SURIA FM bersama IOI City Mall Putrajaya bakal mengadakan sambutan Ambang Tahun Baru 2023 pada Sabtu ini, 31 Disember bertempat di Symphony East, IOI City Mall.
Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin berkata;
“Setelah hampir dua tahun tidak diadakan sambutan ambang tahun baru kerana pandemik yang melanda tanah air, kini Suria FM dan IOI City Mall Putrajaya mengambil inisiatif mengadakan sambutan ini sebagai penutup tirai bagi tahun 2022 sekaligus menjadi simbol bagi menyambut kedatangan tahun baru.
“Sambutan ambang tahun baru ini akan bermula seawal jam 6 petang dengan menampilkan pelbagai aktiviti menarik antaranya ‘Giveaway’ kepada para pengunjung yang hadir, trak makanan, persembahan magik 'Mark & Pinky' dan pertunjukan bunga api di atas pentas."Pengunjung juga turut berpeluang membeli ‘Barangan Eksklusif Suria FM’ seperti T-Shirt, lanyard, payung, sticker kereta dan Jersey edisi terhad yang dikeluarkan bersempena ulangtahun Suria FM yang ke-15. Jangan lepaskan peluang kerana barangan eksklusif tersebut akan dijual dengan harga promosi," ujarnya.
Bagi memeriahkan acara, pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada barisan artis popular tanah air seperti Ziana Zain, Amir Masdi, Floor 88, Kugiran Masdo, Andi Bernadee, Syameer Azmi, Zulhadi, Hasif Upin, Bil Musa, Bell Yu Tian dan Geraldine.
Penyampai Suria FM, Shuib, Sharifah Shahirah (Rara) dan Suraya turut hadir selaku host untuk konsert pada malam itu nanti.
"Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak IOI City Mall Putrajaya atas kerjasama baik ini dan diharapkan konsert ambang tahun baru 2023 kali ini akan berjalan lancar serta dapat meninggalkan kenangan manis untuk semua yang hadir,” ujar DJ Lin.
[KREDIT: Suria FM]
0 Comments