KOPERASI Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) telah dipilih sebagai koperasi kedua terbaik didalam senarai indeks 100 koperasi terbaik Malaysia, sekali gus mencatatkan pencapaian membanggakan sejak penubuhannya pada tahun 1980.
Pengerusi KOPETRO, Tuan Haji Khairu Najhan Bin Zainuddin berkata, pengiktirafan tertinggi yang diberikan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) adalah berdasarkan kecemerlangan KOPETRO dalam mengurus tadbir dan kedudukan kewangan yang terus kukuh.
Katanya, pengiktirafan itu diumumkan pada Majlis Program Pelancaran Sambutan 100 Tahun Koperasi anjuran SKM di Aloft Hotel, Kuala Lumpur SENTRAL, Kuala Lumpur baru-baru ini. Sebelum ini pencapaian terbaik KOPETRO adalah Koperasi ke-5 terbaik pada Tahun 2020.
“Sebagai salah satu koperasi terunggul di Malaysia, kami akan terus komited bagi menjadikan KOPETRO sebagai suatu jenama korporat yang dikenali dan diterima ramai.
“Pengiktirafan ini penting bagi membuktikan KOPETRO berada pada landasan yang tepat dalam memantapkan pengurusan operasi yang efisien menerusi urus tadbir yang cekap berdasarkan inisiatif-inisiatif di dalam Pelan Strategik KOPETRO 2021-2025 dalam merialisasikan 5 sasaran utama KOPETRO.
"Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak termasuk Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), ANGKASA, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Anggota Lembaga Koperasi dan semua anggota KOPETRO di atas kepercayaan yang diberikan.
"Penghargaan juga kepada seluruh warga kerja KOPETRO atas usaha yang dicurahkan dalam meletakkan KOPETRO ke peringkat ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO, Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah juga menyatakan transformasi budaya kerja kakitangan KOPETRO turut menjadi faktor penyumbang kepada pencapaian ini. “Perubahan terhadap budaya kerja yang menitikberatkan semangat kecemerlangan dan semangat kerja berpasukan juga menjadi pendorong kepada pencapaian ini.
“Konsep ini selaras dengan pegangan gagasan koperasi yang bergerak seramai mungkin secara bersama-sama bagi membolehkan pembaharuan dan kecemerlangan berlaku,” katanya.
Kata Ahmad Shakir lagi, bagi menghadapi cabaran perniagaan tatkala dunia masih lagi berperang dengan pandemik Covid 19, KOPETRO akan berusaha dengan lebih sistematik bagi memastikan kelestarian prestasi KOPETRO dapat diteruskan.
“Selain itu, KOPETRO juga menumpukan usaha dengan lebih agresif untuk meningkatkan perniagaan KOPETRO supaya dapat menjana memberikan lebih banyak manfaat untuk menarik lebih ramai anggota untuk menyertai KOPETRO,” katanya.
Ditubuhkan lebih 40 tahun yang lalu, Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) dianggotai lebih 15,000 kakitangan PETRONAS, juga telah menerima dua anugerah berprestij pada tahun 2020 iaitu anugerah oleh The BrandLaureate bagi kategori SMEs Bestbrands e-Branding Awards dan juga Lang International Corporate Titan Awards – Cooperative Icon of The Year 2020.
Selain Servis Kewangan, KOPETRO juga terlibat di dalam bidang Pelancongan dan Perhotelan, Makanan dan Minuman juga Perdagangan dan Peruncitan.
Maklumat lanjut mengenai Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) boleh didapati di laman sesawang KOPETRO di www.kopetro.com.my atau di akaun media sosial Facebook dan Instagram @kopetroberhad . - 7KLIK
[KREDIT: Kopetro]
0 Comments