Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Ejen Ali The Movie ditayangkan di Republik Uzbekistan


BERSIAP
sedia Ejen, intel terkini diterima untuk misi terbaharu. Primeworks Studios dan WAU Animation hari ini mengumumkan tayangan filem animasi pecah panggung Malaysia, Ejen Ali The Movie di Republik Uzbekistan pada 15 Februari 2022. 

Buat julung kalinya, filem fenomena animasi Malaysia ini telah mencipta sejarah menjadi filem cereka pertama alih suara dan dilokalkan di Uzbekistan yang akan ditayangkan di lebih 25 pawagam di tujuh bandar di seluruh negara.

Ejen Ali The Movie menceritakan tentang Ejen Ali yang berusia 12 tahun telah menjadi seorang pengintip secara tidak sengaja dan menerima misi rahsia daripada Meta Advance Tactical Agency (MATA) untuk melindungi bandar futuristik Cyberjaya dari ancaman luar.

Ali terkejut apabila mendapat tahu bukan dia seorang sahaja yang berkuasa menggunakan alat gajet Infinity Retinal Intelligence System (IRIS), sejak MATA dinaik taraf kepada IRIS Neo untuk semua ejen MATA.

Gajet ciptaan terbaharu itu membuatkan Ali mempersoalkan kedudukan dan kepentingan dirinya kepada MATA. Ketika itu muncul seseorang yang tidak dikenali mendakwa mengenalinya secara peribadi dan ini membuatkan Ali terkejut. Ali mempertahankan kesetiaannya kepada MATA mula menyiasat tentang hubungan misteri ini.

Tayangan Ejen Ali The Movie di pawagam Uzbekistan dimeterai dengan kerjasama AMEX MEDIA selaku rakan strategik di Commonwealth of Independent States (CIS) dan wilayah Rusia, juga dengan usahsama dengan World Pictures selaku pengedar filem tempatan di Uzbekistan.

Ejen Ali The Movie menjadi filem bukan tempatan yan pertama dialih suara ke bahasa Uzbek dan Rusia berbanding filem-filem asing sebelum ini yang hanya di alih suara ke bahasa Rusia.

Inisiatif ini menjadikan Ejen Ali The Movie lebih mudah diakses oleh masyarakat dan penonton Uzbek, memandangkan kepadatan penduduknya melebihi 36 juta orang dan kurang daripada 30% yang hanya boleh bertutur dalam bahasa Rusia.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios,  Datuk Khairul Anwar Salleh, berkata;

“Sejak pandemik pada tahun 2020, ia sememangnya memberi impak yang hebat kepada dunia hiburan termasuklah industri pawagam. Dengan kerjasama ini, kami amat teruja Ejen Ali The Movie melebarkan sayapnya ke pawagam antarabangsa.

"Matlamat kami adalah sentiasa mempromosikan kandungan program Malaysia yang hebat kepada penonton di peringkat antarabangsa.

"Terima kasih kami ucapkan kepada AMEX MEDIA dan World Pictures di atas peluang ini untuk menayangkan filem di Uzbekistan dan menggunakan bahasa tempatan mereka supaya majoriti penonton mereka dapat menikmati filem animasi berkualiti ini tanpa halangan dari segi bahasa.

"Sokongan daripada peminat di seluruh dunia sememangnya memberi semangat kepada kami dan tidak sabar untuk melihat reaksi semua menonton penggemabaraan Ali seterusnya dalam Ejen Ali Musim 3, yang akan datang pada 2022 ini,” ujarnya.



Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, WAU Animation and Pengarah Ejen Ali, Usamah Zaid Yasin, menyatakan;

"Dua tahun selepas Ejen Ali The Movie disiarkan, kami tidak menyangka Ejen Ali akan berada di pawagam antarabangsa dan ia sememangnya diluar dari imaginasi kami.

"Kami sangat gembira dengan sokongan yang diberikan oleh AMEX MEDIA dan World Pictures dan berharap filem ini dapat menghiburkan hati penonton di pawagam Uzbekistan.

"Semoga Ejen Ali dapat menambat hati lebih ramai peminat antarabangsa dengan keunikan wataknya yang dinamik, serta semangatnya untuk  menghadapi cabaran dan sebarang kemungkinan.

"Kami tidak sabar untuk menunggu peminat-peminat baharu daripada sana dan menjadi sebahagian dalam menyertai misi pengembaraan Ali sebagai perisik dalam siri TV musim ketiga yang akan datang,” katanya.



Pada tahun 2020, AMEX MEDIA telah menyiarkan dua musim siri TV Ejen Ali dalam bahasa Rusia dan membawanya kepada penonton platform video atas permintaan (VOD) paling popular di CIS; IVI, OKKO, KION, WINK, MEGAFON, PREMIER.

Menurut Ketua Pegawai Operasi AMEX MEDIA, Ivan Agutenkov;

“Uzbekistan akan menjadi negara yang pertama dalam Commonwealth of Independent States (CIS) dan wilayah Rusia yang menayangkan Ejen Ali The Movie di pawagam. Sebagai rakan kongsi strategik Ejen Ali di rantau ini, matlamat kami seterusnya adalah untuk menayangkannya lebih luas di Rusia, Kazakhstan dan Ukraine,” katanya.



Sementara Ketua Pegawai Eksekutif, World Pictures, Pavel Nelin, berkata;

“Kami telah menghasilkan dan menerbitkan versi alih suara yang berkualiti untuk Ejen Ali The Movie, dan ia merupakan projek Malaysia pertama menggunakan bahasa tempatan.

"Kami juga sangat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan dengan AMEX MEDIA, Primeworks Studios dan WAU Animation,” katanya.



Ejen Ali kini menjadi salah satu daripada jenama animasi popular Asia yang telah berjaya meraih lebih dari 2 juta penonton di TV3 serta mempunyai lebih 3 juta pengikut di laman rasmi YouTube.

Sejak tayangan pertama siri Ejen Ali di Malaysia pada tahun 2016, animasi ini telah menarik minat beberapa stesen media antarabangsa dan berjaya menembusi siaran di lebih 50 buah negara, termasuk di rangkaian Netflix, Disney+ Hotstar, Disney Asia, Nickelodeon India, MNCTV di Indonesia dan AlMajeed TV di Timur Tengah dan Afrika Utara.

Filem fenomena animasi ini juga telah berjaya meraih kutipan RM30 juta (USD8 juta) dan menduduki carta teratas filem pecah panggung pada tahun 2019 dan platform on-demand di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia, menjadikannya filem animasi terlaris di Malaysia.

Layari YouTube rasmi Ejen Ali (www.youtube.com/ejenali), untuk melihat teaser trailer pertama Ejen Ali Musim 3. Pra-jualan untuk Ejen Ali Musim 3 kini boleh didapati di pelbagai platform dan beberapa wilayah di seluruh dunia.

Ejen Ali Misi: Juang, Ejen Ali The Movie dan Ejen Ali musim 1 and 2 boleh di strim sekarang di Disney+ Hotstar! - 7KLIK


[KREDIT: Primeworks Studios]

Post a Comment

0 Comments