DULU kawan, kini lawan. Itulah yang berlaku kepada bekas pasangan beregu campuran handalan negara, Goh Liu Ying dan Chan Peng Soon yang buat pertama kalinya memasuki gelanggang sebagai lawan pada pusingan pertama Daihatsu Indonesia Masters 2022 yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta, pada Rabu.
Sebuah permainan yang menarik yang ditunggu ramai peminat kedua-dua pemain ini yang pernah berpasangan selama 13 tahun, sebelum berpisah pada Januari lalu.
Ironinya, Indonesia menjadi lokasi kejohanan terakhir pasangan ini bergandingan bersama pada tahun lalu dan turut menjadi kejohanan pertama yang menyaksikan mereka beraksi sebagai lawan. Disebabkan itu, ramai peminat meluahkan perasaan yang bercampur baur saat menyaksikan perlawanan yang dianggap janggal ini.
Liu Ying membuat debut dengan Soong Joo Ven yang juga bermain untuk acara perseorangan lelaki, selepas menamatkan gandingannya dengan Ong Yew Sin pada Mei lalu menerusi tiga kejohanan antarabangsa (German Open, All England dan Korea Open).
Sementara Peng Soon pula membentuk gandingan baharu bersama Cheah Yee See, selepas berpisah dengan Valeree Siow dan Toh Ee Wei.
"Jujurnya, saya tidak mahu berdepan dengannya sebagai lawan di kejohanan kerana dia adalah pasangan yang sangat menyenangkan di dalam dan luar gelanggang.
"Indonesia Masters adalah kejohanan kedua sejak kami berpisah. Jadi, saya tidak menyangka akan kembali bertemu dengannya sebagai lawan secepat ini.
Liu Ying-Joo Ven telah menunjukkan permainan yang cukup baik untuk kejohanan pertama mereka. Mungkin memerlukan sedikit masa untuk mencari keserasian, sekali gus menyinar sebagai pasangan beregu campuran baharu dalam ranking BWF selepas ini.
0 Comments