Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Kempen Scan To Ride bantu warga Klang guna Bas Smart Selangor melalui aplikasi CEPat



SMART Selangor Delivery Unit (SSDU) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini telah menjalankan Program Hebahan Penggunaan ‘Scan To Ride’ Bas Smart Selangor kepada warga Klang di sekitar empat (4) buah Hub Bas Smart Selangor iaitu di Bandar Klang, Bandar Putera, Taman Rakyat Sri Andalas dan di Klang Sentral bermula jam 6.45 pagi sehingga jam 7 petang.

Seramai 20 orang petugas termasuk Pegawai MPK, SSDU dan juga sukarelawan SSDU dibawah program ‘Active8’ telah terlibat secara langsung dalam menyampaikan hebahan penggunaan aplikasi “Scan To Ride” kepada warga Klang dan pengguna yang menggunakan bas sebagai pengangkutan awam harian mereka.

Menurut Pengarah Perancangan Strategik Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Mazlan Mahadi, penduduk Klang merupakan antara pengguna yang ramai menggunakan pengangkutan awam dan SSDU amat komited untuk membantu pihak Majlis Perbandaran Klang untuk mendidik warga Klang memanfaatkan penggunaan aplikasi digital ‘Citizen E-Payment’ (CEPat) bagi kemudahan mereka menaiki pengangkutan awam khususnya Bas Smart Selangor.

“Program Hebahan ‘Scan To Ride’ ini dijalankan untuk kami turun padang di empat lokasi Hub Bas Smart Selangor dengan mendidik mereka (para pengguna dan orang awam) secara langsung untuk menggunakan aplikasi “Scan To Ride” melalui CEPat dengan lebih berkesan.”


Selain memudahkan mereka dari segi pengurusan masa, para pengguna juga akan lebih mudah merancang perjalanan mereka untuk menggunakan Bas Smart Selangor dengan merujuk aplikasi Selangor Intelligent Transport System (SITS) yang menyenaraikan senarai laluan bas, jangkaan ketibaan bas serta lokasi hentian bas.

Melalui program yang sama, SSDU turut mengedarkan jalur gemilang kepada orang awam dan pengguna Bas Smart Selangor bersempena dengan Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Sambutan Kemerdekaan ke-65 Peringkat Negeri Selangor yang telah dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Selangor pada 31 Julai lalu di Program Jelajah Selangor Penyayang, daerah Gombak.

Tambahnya lagi, program hebahan ini turut memberi ruang kepada sukarelawan Active8 yang terdiri daripada beberapa pelajar IPTA dan IPTS untuk kembali aktif dalam program sukarelawan selepas pandemik yang melanda Malaysia sejak tahun 2020.

Untuk perancangan masa akan datang, SSDU bercadang untuk mengadakan lebih banyak program dan kempen bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mendekati warga Selangor tertutamanya dalam mendidik orang awam berkenaan agenda pendigitalan negeri ini dengan mempromosikan aplikasi CEPat dan juga ‘Cashless Program’ di setiap daerah dalam negeri Selangor. - 7KLIK


(KREDIT: SSDU)










Post a Comment

0 Comments