BMW Shorties telah kembali ke hati bandar Kuala Lumpur setelah lebih dua tahun berlalu untuk meraikan kebangkitan Industri Kreatif di samping memperkenalkan pemenang edisi terbaharu pertandingan ini, Fasa oleh Syahmi Norsan.
Fasa merupakan sebuah cerita berdurasi 10 minit yang menelusuri tema moraliti dan juga pilihan, dirungkai melalui dialog yang mendalam dan serba kontemplatif antara dua watak iaitu Ehsan dan Razak yang sedang melalui fasa kehidupan yang berbeza serta keadaan yang mendorong mereka untuk membuat suatu pilihan.
Syahmi Norsan, Pemenang Hadiah Utama pertandingan BMW Shorties ini membawa pulang RM80,000 dalam bentuk geran produksi setelah beliau dinobatkan dengan sebulat suara oleh panel juri dari industri kreatif yang dibarisi Saw Teong Hin, Nadiah Hamzah, Jeany Amir, Joon Goh, dan Anwari Ashraf.
Buat julung kali memikul peranan sebagai pengarah, Syahmi berkata, Fasa menjadi satu cabaran yang amat besar, namun memuaskan dalam perjalanannya sebagai seorang tukang cerita.
"Untuk filem ini diiktiraf di atas pentas yang begitu berprestij seperti BMW Shorties, dan dalam kalangan kontemporari lain yang tidak kurang hebatnya, ia merupakan sesuatu yang saya benar-benar syukuri."Setiap langkah yang telah diambil berbentuk satu tugas yang besar, berpaksikan matlamat untuk menggambarkan tema-tema cerita ini yang rumit menggunakan cara yang bersesuaian, namun berimpak."Saya amat berterima kasih kepada pasukan saya atas dedikasi mereka untuk menyuntik nafas kepada cerita ini bersama saya. Terima kasih juga kepada BMW Shorties kerana memberi peluang kepada kami untuk berkongsi visi kami ini kepada orang ramai,” ujarnya.
Fasa menerima pujian daripada seluruh barisan juri atas cara filem ini mendekati tema utamanya, di samping kualiti produksi yang cemerlang, tempo yang menarik, serta penyampaian yang terpelihara namun penuh impak oleh pelakonnya.
Biarpun lebih memberi fokus kepada dialog, filem ini mampu menambat perhatian penonton sepanjang tayangannya. Kenyataan ini turut dibuktikan dengan kejayaan Syahmi dan pasukan beliau dalam merangkul anugerah Pengarah Terbaik dan juga Pelakon Lelaki Terbaik.
Saw Teong Hin, yang sekali lagi menjadi juri pertandingan BMW Shorties, mengulas;
“Setelah menonton Fasa buat kali yang pertama, apa yang terbenak dalam buah fikiran saya ialah satu cerita yang dibikin dan dikisahkan dengan begitu baik, dan pada masa yang sama, ia membawa erti yang tidak terhad kepada apa yang dipertontonkan sahaja."Kerumitan karya tersebut mampu menarik perhatian anda untuk menontonnya buat kali kedua, lalu anda dapat menghargai setiap keputusan yang diambil oleh Syahmi sebagai pencipta filem ini, serta pilihan peribadi yang dibuat oleh para pelakon dalam memainkan watak masing-masing."Firdaus Hamdan, khususnya, telah menunjukkan penyampaian yang begitu terpelihara, yang bukan sahaja tampak natural, tapi juga sarat dengan impak,” katanya.
Nadiah Hamzah yang turut membarisi panel juri berkongsi;
“Untuk menelusuri sebuah tema yang berat seperti yang dilihat dalam Fasa, filem itu haruslah dilaksanakan dengan bijak, kerana ia meniti satu garisan halus yang memisahkan antara penyampaian yang dianggap agak keterlaluan dan yang kosong."Fasa berjaya mengekalkan keseimbangan ini dengan baik dan saya memuji seluruh pasukan filem ini kerana berani menyahut cabaran tersebut selain cemerlang melaksanakannya.” katanya.
Sementara itu, Jeany Amir menambah;
“Saya percaya bahawa para individu yang bergelar veteran dalam industri kreatif juga dapat banyak belajar daripada golongan seni yang baharu dan Fasa menjadi contoh yang sempurna."Sementara kita, para juri, mengaplikasi pengalaman kita dalam industri ini untuk merungkai dan menganalisa cerita berkenaan, kita juga dapat menyingkap sejauh mana pengalaman dan visi peribadi Syahmi telah menjurus kepada kelahiran karya ini."Platform seperti BMW Shorties memainkan peranan yang penting dalam menghimpunkan minda-minda kreatif, yang lama dan juga yang baharu, serta menerap hubungan dua hala yang mampu mengangkat industri kreatif Malaysia ke aras yang lebih tinggi,” katanya.
Sashi Ambi, Ketua Komunikasi Korporat dan Kelestarian BMW Group Malaysia berkata,
“Kembali pada tahun ini dengan tema RE:IMAGINE, BMW Shorties terus mencungkil kreativiti yang tiada batasannya dalam kalangan warga Malaysia yang turut melangkaui rintangan pandemik."RE:IMAGINE diilhamkan oleh strategi Kelestarian dan Sirkulariti BMW Group yang mendekatkan kami dengan inovasi dari satu sudut yang baharu. Seperti BMW Shorties, ia merupakan satu falsafah bagi kreativiti selain menjadi solusi untuk masa depan."BMW Shorties akan terus berpegang kepada janjinya untuk menyediakan wadah bagi suara-suara kreatif di Malaysia, sementara platform tersebut terus berkembang dan mengadaptasi mengikut arus semasa,” ujarnya.
