Hot Posts

6/recent/ticker-posts

MALAYSIA DI HATIKU - SATUKAN YONNYBOII, KMY KMO, LUCA SICKTA & TABBY



HAMPIR dua tahun bergelut dengan pandemik Covid-19 ternyata kobar semangat kenegaraan rakyat Malaysia dalam pelbagai aspek dan sudut tetap jitu, membara serta terus disemarakkan terutama pada bulan kemerdekaan ini.

Benar bagai ada hikmah di sebalik musibah semua ini. Lihat saja bagaimana kempen kibarkan bendera putih menjadi bukti bahawa rakyat begitu peka dan empati dengan kesulitan sesetengah masyarakat meneruskan kelangsungan hidup.

Lalu bagi meraikan kecintaan terhadap negara biarpun akur dengan ujian bersilih ganti, empat artis tanah air, Kmy Kmo, Luca Sickta, Yonnyboii dan anggota Dolla, Tabby bersatu menghadiahkan sebuah karya patriotik segar sekali gus menyuntik semangat kekitaan menerusi lagu Malaysia Di hatiku.

Lagu terbitan Universal Music Malaysia hasil komposisi Nick Ariff, Glow Rush, Mike Chan, Pique, Acap Salim selain Kmy dan Luca akan dilancarkan pada 16 Ogos lalu.

Antara bait menarik lirik lagu ini berbunyi, 'sentiasa di dalam jiwaku, kan ku pertahan sepenuh jiwaku Malaysia" bagai sebuah metafora apa saja terjadi, kasih dan cinta terhadap negara ini tetap tiada tara.

Kmy atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim optimis karya baru ini akan menjadi pilihan terbaru masyarakat pelbagai lapisan umur dalam menyemarakkan rasa cintakan negara.

"Memang rata rata semua daripada kita bergelut saat ini. Namun kehidupan tetap harus dilalui walau bagaimana cara atau solusi pun. Semoga kehadiran lagu dengan sentuhan moden, klasik, 'catchy' dan 'hype' ini akan terus meniup motivasi dan semangat buat kita semua.

"Paling utama kita takkan menggadai dan melacurkan negara ini untuk apa tujuan pun. Semoga lagu ini dapat terus menjadi semboyan semangat dan nadi perpaduan buat rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.

"Harapnya juga lagu ini dapat menjadi 'national anthem' baru buat kita semua. Saya bangga dapat bergandingan dengan Luca, Yonnyboii dan Tabby kerana ia seperti sebuah kolaborasi adik beradik," kata Kmy.



Menyentuh mengenai proses rakaman, Luca yang juga gandingan duo serasi Kmy berkata cabaran merakamkan lagu secara berasingan kerana keterbatasan dan sekatan pergerakan perjalanan bukanlah sesuatu yang mudah.

"Kami masing masing merakamkan lagu sekitar Jun ke Julai lalu secara berasingan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan. Ada yang merakamkan bahagian suara masing masing di rumah. Macam saya dan Kmy pula di studio rakaman. Namun prosedur operasi standard (SOP) tetap dijaga.

"Segala galanya juga dipermudahkan. Kerjasama ini juga jadi mudah kerana saya sendiri sudah tahu cara kerja Kmy, Yonnyboii dan Tabby. Keserasian itu sudah ada dan terus dipupuk. Fakta menarik ini juga lagu pertama yang saya nyanyikan bahagian rap tanpa bertindak sebagai penerbit. Kebiasaan saya menerbitkan lagu dan menyanyikan rap sekali harung," katanya.



Kata Luca atau nama sebenarnya, Shameer Ashraf Shahruddin, karya berkenaan disifatkan lain dari lain.

"Lagu ini sudah ada 'feel' dan rasa ketika diperdengarkan. Jadi proses penulisan lirik jadi ringkas dan senang. Saya sendiri secara peribadi menggemari lagu ini. Malah suka dengan hasil akhirnya," katanya.



Sementara itu, Yonnyboii atau nama penuhnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin menyifatkan karya berkenaan sangat unik sekalipun bernuansakan patriotik.

