PADA 6 Ogos depan, jam 8.30 malam, saksikan Ratu Pop Malaysia, Datuk Aishah berganding bahu bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (Malaysian Philharmonic Orchestra - MPO) di dalam konsert yang telah lama dinantikan bertajuk Aishah & MPO: A Symphonic Rendezvous di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), KLCC.
Persembahan tersebut akan dipimpin oleh konduktor Ahmad Muriz Che Rose, konsert ini akan menyaksikan keunggulan persembahan MPO yang melangkaui pelbagai genre muzik, dari muzik klasikal barat ke runut bunyi filem, irama tradisional, pop, jazz dan kontemporari.
Ditubuhkan pada tahun 1998, MPO terus menyajikan persembahan bertaraf antarabangsa kepada pelbagai lapisan penonton. MPO juga telah melebarkan sayapnya ke negara luar seperti Singapura, Taiwan, Korea, China, Jepun dan Australia.
Kolaborasi terbaru MPO ini adalah persembahan yang sememangnya dinanti-nantikan lantaran Datuk Aishah sendiri adalah sebuah nama besar dalam industri seni muzik tanahair. Konsert ini merupakan konsert solo pertama Datuk Aishah bersama MPO di pentas DFP.
Sebelum ini beliau pernah berkolaborasi bersama MPO dan Akim Ahmad untuk konsert Malaysia’s Virtual National Day 2020 Reception dan juga pada tahun 2018 untuk konsert Semalam Di Malaya, bergandingan bahu bersama Liza Hanim, Musly Ramly dan Rachel Guerzo.
Datuk Aishah memulakan perjalanan seninya pada tahun 1987 sebagai penyanyi utama untuk kumpulan pop dari New Zealand, The Fan Club sebelum melancarkan kerjaya solo beliau pada tahun 1990 dengan album sulungnya yang bertajuk Aishah.
Sejak daripada itu, beliau telah mengeluarkan pelbagai album hit dan juga memenangi pelbagai anugerah muzik tempatan antaranya seperti menjadi pemenang pertama Artis Paling Popular untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPH) dan merupakan pemenang anugerah Penyanyi Wanita Paling Popular ABPH selama tiga tahun berturut-turut (1990 – 1992). Beliau juga memenangi Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun 1995 dan 1996 dan dinobatkan sebagai juara untuk Gegar Vaganza Astro pada tahun 2017.
Untuk konsert beliau bersama MPO ini, para penonton bakal dibawa menyusuri perjalanan seni beliau, dialunkan dengan vokalnya yang hebat sambil diiringi melodi simfoni orkestra daripada MPO.
Antara lagu-lagu yang akan dipersembahkan ialah Seloka Rindu, Fatwa Pujangga, Kemaafan Dendam Yang Terindah, Janji Manismu dan Camar Yang Pulang.
Semua lagu yang akan dipersembahkan telah digubah dan diberikan nafas simfonik baru oleh Gerard Salonga, Luqman Aziz, Jenny Chin, Ahmad Muriz Che Rose, Ilham Subri, Vivian Chua dan Azhad Sulaiman.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.mpo.com.my atau media sosial MPO (Facebook, Instagram, YouTube dan TikTok).
Aishah & MPO: A Symphonic Rendezvous
Tarikh: Sabtu, 6 Ogos 2022
Masa: 8.30 malam
Tempat: Dewan Filharmonik PETRONAS, Menara Berkembar PETRONAS
Orkestra: Orkestra Filharmonik Malaysia (Ahmad Muriz Che Rose, konduktor)
Harga tiket: RM255, RM355, RM 455, RM555 (Premium), RM655 (Meet & Greet (Suite) & RM888.
[KREDIT: Dewan Filharmonik Petronas]
0 Comments