SETELAH bereksperimentasi dengan bunyi, ruang, dan alat muzik baru dan lama, dari serata dunia, MonoloQue telah membuat keputusan untuk kembali ke pangkal jalan, yakni memberi tumpuan kepada lagu dan irama.
Lagu Cinta - ringkas, mudah dan bermakna adalah lagu terbaharu daripada MonoloQue, yang memberikan sedikit sebanyak gambaran kepada arah tuju album ketiga yang bakal tiba.
Lagu mengenai perlunya cinta dalam kehidupan. Ketika waktu susah dan perih, cinta adalah penguat. Ketika waktu senang dan tenang, cinta adalah penyeri.
Situasi ini diceritakan bukan sahaja menerusi lirik, tetapi turut digambarkan menerusi gubahan lagu. ‘Jika diperhalusi, chorus dan verse Lagu Cinta dimainkan dalam irama minor bagi menggambarkan kegelapan, kesedihan, kesusahan. Namun waktu bahagian bridge, lagu bertukar kepada major, sesuatu yang bertentangan.
Secara tidak langsung Lagu Cinta memberitahu pendengar yang hidup perlukan keseimbangan. Dalam kesulitan, pasti ada kesenangan.
Selain itu, Lagu Cinta mempunyai maksud simbolik, kemungkinan terhadap tragedi dua dekad yang lepas, di mana arwah adik LoQue yang telah meninggal dunia di dalam kemalangan jalan raya.
Kematian tersebut menyebabkan LoQue sedar bahawa kematian itu adalah sebahagian daripada kehidupan yang pasti dan tidak dapat dielakkan. Tetapi, pada masa yang sama, kematian adalah sesuatu yang mistik dan misteri.
Walaupun tiada bukti saintifik, LoQue percaya bahawa setiap bait kata dan bunyian akan sampai kepada adiknya yang sudah pergi.
"Saya harap lagu ini dapat merentas dimensi," kata LoQue, dengan harapan yang lagu ini akan sampai ke tempat adiknya sedang bersemadi.
Gubahan dan lirik Lagu Cinta merupakan hasil ciptaan LoQue yang dirakamkan di Makmal Kampung Batu dan di Kilang Menjahit Bunyi (studio-studio milik loQue ).
Dikawal selia oleh jurutera rakaman Ammar Lautan”, Parameswara, Lut, dan LoQue sendiri. Turut terlibat adalah juruteknik Eri Ambia, Pengiran PG, Mujahid, dan juga Lut. Disempurnakan menerusi berpuluh-puluh adunan oleh LoQue sendiri dan kemudian disempurnakan (mastering) oleh Felix Voon.
Lagu Cinta akan ke udara, ke dalam talian, di segenap landasan digital pada 16 Disember 2022. Ikuti @monoloquerasmi di Instagram, Twitter, dan Facebook untuk melihat perkembangan dan kisah terkini.
Mengenai MonoloQue
Kumpulan muzik MonoloQue telah ditubuhkan pada tahun 2009 oleh pemain gitar kumpulan Butterfingers, Khairil Ridzwan Anuar atau Loque. Pada awal penubuhan, MonoloQue dianggotai oleh Loque, Kadax, Loko, Ijoo(Gagak Hitam), dan Adam(Senyap).
Perubahan anggota kumpulan berlaku pada tahun 2011 di mana Adam digantikan oleh Apex. Pada tahun 2014, Loko pula pergi dan tempatnya digantikan oleh Bakri Ismail. Muzik yang dibawakan oleh MonoloQue bergenre eksperimental yang disulami lirik puitis.
Setelah lebih satu dekad bermain dan bertukar tukar ahli sementara, pasca pandemik ini menjadi saksi monoloQue lahir semula dengan bunyi baru.
Tindak balas kimia petikan gitar utama oleh ahli baru (LoQue panggil 'unsur baru', Harry ‘Misteri’ serta penggunaan kembali unsur gendang/rentak yang dihidupkan oleh orang lama, Loko (yang bersama LoQue sejak Butterfingers juga awal era monoloQue) telah merombak semula secara menyeluruh, memecah ruyung bunyi MonoloQue untuk menyusuri era baru lanskap bunyi bunyian kini, dan masa depan.
0 Comments