PENYANYI tersohor Celine Dion
membuat pendedahan mengejutkan apabila berkongsi berita duka mengenai penyakit
yang dihidapi sehingga terpaksa membatalkan siri konsert jelajah Eropah yang
sepatutnya bermula Februari tahun depan.
Menerusi perkongsian di laman
Instagramnya pada Khamis, Celine, 54, menjelaskan, dia kini menderita sejenis
penyakit yang tidak dapat diubati dikenali sebagai Stiff Person Syndrom
(SPS).
Menurut penyanyi My Heart Will Go
On itu, penyakit tersebut mengakibatkan ototnya tidak dapat dikawal sehingga
mengganggu percakapan dan pergerakannya.
Ungkapnya lagi, dia sudah lama
mengalami masalah kesihatan dan situasi tersebut amat sukar untuk didepani
mahupun bercakap secara terbuka mengenainya.
“Malangnya kekejangan otot ini akan memberi kesan terhadap seluruh hidup saya.“Adakalanya saya sukar berjalan, malah ia turut memberi kesan terhadap peti suara sehingga menyukarkan saya untuk menyanyi seperti kebiasaannya,” ujarnya.
Menurut laman web Hopkins Medicine,
SPS merupakan sejenis penyakit yang jarang berlaku dan hanya dialami oleh satu
atau dua orang dalam satu juta manusia.
Malah penyakit tersebut boleh menyebabkan berlakunya kekejangan otot yang
dicetuskan oleh pelbagai faktor seperti pergerakan secara tiba-tiba, cuaca
sejuk dan bunyi bising.
Melihat kepada situsi tersebut,
artis kelahiran Kanada itu mengambil keputusan untuk tidak meneruskan siri
konsert jelajah Eropah yang dirancang sebelum ini bagi memberi tumpuan kepada
kesihatannya.
Celine mengesahkan dia sedang
mendapatkan rawatan dan mempunyai pasukan doktor terbaik untuk membantunya
berhadapan dengan situasi yang sukar digambarkan itu.
“Saya sedang berusaha dengan bantuan ahli terapi untuk mengembalikan kekuatan dan kebolehan saya untuk menghiburkan peminat. Tetapi perlu saya akui, ia perkara yang sangat sukar.“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas kasih sayang serta sokongan anda. Saya sangat menyayangi anda semua dan berharap dapat berjumpa dengan kalian semula tidak lama lagi,” jelasnya.
Celine sebelum ini mencetuskan
kebimbangan berkenaan kesihatannya pada awal tahun ini berikutan dia
membatalkan siri konsert jelajah Amerika Utara yang sepatutnya berlangsung dari
9 Mac hingga 22 April lalu.
Penyanyi itu dan pihak pengurusan
kemudiannya menjadualkan semula konsert musim bunga 2023 kepada 2024, selain
membatalkan lapan konsert musim panas 2023. - 7KLIK
0 Comments