BMW Shorties Festival 2022
Menjelang Malam Anugerah pertandingan ini, BMW Shorties telah mengambil peluang untuk turun ke Petaling Street, Kwai Chai Hong dan kawasan-kawasan sekitar dengan BMW Shorties Festival 2022. Meraikan Seni, Muzik, Filem dan Konten Digital, festival ini telah diisi dengan pelbagai tarikan dan aktiviti yang mengambil tempat sepanjang hari tersebut.
Festival ini dimulakan dengan sesi ‘photo walk’ di sekitar REXKL, Petaling Street dan Kwai Chai Hong – dihoskan oleh Annice Lyn.
Wartawan foto tersebut merupakan yang pertama dan satu-satunya jurugambar wanita Malaysia yang mendapat akreditasi bagi hasil kerjanya untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk XXIII, Pyeongchang 2018, dan beliau juga merupakan pengasas bersama bagi organisasi Women’s Photography Malaysia (WPM).
Warga umum turut mengambil bahagian dalam acara tayangan karya 10 finalis BMW Shorties yang bersertakan ulasan para pengarah di REXKL, di mana persembahan muzik juga disajikan oleh artis-artis tempatan di bawah nama Sweet Rasta dan Sounds of Jane.
Jentera elektrik tulen BMW iX3 berserta dua unit BMW iX berselubungkan karya seni berjudul Symbiotic Mesh oleh seorang pemuzik, artis dan pereka tempatan, Jared Lim, juga dikenali sebagai Professional Crayon turut menyerikan festival tersebut - membolehkan para pengunjung mengamati kenikmatan pemanduan elektrik yang sebenar di sekitar Chinatown.
Memetik ilham daripada inisiatif BMW Group untuk melestarikan dunia kejuruteraan, gubahan seni tersebut membayangkan alam semula jadi dalam sebuah dunia yang berwarna-warni, wujud dan berfungsi bersama-sama teknologi menerusi satu hubungan simbiotik demi masa depan yang lebih cerah buat semua.
Orang ramai juga dapat RE:IMAGINE gubahan seni pada jentera SAV elektrik tulen bersaiz sederhana, BMW iX3 tersebut berlatarkan pemandangan Chinatown. Di Kwai Chai Hong pula, pameran lampu seni serba unik yang memancarkan warna-warna prismatik juga telah membuka ruang untuk aktiviti fotografi kreatif.
Lanjutan daripada inisiatif berterusan BMW Group Malaysia untuk membantu perniagaan tempatan serta usaha kelestarian mereka, BMW Shorties telah berganding bahu dengan peniaga-peniaga F&B tempatan di sekitar kawasan Chinatown dan Petaling Street yang meliputi Bubblebee, Mary Jane, Vintage 1988, MyHub, Grill Box, Lim Kee Café, Rust KL, Wildflower, Gui Gui BBQ, 青青 (Pandan Republic) dan 小时光 (DayOne DayOne Noodles).
Orang ramai dipelawa untuk RE:IMAGINE pengalaman mereka bersama perniagaan-perniagaan ini untuk memenangi barangan koleksi BMW Shorties yang serba istimewa.
Filem-filem pendek yang dinukilkan oleh para finalis boleh ditonton di laman YouTube rasmi BMW Shorties di www.youtube.com/user/bmwshortiesmy.
Untuk maklumat lanjut mengenai BMW Shorties, sila layari laman sesawang rasmi BMW Shorties di www.bmwshorties.com.my.
Jika anda ingin mendapatkan perkembangan terkini mengenai acara-acara BMW Shorties yang akan datang, sila kunjungi laman Facebook BMW Shorties di www.facebook.com/bmwshorties dan Instagram di www.instagram.com/bmwshorties . - 7KLIK
Senarai Pemenang Anugerah BMW Shorties 2022
Anugerah Hadiah Utama
- Fasa (Syahmi Norsan)
Anugerah Pilihan Popular
- Red Is The Colour I Don’t Want To See (Syalikh Nazrul)
Anugerah Pengarah Terbaik
- Syahmi Norsan (Fasa)
Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik
- Firdaus Karim (Fasa)
Anugerah Pelakon Wanita Terbaik
- Farahin Shazleen (Melayu Nuckal)
Anugerah Pelajar Terbaik
- Varten a/l Tharumalingam (Pralaya)
Anugerah Sinematografi Terbaik
- Bryan Ho Tze Hoong (After Tomorrow)
Anugerah Suntingan Terbaik
- Izaq Yuzaini (Melayu Nuckal)
Anugerah Lakon Layar Terbaik
- Syukri A Rahim dan Mary Grace Liew (Story 2: Regardless, I Still Long For You)
Anugerah Rekaan Bunyi Terbaik
- Shaktyvel Neelamekan dan Sherwynn Victor (Keranda Di Langit/Coffin in the Sky)
Anugerah Rekaan Produksi Terbaik
- Irfan Al-Juffry (Sayang)
Mendapat Pujian Juri
- Port Pink (Sarah Ameera & Talha K.K)
- Mindframe (Andy Darrel Gomes)
0 Comments