Hot Posts

6/recent/ticker-posts

DRAMA ADAPTASI POPULAR HOLLYWOOD, GOSSIP GIRL VERSI INDONESIA KINI DI ASTRO


DRAMA siri popular Amerika Syarikat terbitan Warner Bros, Gossip Girl yang memaparkan kisah remaja daripada keluarga sosialit di Manhattan telah diadaptasi dalam versi Indonesia dengan menggunakan tajuk Gossip Girl Indonesia, dan kini temui penonton Malaysia buat pertama kali menerusi platform Astro.

Drama bersiri 9 episod tersebut telah pun memulakan tayangannya pada 7 Februari lalu dan boleh ditonton di On Demand serta Astro Citra, saluran 108 setiap hari Isnin, jam 9 malam.

Versi asal drama siri ini telah mendominasi 17 kemenangan sepanjang 4 tahun berturut-turut di Teen Choice Awards.

Siri tersebut bukan sahaja berjaya mencipta fenomena dan menjadi ikutan trend dalam kalangan peminatnya, malah ia turut diadaptasi ke versi negara berbeza seperti di Turki (Kucuk Sirlar atau Little Secrets, 2012), Tiongkok (China Girl, 2012), Meksiko (Gossip Girl: Acapulco, 2013), dan Thailand (Gossip Girl: Thailand, 2015).

Menariknya, versi Indonesia ini turut diselitkan dengan nilai dan budaya Nusantara, di samping dipadatkan lagi dengan elemen-elemen yang relevan untuk tontonan masa kini seperti gaya fesyen serta teknologi, yang mana versi Hollywood memaparkan penggunaan blog tetapi versi ini menggantikannya dengan platform Instagram.

Gossip Girl Indonesia melibat gabungan bakat-bakat kreatif yang sering memberi sentuhan luar biasa pada karya-karya hebat. Menariknya, setiap 3 episod Gossip Girl Indonesia diarahkan oleh sutradara dan penulis berbeza.

Antaranya pengarah filem Berbagi Suami dan Arisan iaitu Nia Dinata yang bertindak sebagai showrunner, sutradara (episod 1, 2 dan 3) serta terlibat dalam penulisan skrip untuk semua episod. Lucky Kuswandi juga merupakan penulis skrip untuk episod 1, 2 dan 3.

Bagi episod 4, 5 dan 6 adalah di bawah arahan Pritagita Arianegara dan skrip oleh Melissa Karim dan Nia Dinata, manakala episod 7, 8 dan 9 oleh pengarah Andri Cung dan skrip oleh Andri Cung sendiri bersama Nia Dinata.

Tidak lengkap Gossip Girl tanpa suara latar, jadi bagi versi ini pelakon dan penyanyi Ayushita Nugraha mengisi peranan ‘voice over’ dalam Gossip Girl Indonesia.

Sementara itu, watak-watak utama dibintangi oleh pelakon muda berbakat besar, seperti Amanda Rawles sebagai Serena Darsono, Baskara Mahendra sebagai Denny Hakim, Jihane Almira sebagai Blair Hadiningrat, Tatyana Akman sebagai Vanessa, Arya Vasco sebagai Nathaniel Siregar, Jerome Kurnia sebagai Chicco Salim dan Rayssa Dynta sebagai Jenny Hakim.

Berbeza dengan siri asal yang menormalkan isu percubaan gangguan seksual menerusi watak Chuck Bass terhadap watak Serena dan Jenny, tetapi versi adaptasi ini memberi fokus lebih mendalam tentang mental isu serta kesan kepada mangsa gangguan seksual.

Selain itu, babak Sambutan Hari Kesyukuran atau 'Thanksgiving' di versi asal, telah digantikan dengan acara berbuka puasa. Secara keseluruhan jalan cerita dan emosi cukup relevan dengan kehidupan sehari-hari.

Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata;

“Drama siri terkenal Amerika Syarikat, Gossip Girl masih relevan dan menjadi salah satu siri yang diminati sehingga kini. Pihak kami berasa teruja berpeluang membawakan versi adaptasinya untuk dipersembahkan kepada penonton Malaysia buat pertama kali di platform Astro.

"Meskipun ia adalah adaptasi, namun beberapa elemen telah diubah bagi menyesuaikan dengan era terkini serta menyerapkan identiti lokal seperti nama dan isu sosial. Kami percaya, kehadiran drama siri Gossip Girl Indonesia di Astro mampu memberi keterujaan kepada peminat siri asal, di samping mampu menarik penonton baru terutamanya dari Gen Z.

“Ini adalah kali pertama kami membawakan karya dari platform strim di Indonesia, GoPlay. Kami harap ini adalah permulaan yang baik buat Astro untuk membawakan karya-karya Malaysia pula menembusi platform strim di Indonesia kelak,” katanya.



CEO GoPlay, Edy Sulistyo,  menyatakan;

“Kami rasa amat berbesar hati apabila Top Drama Series 2020 di platform kami temui penonton global. Kemunculan GoPlay Original Series, Gossip Girl Indonesia di negara-negara Asia Tenggara juga membuktikan filem industri Indonesia dan tenaga kreatif kandungan mampu berada setanding dengan konten berkualiti antarabangsa.

"Kami percaya dengan sokongan pemasaran oleh pihak Astro, Gossip Girl Indonesia dapat dipersembahkan kepada penonton sasaran dan sekali gus menarik peminat baru.

"Dalam pada itu, sejajar dengan misi Gojek dan GoPlay dalam mendominasi industri kreatif Indonesia di peringkat global, kerjasama ini turut membolehkan industri seni serantau terus berada di landasan yang tepat dalam memacu cita-cita ke arah memberikan pengalaman berbeza kepada penonton serta memperluaskan lagi hasil karya seni dari negara Asia ke tahap lebih tinggi,” ujarnya.



Gossip Girl Indonesia membawakan cerita tentang remaja dari keluarga golongan sosialit, Serena Darsono yang bersahabat baik dengan Denny Hakim, Jenny Hakim, Blair Hadiningrat, Vanessa, Nathaniel Siregar, dan Chicco Salim.

Serena merupakan gadis popular di sekolahnya dan telah menghilangkan diri tanpa khabar berita. Sejak itu, sahabat baik Serena iaitu Blair telah mengambil tempat Serena. Apabila Serena kembali, kedua-dua mereka dilihat baik, namun hakikatnya tidak dan tercetus persengketaan. Dalam pada itu, gerak-geri mereka telah diawasi oleh akaun Instagram terkenal @GossipGirl.Indo.

Strim drama siri Gossip Girl Indonesia di On Demand atau Astro GO. Penonton juga boleh menonton di Astro Citra, saluran 108 setiap hari Isnin, jam 9 malam.

Anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang drama ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.



[KREDIT: Astro]














Post a Comment

0 Comments