"Saya menjangkakan lagu ini berpotensi menjadi lagu merdeka pilihan baru. Saya mahu jika sudah di usia 30 atau 40 tahun kelak dan berkahwin, harapnya bakal anak nanti boleh menyanyikan lagu ini di sekolahnya," katanya.


Penyanyi lagu Salahku ini mengakui berdepan sedikit cabaran saat merakamkan karya berkenaan.

"Bahagian mencabar saya ialah untuk menyanyi korus dan perlu disuai padankan dengan vokal Tabby yang tinggi. Agak bergelut juga untuk meneruskan proses rakaman itu.

"Jadi solusinya vokal saya terpaksa diturunkan 'key' untuk mengimbangi suara Tabby. Tapi lucunya apabila siap hasil akhirnya, rasa macam 'best' pula mendengarkan kombinasi suara kami berempat.

"Pendek kata, padanan suara kami saling melengkapi. Lagu ini memang menarik dan bagai ada lapisan elemen yang cukup mengujakan," katanya.



Bagi Tabby yang menjadi sekuntum bunga dan penyeri untuk kolaborasi ini berkata peluang berkenaan sudah lama dinantikan.

Tabby atau nama penuhnya Tabitha Ariel Lam berkata, pembabitannya disifatkan cukup bermakna biarpun projek ini tidak membabitkannya bersama anggota Dolla.

"Saya secara peribadi sudah lama menantikan peluang menyanyikan lagu bergenre kenegaraan atau berwajah Malaysia.  Paling utama saya boleh katakan kehadiran lagu ini umpama tiupan semangat yang cuba dibangkitkan untuk rakyat Malaysia saat bergelut di era pandemik ini.

"Apa terjadi, kita tetap akan menang di pengakhirannya. Moga ujian berat ini akan cepat pergi dan kita terus bersatu. Malaysia kekal di hati sampai bila bila. Jangan ada anasir atau apa saja ujian boleh memisahkan semangat cintakan negara itu.

"Pastinya pengalaman bekerja dengan Kmy, Luca dan Yonnyboii sesuatu yang amat berharga. Mereka sendiri umpama senior dan abang serta diketahui dengan bakat hebat. Siapa tak bangga bersatu dengan mereka dalam lagu yang penuh dengan emosi dan sentuhan genre muzik. Daripada moden hingga tradisional, seni muzik itu tak ada sempadan," katanya.



Tabby menambah, proses rakaman video muzik juga sudah dilakukan juga secara berasingan akibat kekangan situasi semasa.

Video muzik rasmi Malaysia Di hatiku yang bakal ditayangkan pada hari Malaysia bulan hadapan adalah kolaborasi antara Samsung Malaysia Electronics dan Universal Music Malaysia dengan tujuan mengumpulkan semua rakyat Malaysia untuk terus bersama dalam masa-masa yang mencabar ini.

Di samping itu, Samsung Malaysia Electronics juga akan mengendalikan kempen “hashtag challenge” #MalaysiaDiHatiku di pelantar video berdurasi pendek, TikTok, sebagai salah satu inisiatif untuk membolehkan rakyat Malaysia bangkit dan menyebarkan semangat positif sesama mereka semasa sambutan peringkat nasional ini. Mari sertai kempen #MalaysiaDiHatiku bermula 20 Ogos.

"Seronok dapat sekali lagi bekerjasama dengan penaja jenama telefon bimbit dan pengeluar peranti elektronik konsumer Samsung untuk video muzik lagu ini. Masing masing melakukan rakaman video muzik di rumah.

'Vibe' dan aura rakaman video tetap mengujakan biarpun sedikit terbatas. Kita bawakan set dan mood diingini terus ke rumah dalam usaha menghidupkan semangat lagu ini," kata Tabby sambil memberitahu Dolla pernah bekerjasama dengan jenama berkenaan sebelum ini.



Malaysia Di hatiku boleh didengarkan di kesemua pelantar penstriman digital mulai 16 Ogos lalu,  manakala lirik videonya pula boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.


[KREDIT: Universal Music Malaysia]

Post a Comment

0 Comments