"Sebelum ini, Nana pernah berduet dengan Ustaz Shahrizan menerusi lagu zikir Hasbi Rabbi, jadi tahun ini perancangan Nana dan pasukannya ialah untuk berduet lagu Keluarga Bahagia pula.
"Bila dipelawa, kami berasa sangat berbesar hati dan terus bersetuju. Cuma cabarannya adalah dari segi rakaman gandingan penyanyi-penyanyi dari dua jantina dan susunan lagu ini juga sangat berbeza dari yang asal.
"Ini kerana ia membabitkan dua ‘tone’ suara yang berbeza. Bila kami sudah bersetuju untuk berduet, kami teruskan rakaman walaupun terpaksa menjalani sesi rakaman di tiga studio yang berbeza disebabkan perbezaan jadual antara kami semua. Alhamdulillah, lagu dan muzik video akhirnya selesai dirakamkan dan bakal dilancarkan bulan Ramadan ini.
"Susunan lagu ini dibuat oleh Zimi yang juga bertindak sebagai penerbit. Susunan lagu dibuat secara moden dengan genre muzik balada. Mesej lagu akan kepentingan hidup kekeluargaan dikekalkan dan susunan lagu yang dibuat menepati cita rasa pendengar kini," katanya.
Berkongsi lanjut, Sufian berkata, lagu Keluarga Bahagia versi baharu ini cukup istimewa kerana ia adalah kesinambungan daripada kejayaan penganjuran ‘Konsert Saujana 25 Tahun’ baru-baru ini.
"Jadi, boleh dikatakan ia adalah susulan daripada kejayaan konsert untuk dibawa ke bulan Ramadan pula. Penyanyi utama asal untuk lagu ini iaitu Dr Idzu Baharin juga sangat teruja untuk berduet dengan Nana," katanya.
Dalam masa sama, menurut Sufian, lagu Keluarga Bahagia” ini antara lain meraikan persahabatan lama Saujana dan Nana.
"Tahun kemunculan kami dalam industri lebih kurang sama saja. Kalau dahulu sewaktu sesi fotografi untuk majalah dan sebagainya, kadang-kadang terjumpa juga dengan Nana. Jadi, bila dapat jumpa kembali selepas 25 tahun apalagi merakam sebuah lagu bersama, ia wajar diraikan.
"Lagi pula, 10 tahun lalu saya pernah pergi ke Gaza, Palestin bersama sahabat selebriti lain dan dari situ kami mula mengenali Nana dengan lebih rapat. Nana sangat meraikan persahabatan. Lagu ini bukan untuk bulan Ramadan saja, tapi tetap relevan untuk bila-bila masa.
"Mesej lagu ini sangat sesuai dengan isu rumah tangga yang sedang hangat diperkatakan kini. Ada mesej tersirat dalam lagu ini. Inilah apa yang nak disampaikan menerusi lagu ini iaitu untuk mengajak masyarakat menyayangi keluarga," katanya.
Sementara itu, Nana, 39, berkata dia berasa bertuah apabila dapat berkolaborasi dengan Saujana yang juga antara kumpulan nasyid legenda tanah air.
"Sejujurnya, saya berasa bertuah sangat. Sebab saya membesar dengan lagu Keluarga Bahagia ini. Di sekolah dulu, kalau masuk pertandingan memang lagu nil ah yang dinyanyikan. Tidak menjangka sekarang saya dapat rakam semula lagu ni.
"Secara peribadi, lagu Keluarga Bahagia ini adalah kegemaran saya begitu juga dengan Saujana. Mereka kumpulan nasyid legenda," katanya.
Dalam masa sama, Nana berkata dia berasa gementar menantikan respons daripada peminat.
"Umum mengetahui lagu Keluarga Bahagia ini mempunyai penggemar tersendiri sejak dahulu lagi. Jadi, apabila diberikan nafas baharu tentu saja saya gementar nak menunggu maklumbalas peminat.
"Apa pun, saya sudah cuba yang terbaik dan menyanyikan lagu ini mengikut cara dan gaya saya sendiri tapi masih kekalkan keaslian, kemerduan lagu ini," katanya.
Lagu Keluarga Bahagia (2023) terbitan Seventeen Eleven Music akan dilancarkan pada hari Jumaat, 24hb Mac dan boleh mula distrim di semua perkhidmatan striming muzik pada hari tersebut. Video muzik rasmi lagu tersebut juga boleh mula ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music pada hari yang sama jam 3 petang.
0 Comments