'Melayu, Cina, India, Serani, Kadazan, Iban… Bersatu Hati!'
ITULAH bait-bait yang diperbaharui dalam pembikinan semula lagu Khatulistiwa versi baru ini. Ilham yang merupakan penulis lirik utama didalam Pitahati bersama-sama mencapai persetujuan Pak Ito dalam beberapa gubahan pada lirik dan lagu.
Sudah menjadi antara lagu kegemaran Pitahati dan Ito, sesi jamming dan rakaman kali ini tidak mengambil masa yang lama dan mereka serasi bekerjasama dengan berbekalkan semangat yang sama dan mempunyai impian menyatu padukan masyarakat dengan seni muzik.
“Waktu kita cover sebelum ni pun kita tak nak hilangkan keaslian rasa itu dan itulah yang paling penting. Lagu cover ni kalau banyak perubahan akan membuatkan lagu itu akan hilang rasanya yang tersendiri,” ujar Ilham Pitahati.
Sementara itu, Ito Blues menganggap lagu itu lebih sempurna dengan gubahan baharu pada lirik lagu tersebut.
“Pitahati dan saya bersetuju untuk mengubah part Melayu, Cina, India, Serani, Kadazan, Iban, bersatu hati… ia lebih sempurna.
“Saya amat berbesar hati dan berharap lagu versi baru ini boleh memberi semangat buat kali kedua kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Hari Malaysia dipilih sebagai satu tarikh untuk mempersembahkan rilisan terbaru hasil kolaborasi dua generasi rock tanah air iaitu Pitahati dan Ito Blues Gang.
Lagu Khatulistiwa adalah sebuah lagu dari kugiran lagenda rock blues tanah air iaitu Blues Gang yang telahpun dikenali ramai sedari tahun 1983. Karya yang pernah menjadi kontroversi suatu ketika dahulu kini disusun kembali muzik dan liriknya mengikut peredaran masa dan zaman.
Bermula dengan mengumpulkan playlist lagu-lagu dari kugiran-kugiran tempatan yang menjadi inspirasi karya-karya Pitahati sehingga mereka terdetik untuk menjadikan lagu Blues Gang ini sebagai sebuah lagu cover pada persembahan-persembahan mereka.
Tidak terjangka lagu ini masih evergreen yang mana selepas itu sering menjadi permintaan dan bualan peminat-peminat PitaHati sehinggalah mereka mengambil keputusan untuk membuat sebuah video music hasil kolaborasi pihak syarikat rakaman Luncai Emas beberapa tahun lalu.
Nafas baharu lagu Khatulistiwa ini seperti ada sentuhan majis apabila pada tahun ini sekali lagi diberi peluang untuk dijadikan sebuah lagu tema reunion pelajar-pelajar Sekolah Tengku Abdul Rahman (STAROBW), Ipoh.
“Mula-mula sekali kita cover lagu ni bersempena dengan hari Merdeka. Ini adalah satu kesempatan buat Pitahati untuk memberi penghormatana pada Blues Gang,” kata Hidayat dan Ilham Pitahati.
Pengambaran MV Khatulistiwa di Ipoh
Penggambaran yang berkonsepkan santai berinspirasikan tema sebuah kehidupan masyarakat yang berbilang bangsa dan kaum membawa Pitahati, Ito Blues Gang dan team penggambaran Motion Scientist memilih Ipoh, Perak sebagai lokasi utama.
Perjalanan yang mengambil masa hampir tiga hari itu membawa mereka ke kawasan-kawasan santai rakyat berbilang kaum seperti di Old Town Ipoh, Concubine Lane, Stesen Keretapi, Pasar Loken, Padang Ipoh, Restoran New Hollywood, Super Kinta, Stesen Bas Medan Kid dan sempat juga singgah ke Sarang Art Hub, Tanjung Malim.
Perjalanan ini amat bermakna apabila memperlihatkan dua generasi berbeza (Pitahati dan Ito Blues Gang) bekerjasama dengan penuh komitmen. Selain bekerja, Ito juga tidak kering mencurahkan nasihat dan pengalaman kepada semua.
Selain pemkini lagu Khatulistiwa, Pitahati juga mengambil kesempatan ini menghiasi saluran youTube mereka dengan sesi bual bicara – Bicara & Susun Kata dan dari belakang tabir sesi rakaman dan sesi jamming Khatulistiwa versi baru ini.
0 Comments