Hot Posts

6/recent/ticker-posts

‘Syukurnya Syawal’ meriahkan Program Khas Syawal 2022 di RTM


RADIO Televisyen Malaysia (RTM) telah mengadakan Majlis Apresiasi bersama Media sempena Program Khas Syawal 2022 bertempat di The Vertical, Bangsar South City, Kuala Lumpur dalam memperkenalkan kempen Syukurnya Syawal, yang dipilih sebagai tema program khas RTM sepanjang Syawal 1443H.

Majlis dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Haji Musa yang turut meluangkan masa menyertai program Bicara Santai ‘Borak Dulu MenKOMM’ bersama penggiat industri seni tanah air membincangkan perkembangan semasa industri kreatif yang dihoskan oleh Khir Rahman serta panel jemputan Fairuz Loy dan Bell Ngasri.

Seiring tema diketengahkan, RTM menerusi tiga saluran utama TV1, TV2 dan TV Okey meraikan lebaran ini dengan program berbentuk keagamaan, telefilem, drama bersiri, dokumentari, majalah dan hiburan khas untuk tontonan seisi keluarga.

Syukurnya Syawal dimulakan dengan siaran langsung Gema Takbir 2022 pada malam raya yang memaparkan topik sambutan raya dari sudut pandangan Islam bersama-sama tetamu undangan khas dan diselangi dengan takbir dan nasyid raya.

Pada 1 Syawal TV1 akan menyiarkan Siaran Langsung Solat Sunat Aidilfitri dari Masjid Wilayah Persekutuan yang turut dihadiri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, YAB Perdana Menteri serta barisan pemimpin.

Selain itu, RTM turut menerbitkan pelbagai program istimewa bagi memenuhi kehendak penonton menerusi rancangan terbitan Unit Hiburan TV RTM antaranya Borak Raya, Raya Sakan dan Konsert Minggu Ini Datuk Sri Siti Nurhaliza yang merupakan konsert pertama oleh pemilik gelaran Juara Bintang HMI 1995 selepas dua tahun pandemik Covid-19 melanda negara.

Konsert ini bakal mengimbau perjalanan karier Datuk Sri Siti Nurhaliza bersama RTM di samping mengubat kerinduan peminat yang menantikan persembahan penuh beliau.

Sementara itu Unit Drama TV RTM menerbitkan drama khas raya Hajat Nak Buat Lagu Raya dan sitkom Apartmen Putra manakala Unit Majalah dan Dokumentari RTM tampil dengan dokumentari khas yang akan disiarkan pada malam raya iaitu Rewang Raya memaparkan kemeriahan keluarga Tok Sidang lakonan Kazar Saisi beraya di kampung setelah dua tahun tidak beraya bersama akibat COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

RTM turut membawakan program majalah dan dokumentari kerohanian menerusi tajuk Musafir Di Aidilfitri, Kahwin Campur, Campin Mau Raya, MPV Ramadan dan Masak Sana Sini yang berkongsi resipi lazat sempena Hari Raya bersama selebriti terkenal Nazim Othman, Nad Zainal, Sharif Zero, Mimi Fly dan Nabila Razali.

Slot Panggung Syawal pula diisi dengan kisah masyarakat dalam drama Pak Su, Ramona Bertanding Ketua Kampung, Afghan, dan Demi Cintaku Zainuddin.

Drama rantaian mengisi slot Widuri tampil dengan gandingan pelakon Redza Rosli dan Rita Nadira bertajuk Juliet manakala slot Bidadari dengan tajuk Sembang Jarak Jauh yang membariskan pelakon Didie Alias, Amyza Aznan, Didi Astilah, Nafiz Muaz dan Zalif Sidek.

Sementara itu, bakal menarik tumpuan juga drama bersiri PA Lelaki Kerek yang dibintangi oleh Johan As'ari, Jasmine Suraya, Syafie Naswip, dan Wan Sharmila.

Telefilem eksklusif lebaran turut menanti dengan tajuk Raya 3 Rasa, Sabotaj Raya, Pulut Kuning Sushi Salmon, #SiapCepat, Air Tangan Teruna, Jangan Curi Hati Saya, Pai Kuasa Dua, Kau Bukan Hakimku, Ketika Takbir Bergema, Ampun dan Tapai Pulut Opah.

Tidak ketinggalan juga tayangan filem-filem antarabangsa seperti The Adventures, The Elfkins – Baking A Difference, Happy Old Year dan Ponmagal Vandhal.

Selain program TV, kesemua 34 stesen radio RTM bakal menawarkan pelbagai rancangan menarik bagi memenuhi cita rasa semua pendengar sepanjang Syawal ini. Antara keunikan program radio ialah program terbitan yang menggunakan dialek masyarakat tempatan yang sudah tentu dapat meraih perhatian serta lebih dekat dengan penduduk tempatan.

Antaranya keunikan dijanjikan dalam program Badindang Raya disiarkan oleh LABUANfm dan KENINGAUfm dalam rancangan Polombus ason Tadau Raya (Sampaikan Salam Raya) yang memberi peluang kepada pendengar memberikan ucapan raya dalam bahasa Dusun.

Stesen radio NASIONALfm bakal mengudarakan program dokumentari khas Aidilfitri, Wira Samudera, Radio Klasik program drama khas Ketupat Palas Serunding Daging, AIfm tampil dengan sketsa Kasih Sayang di 893 dan ASYIKfm menyiarkan program Sketsa Khas Raya Ke'er Ce'et.

Nantikan program hiburan Dikir Raya di KELANTANfm, Kedai Kopi Raya di TERENGGANUfm, drama radio khas Satu Pagi Di Hari Raya terbitan MUTIARAfm, Dendang Syawal di SELANGORfm, Aidilfitri Hari Kemenangan dan Adik-Adikku Raya masing-masing di PERAKfm dan KEDAHfm.

Selain itu dengarkan juga program Nostalgia Raya’ yang akan ke udara melalui SRI AMANfm, Bakat Anak Seni Aidilfitri di MIRIfm, Rentak: Khas Aidilfitri di  SANDAKANfm, Salam Lebaran (Bajau Pantai Barat dan Bajau Pantai Timur) di SABAHvfm dan rancangan memasak Dari Dapur VIP menerusi SABAHfm.  - 7KLIK


[KREDIT: RTM]
















Post a Comment

0 Comments