klasik yang menjadi inspirasi.
- Projek tersebut merupakan penghormatan kepada seni muzik dan budaya terdahulu dalam usaha menghidupkan semula elemen klasik dan malar hijau bunyi tersebut kemudian merelevansikan semua ini 360 darjah untuk generasi baru dan generasi akan datang.
- Gabungan unik elemen moden dan tradisional membawa Gostan menjadi batu loncatan untuk lebih banyak karya muzikal bernostalgia dicampur kontemporari moden.
- Lagu Dia Datang adalah sebuah lagu klasik malar segar, karya Seniman Legenda Tokoh Ghazal dan Zapin, Allahyarham Fadzil Ahmad (Raja Gambus) dengan tajuk asal, Si Dia Datang nyanyian Allahyarham bersama seniwati S. Fauziah.
0 Comments