BIARPUN majlis perpisahan dan persaraannya sebagai pemain badminton negara adalah sesuatu yang cukup emosi buat peminat sukan tanah air, terutamanya para peminat yang sentiasa menyokong perjalanan kerjayanya, Goh Liu Ying dilihat berusaha untuk terus kekal ceria.
Malah pemain beregu campuran berkelas dunia kelahiran Alor Gajah, Melaka itu sedikitpun tidak menitiskan air mata sepanjang majlis istimewa itu yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada pagi Sabtu, sebelum perlawanan separuh akhir Petronas Malaysia Open bermula.
Personaliti dimiliki Liu Ying atau kini lebih dikenali dengan gelaran Mummy dalam kalangan peminatnya begitu kuat dan sentiasa positif alam apapun situasi dilaluinya.
Tidak hairanlah beliau masih mampu bangkit meneruskan perjuangan dengan begitu bersemangat meski berulang kali dibelenggu kecederaan serius terutama melibatkan kedua-dua lututnya sehingga perlu menjalani pembedahan pada 2015, sekali gus mengejar impiannya mengharumkan nama negara dan mencipta kejayaan di pentas dunia.
Satu contoh terbaik buat pemain-pemain muda negara jika ingin meraih kejayaan serupa atau lebih daripada itu untuk negara pada masa akan datang.
Pada acara Goh Liu Ying Farewell Ceremony itu, atlet kesayangan ramai yang telah menggantung raketnya pada Selasa lalu diraikan menerusi perlawanan pertunjukan 3 VS 3 yang turut menyaksikan penampilan bekas-bekas pemain dan juga teman rapatnya.
Mereka terdiri daripada pasangannya, Chan Peng Soon, Cheah Liek Hou (pemenang pingat emas Paralimpik), Tan Boon Heong, Koo Kien Keat dan pemain perseorang Amerika Syarikat, Zhang Beiwen.
Acara itu diadakan khas bagi menghargai jasa dan pengorbanan Liu Ying yang sudah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa sepanjang kariernya.
“Saya akui hari ini saya sedikit beremosi kerana ini merupakan hari terakhir saya dapat beraksi di Axiata Arena sebagai pemain," ujarnya dalam ucapan perpisahan yang turut mengundang sebak kira-kira 1,000 penonton yang hadir di Axiata Arena itu.
Liu Ying juga mengambil kesempatan untuk merakamkan jucapamn terima kasih kepada insan-insan yang banyak membantunya sepanjang kariernya bersama Peng Soon sehingga pernah berada di ranking ketiga dunia.
“Saya berterima kasih kepada jurulatih Rexy Mainaky yang memulakan langkah membentuk beregu campuran di Malaysia, sebelum jurulatih Rosman Razak menggandingkan saya dengan Peng Soon.“Kemudian, saya dilatih sepenuhnya oleh Jeremy Gan dalam skuad kebangsaan di BAM (Persatuan Badminton Malaysia), sebelum dilatih Chin Eei Hui ketika bergelar pemain profesional,” katanya yang cukup dikenali dengan sikap merendah diri.
Menariknya, Ee Hui dalam kenyataannya menyifatkan Liu Ying sebagai seorang yang dominan.
“Liu Ying mempunyai personaliti dominan, juga lantang bersuara. Jika bersama Peng Soon, mereka sering bergaduh namun segera menyelesaikan pergaduhan sebelum pulang dari latihan,” kata Eei Hui ketika ditemubual.
Sepanjang 13 tahun berpasangan, Liu Ying dan Peng Soon meraih pelbagai pencapaian dan gelaran. Paling gemilang, semestinya kejayaan mereka memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016.
Pasangan ini juga turut meraih keseluruhan 12 gelaran sepanjang gandingan bersama sejak 2008 termasuklah muncul juara Asia 2010 dan Terbuka Jepun 2012.
Liu Ying dan Peng Soon juga turut muncul sebagai naib juara dalam beberapa kejohanan utama termasuklah dua kali di Terbuka Malaysia 2013 dan 2016, Seluruh England 2017 dan Terbuka Indonesia 2018.
Tidak hanya itu, mereka juga meraih gangsa pada temasya sukan Komanwel 2018, pingat Sukan SEA dan lain-lain.
Pada Selasa lalu, Liu Ying dan Peng Soon tampil bergandingan buat kali terakhir dalam kejohanan Terbuka Malaysia 2023, sebagai penutup kariernya sebagai pemain badminton dan rasmi menggantung raket.
Bagaimanapun, pasangan ini tewas kepada beregu Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati pada pusingan pertama dengan tiga set, 21-18, 15-21, 7-21.
Berkongsi perancangannya selepas ini, bintang berusia 34 tahun itu berkata, beliau bakal menganjurkan beberapa kejohanan badminton tiga lawan tiga untuk pemain amatur bermula Februari depan.
“Kejohanan itu nanti bukan untuk profesional, tetapi untuk pemain amatur. Kita sudah ada banyak kejohanan untuk pemain profesional tetapi tidak untuk pemain amatur."Saya tahu rakyat Malaysia amat meminati badminton jadi saya akan cuba anjurkan lebih banyak kejohanan,” tambahnya yang mengakui minatnya dalam sukan badminton tidak pernah berkurang meski sudah menggantung raket.
Dalam pada itu, Liu Ying juga memberi bayangan akan bersama Astro untuk program yang bakal diumumkan pada April depan.
Berita persaraan Liu Ying tidak hanya hangat menjadi bualan di Malaysia, tetapi juga di negara jiran, Indonesia.
Sebahagian besar media di sana turut membuat liputan dan menyiarkan berita tersebut di platform masing-masing.
Malah media sosial Liu Ying juga dibanjiri dengan ucapan perpisahan dan kata-kata semangat daripada peminatnya di negara tersebut.
Masing-masing turut menyatakan penghargaan ke atas penampilan Liu Ying selama bergelar pemain badminton di pentas dunia.
Ternyata pengaruh yang dibina bukan setakat dalam peminat sukan tanah air, tetapi nama Goh Liu Ying turut mekar dan mengharumkan dalam kalangan peminat badminton seluruh dunia.
Selamat bersara GOH LIU YING!!!
Anda selamanya menjadi bintang di hati kami rakyat Malaysia. - 7KLIK
ARTIKEL BERKAITAN: goh-liu-ying-nokhtah-perjalanan-kerjaya
ARTIKEL BERKAITAN: from-swatting-shuttlecocks-to-silver
ARTIKEL BERKAITAN: veteran-liu-ying-faces-tough-task-in
0 Comments