Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Kopetro agih juadah berbuka puasa kepada polis trafik Kuala Lumpur


KOPERASI  Kakitangan Petronas Berhad (KOPETRO) hari ini telah melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengagihkan 400 pek juadah berbuka kepada anggota Polis Trafik Kuala Lumpur.

Selain agihan juadah berbuka puasa, KOPETRO juga mengambil kesempatan sempena bulan Ramadan ini dengan memberikan sumbangan kepada ahli keluarga anggota polis trafik yang terkorban semasa melaksanakan tugas.

Pengerusinya, Tuan Haji Khairu Najhan Bin Zainuddin berkata, sumbangan tersebut merupakan salah satu inisiatif daripada KOPETRO sempena bulan Ramadan yang mulia dalam usaha menyantuni jasa petugas barisan hadapan terutamanya anggota polis trafik yang berkhidmat kepada masyarakat.

“Ini adalah tahun ke-5 KOPETRO mengadakan program seumpama ini bersama Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan KOPETRO ingin mengambil peluang beramal disamping mengukuhkan lagi ukhwah yang sedia terjalin dengan anggota polis,” katanya selepas menyampaikan sumbangan tersebut.



Acara penyerahan sumbangan dan agihan juadah berbuka puasa ini telah disampaikan oleh Tuan Haji Khairu Najhan Bin Zainuddin, Pengerusi KOPETRO, diiringi oleh Encik Ahmad Shakir Bin Ahmad Ubaidah selaku Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO dan disaksikan oleh Superintenden Zulkafli Bin Che Lah, Timbalan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur.

Superintendan Zulkafli dalam ucapannya menyampaikan rasa syukur dan berterima kasih kepada KOPETRO yang menghargai pengorbanan anggota polis kerana menjaga keamanan, keselamatan dan kesejahteraan orang ramai tanpa mengira waktu dan tempat lebih-lebih lagi sepanjang bulan Ramadan ini.

Kata beliau cabaran di bulan Ramadan ini adalah lebih hebat berbanding pada masa-masa lain terutamanya sejak negara telah memasuki fasa peralihan ke Endemik, lebih ramai warga kota telah kembali bekerja di pejabat.

“Ini telah menyebabkan peningkatan jumlah kenderaan di atas jalan raya dan lebih ramai anggota polis telah ditugaskan demi memastikan kelancaran lalu lintas. Setiap hari seramai 350 anggota Polis Trafik Kuala Lumpur ditugaskan untuk mengawasi aliran trafik sepanjang bulan Ramadan ini,” tambahnya lagi.



Turut hadir pada hari tersebut adalah Encik Roslan bin Abdul Rahim, Naib Pengerusi KOPETRO dan juga Anggota-anggota Lembaga KOPETRO. Usaha mengagihkan pek makanan dan sumbangan selesai sepenuhnya kira-kira jam 4 petang. - 7KLIK 



[KREDIT: KOPETRO]



Post a Comment

0 Comments