[KREDIT BERITA - HARIAN METRO: https://www.hmetro.com.my/arena/badminton/2022/11/899419/peng-soon-yee-see-tinggalkan-bam]
BEREGU campuran kebangsaan Chan Peng Soon dan Cheah Yee See secara rasmi 'bercerai' dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bermula penghujung bulan ini.
Situasi terbabit disahkan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh yang menjelaskan dua pemain terbabit membuat keputusan untuk 'angkat kaki' walaupun pihaknya cuba memujuk pemain berkenaan supaya kekal di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Sebagai rekod, ini kali kedua Peng Soon meninggalkan BAM selepas dia membuat keputusan sama bersama bekas pasangannya, Goh Liu Ying pada 2018 untuk bergerak secara profesional.
"Sebenarnya, BAM ada berbincang dan berusaha memujuknya supaya kekal di sini, namun dia (Peng Soon) tetap dengan pendirian untuk keluar. Justeru, kami berterima kasih atas sumbangannya selama setahun di sini.
"Selain itu, Yee See juga buat keputusan sama untuk meninggalkan BAM penghujung bulan ini selepas mengambil masa beberapa hari. Kami juga sudah berusaha untuk memujuknya tetapi tidak berhasil," katanya dalam sidang media di ABM, Bukit Kiara semalam.
Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky berkata, prestasi kurang menjadi di Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk keluar dari BAM.
Pada dua kejohanan di Eropah itu, Peng Soon-Yee See gagal mencapai keputusan diharapkan apabila sekadar menamatkan kedua-dua aksi Jelajah Dunia Super 750 itu di pusingan pertama.
"Sebenarnya, Peng Soon sudah buat perancangan untuk keluar dari BAM sekiranya prestasi mereka di Eropah tidak mencapai standard yang dimahukan. Keputusan di sana kurang bagus, jadi dia memilih jalan ini.
"Selain itu, dia juga sudah ada akademi sendiri selain sedar dengan ranking dan keputusan semasa. Selain itu, BAM sebenarnya memang ada perancangan untuk bantu mereka ke Sukan Olimpik 2024," ujar pengendali dari Indonesia itu.
Selain Peng Soon dan Yee See, seorang lagi pemain beregu campuran negara, Peck Yen Wei turut mengambil keputusan meninggalkan badan induk itu selepas bergelut dengan masalah kecederaan pergelangan kaki kiri.
[KREDIT BERITA - HARIAN METRO: https://www.hmetro.com.my/arena/badminton/2022/11/899419/peng-soon-yee-see-tinggalkan-bam]
[FOTO: Instagram Chan peng Soon/Badminton Photo Official]
ARTIKEL BERKAITAN: liu-ying-umum-persaraan
ARTIKEL BERKAITAN: juan-shen-teruja-bergandingan-bersama
ARTIKEL BERKAITAN: liu-ying-buang-memori-sedia-lawan-peng
0 Comments